Bos Perempuan

Salam kepada semua pembaca IIUM Confession. Aku Roronoa Zoro kembali ingin menceritakan pengalaman sederhana aku. Jangan melatah dulu sebelum baca keseluruhan cerita ni.

Bos perempuan yang aku maksudkan dalam cerita ini hanyalah aku tujukan kepada bos perempuan aku bukan semua bos perempuan di dunia yang fana ini ya.

Aku mula bekerja dia Megah Holding (bukan nama sebenar) sejak 2007 dan sebagai graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan, aku tidak pernah memikirkan siapa bos aku.

Setelah diperkenalkan, baru aku tahu yang bos paling besar aku seorang lelaki dan bos-bos bawah dia kesemua nya perempuan.

Ada beberapa pengalaman yang ingin aku kongsikan bersama. Mari kita teruskan pembacaan di bawah:

1. Pada minggu pertama, aku di letakkan di bawah seliaan Puan Orkid. Dia pesan kat aku macam ni,

Kalau boleh hari minggu kalau saya text atau call sila respon. Tak payahlah nak pergi memancing ke apa ke. Saya tak suka orang membazirkan masa macam suami saya tu. Fokus kat kerja awak sebab awak bukan lagi pelajar.

Masa ni aku rasa semacam, macam mana dia tau aku kaki memancing. Dia ada suntik cip ke dalam badan aku sebelum ni? Kenapa lah dia libatkan sekali suami dia tu dalam pesanan dia. Kalau dapat geng dengan laki dia mesti best ni, payung besar aku.

2. Pernah satu kali aku diarahkan untuk siapkan satu projek yang berada di bawah seliaan Puan Cempaka. Kami perlu melakar poster untuk satu event yang akan diadakan.

Aku ditugaskan untuk melakar poster tersebut dan tunjuk kat Puan Cempaka. Kali pertama, saya rasa ada sesuatu yang kurang tapi tak tahu lah apa.. itulah komen dia.

Kali kedua, setelah aku ubah 60% daripada yang asal, komen beliau kenapa awak ubah banyak sangat ni?

Kali ketiga aku gunakan yang asal tapi ubah warna sikit, katanya awak ni faham ke tugas awak kat sini? Aku cuma menjawab boleh tak puan bagitahu apa yang puan nak dalam poster ni dengan jelas?

Kesudahannya dia suruh orang lain yang buat, tapi poster tu menerima kecaman yang hebat bukan sebab aku lakar lagi cantik tapi sebab dia tiru poster yang sedia ada, yang dilakar oleh teman sejawatannya.

Nasihat aku kepada ketua yang macam ni, arahan tu kena jelas kak, manalah saya nak tahu apa yang akak rasa tak kena tu. Bukan duduk serumah.

3. Pernah sekali Megah Holding buat satu pertandingan hiasan tempat/ pejabat yang paling cantik untuk disertai oleh semua staff. Aku dilantik sebagai salah seorang AJK untuk pertandingan itu.

Apabila mesyuarat diadakan, ketika berbincang berkenaan hadiah, aku mencadangkan untuk memberi duit tunai sebagai hadiah memandangkan bajet agak besar diberikan kepada kami. Puan Orkid sebagai ketua menyanggah mentah-mentah.

Katanya kalau bagi duit nanti mereka akan membeli barang-barang yang tidak berfaedah. Puan Mawar pun bersetuju dan mengusulkan hamper sebagai hadiah.

Ada 8 orang dalam mesyuarat tu, 2 lelaki termasuk aku selebihnya perempuan. Semestinya mereka bersetuju. Dia ingat zaman sekolah ke bagi hamper kat pemenang.

Semasa penyampaian hadiah, bos lelaki tu tanya Puan Orkid, bajet dah bagi banyak ini ke hadiahnya?

Aku pun tak paham lah, duit banyak tapi beli hamper. Kalau orang tu dapat duit nak beli henset Samseng sekalipun, apa salahnya. Sampai ke situ pemikirannya.

4. Setelah bertahun aku kerja di sini, aku hanya selesa menjadi ‘yes man’ sepertimana staff lelaki yang lain.

Setelah Puan Mawar, salah seorang ketua meletak jawatan, bos ingin melantik aku sebagai pengganti memandangkan jawatan itu tidaklah penting sangat skop kerjanya.

Selain itu kakak-kakak yang lain pun ada calon tersendiri, semestinya seorang wanita. Setelah bermesyuarat, wanita itulah yang dapat sebab berdasarkan undian.

Aku tak berkecil hati pun dengan hal tu cuma bos aku tu kecewa sebab dia selalu takde geng bila mesyuarat sebab dia seorang je lelaki. Ini diluahkan dia sendiri. Aku cuma mampu tersenyum.

Bab-bab kroni ni aku tak ambil port sangat. Kalau naik jawatan pun tapi tak dapat kerjasama dari akak-akak tu, tak guna juga.

Betul tak? Wanita yang dilantik tu rupanya jenis yang tidak boleh membuat keputusan, segala keputusan dia akan bertanya kepada akak-akak dia tu.

Kesudahannya mereka pun naik rimas nak melayan. Apakan daya kak, cempedak dah jadi cempedak goreng cheese.

5. Staff lelaki kat sini kebanyakkan orang yang dah pasrah. So, working vibe tu kurang. Aku pun terikut-ikut dengan vibe tu. Apabila dikorek rahsia, mereka bercerita sama seperti apa yang aku alami tu.

Tiada suara dalam membuat keputusan disebabkan minoriti. Ada seorang brader tu, disebabkan dia merokok (luar bangunan) dan Puan Cempaka tu nampak dia merokok, sampai ke sudah dia di palang oleh ketua-ketua yang lain biarpun kerja dia bagus.

Betul lah merokok tu merbahaya, tapi luar waktu pejabat dan luar bangunan, ketua tiada hak dah atas anak buah.

Baiklah dia tanya brader tu pergi kerja naik apa. OT bayar ke tak. Ada apa-apa yang kurang ke. Bab merokok tu lah yang dia tekankan. Brader tu pun satu hal, cari lah port baik sikit, main sebat jek kat mana-mana

6. Kadangkala aku juga buat kerja luar pada hujung minggu untuk tambah pendapatan. Setelah beberapa ketika aku pun mampu untuk tukar kereta yang lebih selesa.

Percaya atau tidak, Puan Orkid boleh tahu baki gaji aku berapa dan tetiba boleh memberi ceramah free tanpa dijemput berkenaan urusan kewangan apabila dia tahu aku tukar kereta.

Sepatutnya gaji aku hanya diketahui oleh staff bahagian kewangan sahaja. Boleh bayang tak dia punya rangkaian penceritaan tu. Pejabat di lain-lain tingkat tapi boleh tahu perihal sekecil itu. Aku cuma menjawab, sepatutnya hal gaji saya tu sulit, macam mana puan tahu?

Dia cuma berkata saya tahu segala yang berlaku di sini, saya cuma nak nasihat sahaja. Nasihat-menasihati amalan mulia cumanya kenapa perlu selit kisah suami dia. Staff gomen, mana nak banding dengan orang swasta macam aku ni. Nasihat lah guna contoh lain. Haihh

7. Sebelum aku berkahwin, ayat yang paling biasa akan ditanya ialah bila nak kahwin? Betullah umur dah meningkat tapi tanya sekali sekala tu cukuplah. Ini setiap kali jumpa mesti nak cakap pasal kahwin.

Sudah tentu diorang akan bercerita akak dulu kahwin awal ..bla..bla..bla. Apa-apa pun mesti nak selit pasal suami tu. Perlu ke semua lelaki menjadi seperti suami diorang ni? Aku selalu menjawab esok saya kahwin, tapi kat siam lah sebab murah.

Secara automatik Puan Orkid mengatakan aku sebagai tidak hormat kepada ketua apabila aku menjawab sebegitu. Betul tak salah nak tanya tu, mungkin dia risau ke apa ke. Tapi lama-lama annoying juga kan kak?

Kepada akak di luar sana, jangan lah diseksa batin seorang bujang dengan bertanya kerapkali. Cukuplah sekali yer.

Penulisan ini bukan untuk memberi penyelesaian atau bertanya apakah penyelesaiannya. Ini lebih kepada pengalaman aku yang bekerja sebagai minoriti.

Ini adalah pengalaman pertama aku bekerja dan ditakdirkan untuk berada di bawah seliaan bos-bos perempuan, seharusnya menjadi pengajaran untuk aku cuba memahami karakter mereka yang pelik-pelik tu.

Tidak semua bos perempuan tak elok dan tidak semua bos lelaki tu bagus. Manusia mana yang sempurna kan kak?

Secara keseluruhan, aku boleh katakan pengalaman kerja di situ tidaklah teruk sangat. Cuma kalau ketua tu, tak kisahlah lelaki atau perempuan, mempunyai kepimpinan yang baik aku rasa lebih seronok untuk bekerja.

Aku selesa sebab bos besar aku selalu main peranan apabila perlu, jadi aku masih rasa ada sinar harapan. Biarpun vibe kerja tidak berapa seronok, tapi gajinya seronok, sebab tu aku kekal sehingga 2019.

Aku boleh dikatakan tiada karakter sebagai seorang pemimpin dan disebabkan itu aku cukup takut untuk menjadi pemimpin. Sesetengah mengatakan aku ni tiada visi dalam kerjaya. Realitinya, aku lebih suka untuk belajar dan go with the flow.

Sesekali aku dilantik sebagai ketua projek, ramai yang senang bekerja di bawah aku tapi apa yang berlaku di belakang tabir, macam nak gila aku fikir untuk kepuasan semua pihak.

Disebabkan itu, aku faham sekiranya sesetengah orang berubah sikap setelah naik pangkat. Sakit kepala kak.

Kini aku telah berpindah ke syarikat baru sebab ikut isteri. Itu sahajalah daripada aku, maaf di atas segala kekhilafan sepanjang penulisan ini.

– Roronoa Zoro (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *