Salam semua. Saya anak sulung daripada empat beradik. Tuhan rezekikan saya kerjaya dengan gaji yang lumayan, dan suami juga ada pendapatan yang boleh tahan. Amat berbangga dengan pendapatan itu, masa tu tak sedar hanyalah pinjaman.
Adik-beradik yang lain biasa-biasa saja gaji mereka, selayaknya mengikut kelayakan pendidikan masing-masing.
Dengan gaji yang mewah, saya memang dulukan ibu bapa. Apa sahaja yang mereka hendak, saya cepat-cepat berikan. Mertua juga begitu, tapi jujur lebih pada ibu bapa sendiri lah kan. Pada ibu bapa saya memang tidak berkira, tapi tidak pada adik-beradik saya.
Kadang-kadang sebelumnya ada juga adik-beradik ingin meminjam duit bagi pelbagai alasan yang legit — nak kahwin, gaji tak cukup, nak pinjam sedikit untuk urusan jual beli rumah, kereta rosak — saya buat bodoh saja.
Paling-paling saya akan bagi tazkirah panjang lebar betapa mereka perlu pandai mentadbir urusan kewangan mereka sebaik-baiknya.
Sudahnya saya memang tak beri pinjam sebab risau jika terbiasa beri pinjam nanti mereka akan suka meminta dan tak reti berusaha. Atau disebabkan isu pinjam duit ini akan menyebabkan hubungan adik-beradik jadi bermusuh jika ditakdirkan wang yang dipinjam tak berjaya dibayar.
Jadi atas sebab-sebab itu, saya memang tidak beri pinjaman wang pada adik-beradik saya.
Tapi itulah, walaupun begitu, hubungan kami adik-beradik tetap rapat dan mereka memang tidak pernah terasa dengan perangai kedekut saya. Mereka tetap melayan saya dengan baik dan hormat saya sebagai kakak sulung.
Cuma pada suatu hari, tiba-tiba ibu saya semasa kami berborak-borak senggang di dapur, dia bercerita duit yang saya selalu beri tu dia beri kepada adik-beradiknya mana yang tidak mampu atau diketahui ada kesulitan.
Saya terkejut dan mulalah berikan alasan-alasan mengapa tidak sesuai beri pinjam wang kepada adik-beradik sendiri atas alasan yang saya berikan sebelumnya.
Namun ibu saya hanya katakan,
“Duit mak beri tu tak sebabkan duit yang ada dalam simpanan mak terusik pun. Rezeki mak, kau dan adik-adik selalu bagi duit. Tapi duit banyak-banyak pun apa guna kalau adik-beradik mak susah mak tak tolong langsung.
Tak sanggup fikir sedarah sedaging susah, dia orang minta pertolongan pada orang lain atau dibiarkan susah sedangkan kita ni hidup Tuhan dah berikan yang sebaik-baiknya.”
Saya diam. Mak saya sambung lagi,
“Kang aku mati, dia orang juga dengan korang anak-anak mak yang akan uruskan jenazah, doakan mak, ngajikan mak. Apalah sangat setakat harta yang Tuhan bagi pinjam ni mak sedekahkan pada adik-beradik. Mak bagi pinjam tapi kalau sampai sudah mereka tak bayar balik, mak niat sedekah ajelah.”
Saya diam lagi. Malamnya di rumah sendiri, saya teringat-ingat — saya ni, adik-adik nak pinjam duit, nak pinjam kereta, memang beribu alasan tak beri atas prinsip hidup.
Saya juga duduk di luar kawasan dari adik-beradik yang lain dan jauh dari ibu bapa atas alasan yang sama, “Kalau selalu jumpa nanti asyik nak gaduh?!”
Saya biasa-biasa sahaja dengan adik-beradik, “agak” rapat cuma saya kononnya tegas dan ada prinsip berkenaan hal kewangan. Saya teringat-ingat masa saya tak beri pinjam duit dan kenderaan tu, bagaimanalah agaknya perasaan mereka.
Bukanlah adik-beradik saya kerjanya pinjam duit, tapi kebetulan pada tahun-tahun tersebut macam-macam jadi pada mereka — kereta rosak, duit nak bayar duti setem tak cukup, anak sakit, suami isteri kena retrench — macam-macam.
Selepas itu, memang mereka tidak pernah meminta-minta dari saya. Saya menangis semahunya tiba-tiba kerana terfikir,
“Ya Tuhan, hinanya perilaku saya ini. Jika saya di tempat adik-adik saya, saya dilayan sebegitu, apakah perasaan saya?” Dahlah tengah ada kesulitan, mesti malu nak minta tolong tapi sebab terpaksa meminta juga dan kemudian ditolak.
Saya menangis semahunya malam tu, tak dapat tidur. Saya solat taubat minta ampun pada Tuhan (harap Tuhan terima taubat saya yang angkuh dan sombong pada adik-beradik). Saya berazam untuk ubah mentaliti saya dan lebih compassionate pada adik-beradik dan anak-anak buah saya.
Saya mulakan dengan belanja percutian bersama-sama, lebih kerap balik kampung untuk berjumpa dengan mereka (sebelum ini saya hanya nak jumpa parents), dan sponsor anak-anak buah saya punya pelajaran.
Seorang adik saya yang kena retrench suami isteri, alhamdulillah suaminya dah dapat pekerjaan tapi gaji agak rendah, saya bayarkan duit sewa, duit belanja sekolah anak dan duit van.
Seorang lagi adik saya yang keretanya dah berusia 18 tahun, saya belikan Myvi baru. Yang seorang lagi alhamdulillah kerja baik dan mampu serta sama-sama tolong adik kami yang dalam kesulitan.
Kehidupan saya sekarang, alhamdulillah hati tenang. Saya sekarang tak risau duit saya makin kurang atau makin sikit. Saya content, kalau saya Tuhan takdirkan mati esok pun saya dah buat sebaiknya untuk darah daging saya.
Saya sedar rezeki saya yang mewah itu Tuhan yang berikan. Bagaimana Dia boleh beri semewah-mewahnya, Dia juga boleh tarik dalam sekelip mata.
Rezeki itu bukan hak saya seorang. Saya akhirnya faham konsep — dalam rezeki yang Tuhan berikan untuk kita, ada rezeki untuk orang lain. Sedih bukan jika kita masa hidup duit berkoyan-koyan tapi adik-beradik hidup susah sana sini.
(Saya tulis dalam konteks adik-beradik atau ahli keluarga lain yang tidak ada masalah dadah, kaki tipu, biawak hidup.)
Saya tulis confession ini juga bukan untuk tunjuk saya baik sebab saya sebelum ini adalah segala yang opposite daripada baik.
Jika kita saling tolong-menolong sesama kita, percayalah hidup kita lagi diberkati dan dirahmati.
Aamiin..
– Kakak sulung (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
alhamdulillah
tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima..
terima kasih Allah menjentik hati awak..
semoga semua amal jariah awak diterima amin..
Inilah pengakuan yang aman dan tenang saya baca dalam IIUM confession ini. Tidak berkhayal, tidak perasan sendiri, tidak membesarkan lingkungan diri sendiri sahaja penceritaan puan ini. Manis sekali membacanya. Tahniah puan dan tahniah ibu puan. Sebenarnya rezeki puan yang terbesar adalah memiliki seorang ibu yang sangat baik hati, berfikiran terbuka dan tenang. Benarlah, Ibu yang pandai jaga diri pasti melahirkan anak-anak yang berfikiran positif. Betul puan, dalam rezeki kita ada juga rezeki untuk orang lain. Allah beri untuk kita agihkan juga kepada orang lain dan paling cantik adalah membantu adik-beradik sendiri. Moga Allah memberkati kehidupan puan dan keluarga.
Alhamdulillah.. terima kasih atas perkongsiannya puan.. sangat2 memberi inspirasi.. saya jgak anak perempuan sulung, yang berkerja dan berpendapatan lebih sedikit dari adik2 saya.. cumanya saya masih belum berkeluarga.. saya selalu cakap kat adik2 saya, dalam setiap rezeki kita ada rezeki orang lain.. seb tu setiap kali dapat gaji, saya cuba usahakan belanja family makan2 kat luar, bawak jalan, beli barang keperluan.. benda tu nampak simple tp asbab dari kita berkongsi rezeki dengan keluargalah, Allah makin murahkan rezeki kita lagi. Alhamdulillah, adik2 pun dah terikut buat benda yang sama.. sebenarnya, bila kita tak berkira ngn adik2 ni..bukan sahaja boleh buat ikatan kekeluargaan kita semakin rapat tapi hati kita pun bahagia dan tenang ..
haha tak salah buat baik, tapi berpada pada. kalau saya, saya tak kisah la dia nak bagi pinjam kat sesape asalkan jangan mengomel tak cukup ke apa.