Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca iiumc. Terima kasih Admin jika sudi siarkan kisah saya.
Nama aku Dee (bukan nama sebenar) berumur lingkungan 20an. Kisah aku seperti dipaparkan. Aku mempunyai berat badan yang besar sejak hormon ku berubah meningkat alam remaja.
Masyarakat sering menganggap bahawa teguran terhadap insan gemuk seperti aku normal je.
Walhal mereka tidak tahu, dari usia aku semakin membesar aku sering mendapat ‘penghinaan’ ini.
Aku tidak lagi bertandang ke majlis keramaian seperti hari keluarga, makan makan antara keluarga, atau kenduri kendara yang dianjurkan oleh saudara mara juga sahabat handai.
Bermacam alasan aku beri bagi mengelakkan diri untuk hadir ke majlis tersebut.
Manakan tidak, aku sering kali dihina dihadapan orang ramai ‘eh, kau makin besar lah ye’ ‘tengok budak ni, besar dari maknya’ ‘kau ni seorang je la besar kat sini’.
Penghinaan itu berlaku bukan dihadapan seorang dua, adalah sekumpulan juga lebih kurang belasan manusia yang turut memandang aku dengan sinis.
Aku hanya mampu telan air liur dan menunduk sahaja. Aku malu ya Allah. Aku malu.
Kadang kala aku tidak mengambil peduli namun jauh disudut hati aku tatkala aku seorang diri aku terluka dan menangis sendirian.
Luaranku seperti tiada apa berlaku namun hati aku hancur lebih lebih lagi keluarga sendiri pun sering menghina aku. Emosi aku terganggu dengan kata kata ‘body shaming’ mereka.
Mungkin gurauan bagi mereka ‘nanti besar macam pintu, nampak macam tong dram, lebih teruk lagi mereka samakan aku dengan binatang’.
Namun bagi aku, aku kecewa. Ya aku sangat kecewa. Hari demi hari aku hanya berkurung di bilik. Aku mungkin mengidap depresi akibat ‘gurauan’ mereka. Sering juga aku putus asa untuk hidup.
Orang macam aku ni menyusahkan orang lain ke? Lebih teruk lagi bila aku terfikir ‘kenapa Allah tak tarik nyawa aku’ mungkin aku menyusahkan mata semua orang sekeliling aku.
Namun jauh disudut hati aku, daku panjatkan doa pada Tuhan moga dia tutupkan hatiku dengan sifat dendam. Jauhkan aku dengan kebencian. Walaupun mereka sering membuat aku menangis dan terluka.
Pupukkanlah sifat maaf dalam diriku terhadap mereka. Moga ada sinar baru untuk aku.
Bukan aku tidak usaha. Bermacam diet aku lakukan. Sesekali mencuba satu dua produk kurus, masih sama juga.
Hingga suatu saat, aku sendiri putus ada dengan diri sendiri dan mengeluh ‘Kenapa aku gemuk? Kenapa aku tak kurus seperti orang lain? Mereka nampak bahagia sangat’.
Aku mohon kalian doakan aku. Cepat kurus beroleh kerjaya sebagai seorang pensyarah kelak.
Ya aku ada juga menghadiri temuduga untuk kerjaya. Mereka lebih memandang personaliti dan rupa. Itu hakikatnya.
Dalam kancah percintaan pula, aku tidak menafikan lelaki lebih cenderung memilih wanita cantik rupawan, kurus dan sedap mata memandang.
Ada juga aku bercinta namun setelah lama kelamaan dia juga inginkan wanita yang sempurna. Aku makin depresi. Aku makin kecewa.
Tapi disini aku ingin katakan, untuk semua orang yang pernah menyakiti hati aku. Aku sudah memaafkan kalian.
Aku doakan kalian jangan ulangi lagi ya. Kerana padah kata kata itu boleh membinasakan hati orang lain. Penerimaan si penerima itu mungkin menganggap serius.
Ok lah rasanya dah panjang kisah aku. Sebenarnya banyak je lagi kisah yang menyakitkan tapi aku buang. Biarkan ia berlalu.
Jadi, aku mohon dari hati aku yang paling dalam. Pembaca doakan aku kurus. Aku dah penat hidup dalam alam orang gemuk ni.
Doakan perjalanan aku dalam diet menu sihat dipermudahkan dan dapat mencapai berat ideal yang aku idamkan.
Tak lupa juga doakan kejayaan kerjaya aku juga kebahagiaan keluarga aku dunia akhirat.
Terima kasih semua.
– Dee (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit