Assalamualaikum. Kisah yang bakal aku ceritakan ini adalah mengenai bonda. Sedikit tentang aku, anak bonda berusia pertengahan 20an yang masih tinggal dengan bonda, juga merangkap ‘bonda kedua’ di dalam rumah. Aku bekerja sebagai pembantu bonda.
Dalam kata lainnya menjadi PA bonda dalam melakukan kerja pengkeranian. Upah bekerja aku kira ikhlas sahaja kerana aku anak bonda. Kalau nak tulis dalam resume pun aku tak tahu nak letak tajuk pekerjaan apa yang sesuai.
Kenapa aku kata bonda ‘20 tahun’? Sebab aku melihat bonda seperti orang yang masih muda belia, walau hakikatnya kini beliau seorang ibu tunggal (bonda telah bercerai dengan ayahanda).
Jika berjalan berdua dengan bonda, orang akan fikir yang aku ni adik bonda. Padahal kami anak beranak! Ini kerana keterampilan bonda yang seperti orang seusia aku.
Bonda berkahwin seawal umur 20 tahun. Bonda tak pernah bercerita bagaimana pengenalannya dengan ayahanda 31 tahun yang lepas.
Tapi bila aku belek album lama mereka berdua, aku menganggap titik pertemuan mereka bermula di sebuah bandar yang menjadi tempat kelahiran ku ini.
Bonda yang berasal dari sebuah kampung berhijrah ke kota selepas tamat sekolah menengah untuk mencari kerja lalu berkenalan dengan ayahanda, yang kebetulan tinggal di kota yang sama.
Pengenalan yang singkat telah membawa ke jinjang pelamin. Masing-masing pula masih muda dan baru mengenal hidup dewasa. Sekejap saja rasa hidup bujang tiba-tiba dah kahwin, mengikut fikiran aku.
Dipendekkan cerita, ayahanda dan bonda berpisah 26 tahun kemudian. Kami 4 orang adik beradik tinggal dengan bonda kerana makan pakai kami banyak diuruskan bonda dari dulu sampai sekarang.
Tak terkira seberapa banyak yang bonda korbankan untuk kami. Masa, duit dan tenaganya. Bondalah wanita paling kuat aku pernah ada. Aku jadikan bonda sebagai inspirasi untuk aku habiskan semua yang aku telah mulakan.
Bondalah yang menjadi asbab untuk aku teruskan belajar sampai tamat pengajian ijazah dan berazam untuk mencari pekerjaan yang bagus supaya dapat jadi wanita yang bekerjaya yang tak mengharapkan duit lelaki untuk hidup.
‘Takde lelaki boleh je survive’ dah jadi moto hidup aku sekarang ni, itu pun kerana bonda. Namun, ada beberapa perkara yang aku belajar yang membuatkan aku tak mahu jadi seperti bonda. Tahu sebab apa?
Selepas berpisah, bonda seolah-olah menjadi seperti sebelum beliau berkahwin dulu. Macam orang sebaya aku. Usia bonda memang meningkat semasa masih bersama ayahanda tetapi jadi balik asal kepada 20 tahun selepas berpisah.
Tak keterlaluan bila aku katakan bonda macam janda berhias. Berhiasnya juga mengalahkan orang muda macam aku.
Pada mulanya aku fikir bonda seorang yang bekerjaya jadinya first impression orang itu penting bagi mengekalkan imej profesionalnya.
Tetapi semakin lama semakin pelik fesyen yang bonda gayakan. Tak seperti semasa beliau bersama ayahanda dulu. Bonda rasa terkongkong ke dulu dalam bab pemakaian?
Bonda jugak banyak luangkan masa dengan telefon. Aku tahu dari dulu pekerjaan bonda memerlukannya untuk berhubung dengan ramai orang jadinya memang telefon selalu ada di tangan.
Sehinggakan sebelum dan sejurus bangun tidur pun beliau memegang telefon. Kerana telefon jugalah menjadi salah satu punca penceraian ayahanda dan bonda.
Tapi sejak belakangan ni aku pernah ternampak di telefon bonda yang beliau ada chat di online dating app.
Aku tak berniat nak campur hal kehidupan sosial bonda apatah lagi nak tengok terus aktiviti dalam telefon bonda, namun aku tak sengaja ternampak tu semua. Bonda sunyi sangat ke walaupun anak-anak ada dengan bonda?
Waktu kerja bonda agak fleksible dan tak terikat dengan office hour seperti kerja-kerja lain. Bonda banyak berjumpa dengan orang dan dah memang jadi fitrah pekerjaannya macam tu.
Boleh dikatakan takde hari yang bonda duduk kat rumah seharian termasuklah weekend. Sedangkan weekend lah satu-satunya waktu anak-anak ni nak bermanja, nak spend time dengan bonda.
PKP PKP pun bonda tetap keluar rumah. Aku kesiankan adik bongsu yang masih dalam sekolah rendah tu.
Hari biasa dia akan pergi sekolah, hari dia cuti pulak bonda takde kat rumah. Malam cuma sekejap itupun bonda dengan telefon 24/7, adik pulak dengan telefon dia, impak daripada ODL dulu sampai sekarang kekal dengan telefon.
Entah suasana apa yang aku tengah tengok sekarang. Adik sedikit demi sedikit ikut perangai bonda. Adik langsung tak dipantau bab penggunaan telefon sejak dah masuk ke sekolah semula ni.
Aku selalu jugak menegur, malah aku jadi lebih tegas daripada bonda. Tapi disebabkan ada aku, takkan bonda langsung tak terdetik nak menegur adik? Siapa jadi bonda sekarang ni?
Setiap kali adik balik sekolah selalu dia bercerita tentang kejadian kat sekolah. Aku dengar saja dan kadang aku bertanya jugak tentang hal sekolah kalau dia perlukan apa-apa. Aku tak nak adik tercicir di sekolah jadinya aku yang ajar adik semua subjek sejak ODL dulu.
Aku tak pernah melihat adik bercerita dengan bonda. Kalau ada pun bonda langsung tak menghiraukan. Kalau adik bertanya hal kerja sekolah pun bonda minta dia bertanya pada aku.
Aku cuma mengharapkan bonda dapat jadi lebih baik daripada ni. Kalau tak banyak sedikit pun jadilah. Bukan ke ini dah jadi tugas bonda untuk mendengar luahan anak-anak dan mendidik?
Aku dah lali dengan semua pekerjaan dalam rumah. Laundry? Kemas? Mop? Masak? Hantar dan ambil adik-adik dari sekolah? Semua atas bahu aku. Jujur aku tak kisah buat semua tu.
Memang dah jadi tugas aku sebagai kakak. Mujur saja aku ada. Masuk keluar ofis pun sesuka hati tapi tetap hari hari kena kerja, walaupun kerjanya tak seberapa. Kerja rumah pun aku dah sempurnakan, bonda balik rumah tinggal berehat je.
Tapi aku tak nak tengok bonda bekerja keras sangat untuk tanggung anak-anak bonda yang semua semakin besar panjang ni. Pada masa yang sama aku terikat dengan tanggungjawab aku sebagai kakak dan juga anak.
Dua adik beradik aku yang lain pun tak pernah ambil kisah hal dalam rumah, masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Bonda langsung tak fikir nak nasihatkan sebab masing-masing keras kepala dah tak boleh dibentuk.
Aku je yang boleh bonda harapkan untuk tolong beliau kat rumah. Sekarang ni aku rasa macam role aku dan bonda dah bertukar, yang sama cuma kitorang masing-masing bekerja. Cuma bonda kerja lebih keras berbanding aku.
Jauh di sudut hati aku nak jugak bekerja lain, dapat gaji hasil titik peluh aku sendiri dan bantu bonda sedikit sebanyak. Aku nak lari jauh ke kota lain untuk cari pekerjaan tetap yang bagus dan belajar semuanya sendiri.
Aku nak ada saving sendiri. Aku pun semakin meningkat usia dan nak ada benda yang aku idam-idamkan.
Banyak benda yang aku nak pelajari yang aku rasa aku takkan dapat kalau aku terus ada kat sini. Jiwa aku meronta untuk bebas dari sangkar yang dibina oleh bonda ni. Bonda tak nampak ke anak bonda ni tertekan? Pernah tak bonda fikir tentang perasaan anak bonda ni?
Aku tahu bonda nak cipta kebahagiaan beliau sendiri. Buat apa je yang bonda nak yang mungkin bonda tak dapat nak buat semasa bonda masih bersama ayahanda. Bonda takde supportive partner yang sentiasa ada di belakang bonda untuk menyokong semua yang bonda buat.
Cuma satu hari nanti aku harap bonda dapat buka mata dan sedar yang bonda sentiasa ada anak-anak bonda yang selalu mendoakan bonda, anak-anak yang sentiasa mahukan yang terbaik buat bonda dan menyayangi bonda dengan sepenuh hati.
Anakandamu ni memang bukan anak yang baik di mata bonda. Sentiasa terlihat yang buruk berbanding yang baik.
Anakanda cuma mengharapkan agar bonda dapat memahami isi hati anak bonda yang sorang ni sekali sekala jika tidak selalu. Maafkan anakandamu.
– Wardatul Salina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit