Buaian Mimpi

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca-pembaca IIUM Confessions yang saya hormati sekalian.

Saya amat perlukan pendapat dan sokongan daripada anda semua, para pembaca sekalian. Saya memohon maaf sekiranya coretan saya ini agak panjang dan membosankan

Hidup saya sederhana. Sama sahaja seperti orang lain. Saya mempunyai seorang kakak dan seorang abang. Ketika saya berumur 7 tahun, saya kehilangan ibu yang amat saya cintai disebabkan penyakit yang terkenal di kalangan wanita.

Semenjak ibu meninggal, kakak dan abang berpakat untuk bermusuh dengan saya. Saya dicaci, dicela dan hak saya banyak yang dinafikan kakak dan abang saya tetapi syukurlah. Ayah saya yang banyak selamatkan saya dari kegelapan

Apabila saya menduduki peperiksaan SPM dan waktu ini adalah kertas yang terakhir pada hari terakhir peperksaan tersebut, saya dikejutkan dengan pemergian mengejut ayah saya sejurus selepas saya tamat menjawab kertas terakhir peperiksaan tersebut.

Hati saya luluh, hancur, remuk dan berkecai. Di saat ini jugalah kakak dan abang menghilangkan diri entah kemana. Membiarkan saya keseorangan menempuh liku-liku kehidupan

Semenjak ayah saya telah pergi pada usia saya yang baru 18 tahun, saya terpaksa melakukan semuanya sendiri. Semenjak ayah saya pergi, tiada lagi orang yang membantu saya tentang perihal keagamaan.

Ini kerana ayah saya ialah salah seorang imam masjid di kampung kami dan beliau jugalah yang banyak membantu dan mengajar saya tentang agama suci Allah S.W.T. Tetapi sejak ayah saya pergi meninggalkan saya, saya hilang pedoman.

Saya hilang arah tuju sama sekali. Saya semakin hilang keupayaan untuk memahami ayat-ayat suci Al-Quran sehingga satu tahap, saya langsung tidak mampu memahami apapun yang tertulis di dalam kitab suci Al-Quran Nur Karim.

Saya cuba untuk berguru kembali dengan mana-mana guru agama yang boleh mengajar tentang ayat-ayat suci Al-Quran tetapi malangnya, saya tidak mampu.

Entah dimana silapnya, saya hanya mampu memahami sekiranya ayah saya sendiri yang mengajar saya dan bukan orang lain dan semakin lama, saya dapat merasakan yang saya semakin jauh daripada Allah S.W.T.

Memang saya akui. Semenjak ayah saya pergi, tiada lagi orang yang temankan saya untuk solat berjemaah. Baik dirumah atau di masjid.

Saya cuba berdikari dan cuba untuk solat sendiri di rumah tapi malangnya, saya gagal sama sekali. Setiap kali saya ingin menunaikan solat, hati saya sebak. Hati saya hancur. Hati saya luluh sehingga saya membuat keputusan untuk solat di masjid sahaja,

Dan apabila saya solat di masjid, saya akan mengambil kedudukan yang paling hadapan. Kedudukan yang tepat berada di belakang imam. Dengan ini, barulah saya boleh solat dengan aman dan tenteram

Alhamdulillah. Saya akui. Walaupun saya telah jauh daripada Allah S.W.T., contohnya seperti banyak tinggal solat//puasa, jarang solat/ke masjid, tapi saya masih belum melakukan perkara haram seperti berjudi, minum arak dan berzina. Alhamdulillah.

Allah S.W.T masih memelihara saya sehingga ke hari ini sehingga, suatu hari, Allah S.W.T menunjukkan keagungan dan kebesaran kuasaNya.

Rezeki saya semakin sempit sehingga saya langsung tidak mampu membayar ansuran kenderaan dan sewa rumah dan kini, hanya menunggu nikmat tersebut ditarik balik Allah S.W.T.

Saya menangis, saya hampa dan saya kecewa kepada diri saya sendiri kerana saya tidak mampu mempelajari kembali tentang agama suci Allah S.W.T. tanpa adanya ayah tercinta sehinggalah suatu hari, saya dipertemukan dengan Nuur.

Pada mulanya, saya sangkakan yang Nuur hanyalah insan biasa yang sama sahaja seperti saya. Rupa-rupanya Nuur berasal daripada keluarga yang sangat kuat pegangan agama.

Semakin lama, persahabatan saya dengan Nuur semakin akrab sehingga suatu hari, saya bercadang untuk bertemu dengan keluarga Nuur.

Alhamdulillah. Ibu bapa Nuur menyambut saya dengan baik sekali tetapi saya terlihat sesuatu pada ibu bapa Nuur. Ya. Saya terlihat ibu bapa saya sendiri sedang memandang dan berbicara kepada saya. Hati saya remuk kembali.

Saya dapat merasakan kehadiran ibu bapa saya sendiri apabila melihat ibu bapa Nuur sekaligus, memberikan sinar harapan kepada saya tetapi sayang. Saya kini hampir di penghujung waktu..

Adakah Allah S.W.T ingin memberitahu bahawa Allah S.W.T ingin saya kembali kepadaNya?

– Mushy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *