Breastfeeding… Don’t Give Up!

Assalamualaikum semua. Aku tak pasti kalau post aku ni akan disiarkan ke tak sebab sebelum ni tak tersiar pulak. Hehe. Tapi terima kasih banyak-banyak kepada admin kalau sudi siarkan cerita aku ni.

Aku cuma nak kongsikan pengalaman aku yang tidak seberapa ni kepada semua. Yelah, mana tahu ada yang boleh membantu. Terus kepada cerita, aku kini berusia 30 tahun, mempunyai seorang anak lelaki (sulung) yang berusia 2 tahun dan seorang anak perempuan yang berusia 8 bulan.

Ya, perbezaan usia anak-anak aku cuma setahun lebih je. Aku tak merancang dalam kehamilanku, ada rezeki adalah. Tapi sebenarnya taklah menjangkakan secepat ni. Apepun aku bersyukur sangat dengan kurniaan Allah ni. Alhamdulillah.

Anak pertama aku, aku gagal untuk susukannya dengan susu badan sepenuhnya. Dalam usianya yang sebulan lebih, aku dah campur dengan susu formula. Bukan atas kehendak hati, tapi kerana terpaksa. Susu badan aku sikit. Anak aku kerap menangis sebab tak cukup susu. Mungkin sebab lelaki barangkali, kena minum banyak baru kenyang.

Aku ingat lagi masa aku buat keputusan untuk bancuh susu fomula untuk anak, menangis aku sambil buat susu. Yelah, ibu mana yang tak sedih tak dapat susukan anak dengan susu sendiri. Sedih sangat. Sambil menyusukan anak, sambil tu juga bibir aku tak henti-henti ucap “Maafkan mama sayang…maafkan mama”. Pilunya hati hanya Allah yang tahu.

Secara jujur aku tak punya banyak ilmu untuk penyusuan. Dulu semasa mengandung aku selalu dengar kena minum air masak banyak-banyak,baru ada susu. Lagi satu, aku ingat semua wanita yang mengandung lepas lahirkan anak pasti ada susu. Tak ada istilah tak ada susu pun dalam kepala otak aku ni. Salah satu sebabnya mungkin tengok kakak ipar aku susu dia banyak. So aku menjangkakan susu aku pun banyak.

Bila dah lahirkan anak sulung, baru aku tahu tak semua wanita dapat menghasilkan susu badan yang banyak. Aku adalah salah seorang wanita tu. Untuk seminggu pertama, susu aku cukuplah untuk anak aku tu. Yelah, perut bayi kecil lagi, minum pun tak banyak.

Bermula minggu kedua dan seterusnya anak aku kuat mengempeng. Penatnya, sakit pinggangnya hanya Allah yang tahu. Aku tau anak aku suka mengempeng sebab masih belum cukup susu untuk diminumnya. Masih lapar barangkali. Ayah aku pula asyik kata bagi susu formula. Kesian anak lapar. Allah..sedih aku dengar. Suami aku sebenarnya banyak membantu, tapi bila tengok anak macam ni dia pun cadangkan susu formula juga. Sedih.

Sejak itu, aku selalu google cara-cara untuk banyakkan susu badan. Segala cara aku dah cuba. Orang kata pam susu tengah-tengah malam, aku dah buat. Pukul 2 pagi aku pam, pukul 4 pagi aku pam. Tapi hasilnya macam tu juga. Tak banyak. Milk booster? 3 jenis milk booster aku dah cuba, tapi hasilnya hampa. Milk booster bukannya murah, mahal. Semua harga seratus lebih.

Orang kata kalau minum milk booster akan banyaklah, tipu je semua. Aku beli dengan penuh harapan, tapi hasilnya sangat mengecewakan. Orang tua-tua pula kata makan halba, lobak putih, kurma, bla-bla…tapi malangnya semua tak berhasil untuk aku.

Dah bermacam makanan mak aku sediakan untuk tambahkan susu badan aku ni, tapi tetap tak berjaya. Daripada apa yang berlaku ni baru aku sedar setiap badan itu berbeza. Ada orang boleh banyak susu, ada orang sikit susu. Akhirnya, anak sulung aku putus susu badan sepenuhnya pada usia 3 bulan.

Perasaan aku? Semestinya sedih. Belum ditanya orang sekeliling lagi terutama sanak-saudara. Perkataan ‘kesian’ dah lali aku dengar. Kesiannya, kesiannya, kesiannya. Itulah yang aku dengar. Pada awalnya bila dengar perkataan kesian tu memang nak nangis. Tapi lama-lama dah ok. Dah immune orang kata.

Macam-macam jugak orang tnya kenapa tak makan tu, kenapa tak makan ni. Aku malas nak explain, senyum kambing je lah. Diorang tak tahu berapa banyak aku dah usahakan untuk banyakkan susu. Tetap tak berhasil.

Seawal usia anak sulung 6 bulan, aku disahkan hamil lagi. Perasaan bercampur baur. Gembira sebab dapat anak lagi, tapi pada masa yang sama sedih sebab anak sulung masih kecil lagi. Apepun ini rezeki Allah, akan dijaga dengan sebaiknya. Kali ni aku tekad, aku akan cuba untuk susukan anak aku sepenuhnya. Aku selalu berdoa pada Allah agar dikurniakan rezeki susu ibu yang melimpah ruah. Sentiasa berdoa.

Setelah 39 minggu 2 hari, puteri aku dilahirkan. Pertama kali disusukan, aku berdoa sentiasa agar susu aku banyak. Hari pertama, malangnya aku dapat rasa susu aku macam sikit. Anak aku asyik mengempeng je. Allah, janganlah kejadian yang sama berlaku pada puteri aku ni. Tapi aku terus fikir positif, susu banyak, susu banyak. Itu yang aku ulang banyak kali.

Alhamdulillah, bila dah berurut, susu aku banyak. Syukur, memang banyak. Aku ingat lagi pesan nurse kat klinik desa yang aku selalu buat checkup dulu. Katanya pastikan demand sentiasa ada. Lepas susukan anak, pam 2 ke 3 jam sekali. So setiap kali lepas susukan anak aku pam susu. Sehari aku boleh dapat 21oz. Habis penuh peti sejuk aku walaupun waktu tu baru hari ke 15 berpantang.

Aku ingat panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Satu malam ni, aku terlampau stress. Anak aku asyik menangis je, tak nak susu, tak nak tidur. Waktu dah tengah malam. Suami pula kerja malam. Aku keletihan teramat, mata mengantuk, sakit luka bersalin pun belum sembuh sepenuhnya. Aku stress sangat sampai rasa macam nak meroyan.

Esoknya, susu aku drop! Allah.. aku nangis, dah terbayang situasi lalu. Waktu tu hanya Allah yang tahu perasaan kecewanya aku. Aku gagal kawal emosi, hasilnya susu aku dah berkurang. Aku pam cuma dapar 4oz je tak seperti selalu boleh dapat 7-9oz hanya untuk sekali pam. Sejak susu aku drop, aku pam susu sehari sekali je. Alhamdulillah walaupun susu dah tak banyak, susu aku cukup untuk anak aku. Mungkin sebab perempuan, minum susu sikit kot.

2 bulan bercuti, akhirnya aku kembali bekerja. Nurse kat tempat aku checkup anak aku tu ada pesan, kat tempat kerja kena pam sekurang-kurangnya 4 kali sehari. Sebelum kerja pam, walaupun baru lepas susukan bayi kena pam. Walaupun sikit, pam je. Yang penting pam. Itu yang aku ingat sampai sekarang.

Silap aku dulu, sewaktu anak sulung aku cuma pam sekali je kat tempat kerja. Ambil nasihat nurse, aku pam 4 kali kat tempat kerja. Jadual pam aku 8.30 pagi, 11.30 pagi, 2.30 petang dan 5.30 petang. Kali ni aku nekad, kena kerap pam dan pam. Jadual pam yang aku dah aku buat, tak boleh culas.

Tapi untuk pastikan jadual pam aku dipenuhi, bukan perkara yang mudah. Dengan meetingnya, kerja yang banyak buat aku kadang-kadang leka sehingga terlupa nak pam. Paling aku tak suka bila dah tiba waktu pam, bos panggil meeting. Tapi yang paling aku tak suka bila ada meeting luar. Memang akan mengganggu jadual pam.

Aku dengan tekad bawa pam dan pam susu dalam kereta. Pam susu aku jenis electric pump. So satu tangan pengang stereng, satu tangan pengang pam. Cermin kereta aku cover dengan penghadang cahaya tu, jadi orang luar tak nampak. Banyak kali juga aku pam susu sambil drive. Memang sangat mencabar. Tapi demi anak, semua aku sanggup. Mujur kereta juga auto, tak ada masalah bagi aku.

Seusia bayi perempuan aku 4 bulan, aku dah datang period. Jujur aku sedih waktu tu. Patutlah susu aku makin drop, period rupanya. Teringat sewaktu yang sulung, bila aku period susu makin kering. Tapi aku tetap tak mengalah. Aku fikir positif. InsyaAllah susu ada, insyaAllah susu ada. Itu yang aku cakap berulang kali.

Aku pam, hasilnya cuma 2oz untuk kedua-dua belah selama 20 minit. Sedih? Mestilah sedih. Tapi macam biasa aku berulang kali cakap susu ada, susu ada. Rutin pam tetap aku penuhi walaupun hasilnya sikit. Aku tak berputus asa. Selagi susu keluar, selagi tu maknanya masih ada susu.

Dan alhamdulillah susu aku kembali seperti sedia ada apabila melewati tarikh period. Yang aku perasan dua hari sebelum period susu akan berkurang dan kembali banyak balik bila hari ke 3 atau ke 4 period. Yang penting jangan give up walaupun sikit.

Oh ye, lagi satu. Aku setiap kali lepas pam akan makan. Yelah untuk topup balik tenaga. Susukan atau pam anak ni letih, perut asyik lapar. Ni juga antara nasihat nurse pada aku. Dulu aku lepas susu atau pam aku tak makan. Asyik minum je. Maka hasilnya tak ada sangat. Kali ni setiap kali lepas pam atau menyusu memang akan makan. Perut kenyang pun aku akan makan. Alhmdulillah susu sentiasa ada.

Untuk kelahiran kali aku belajar banyak benda tentang keadaan diri aku. Aku kena selalu pam untuk pastikan demand tu sentiasa ada. Aku jugak kena selalu makan untuk pastikan susu aku ada. Itulah yang aku dapat selidik tentang diri aku. Alhamdulillah, aku berjaya menyusukan anak kedua aku sepenuhnya sehingga 8 bulan. Tiada bantuan susu formula.

Kesimpulannya kat sini aku nak beritahu, jangan pernah putus asa. Cuba dan sentiasa cuba. Doa dan sentiasa doa. Untuk orang yang banyak susu, jangan sesekali mempertikaikan orang yang susu badannya sikit. Lain orang, lain bandannya. Kalau semua orang ada susu badan yang banyak, tak perlu susu formula di pasaran.

Dan yang penting, jangan ucap perkataan ‘kesian’ depan ibu yang tak dapat susukan anak. Perit dan pahit untuk didengar dan ditelan. Aku telah merasa macam mana badan tak cukup susu dan alhamdulillah aku merasa ketika kini badan aku cukup susu. Doakan agar aku dapat susukan anak sehingga usia 2 tahun ye.

– Lynn (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *