Buat Confessor Azza

Buat Azza. Ini bukan masa untuk mengalah. Ini masa untuk membuktikan segala apa yang diperkatakan oleh orang lain adalah salah.

Biar saya bahasakan diri saya sebagai Kak CL. Azza, kalau nak cakap tentang orang mengata tentang markah rendah, gagal, tak pernah memenuhi impian, itu perkara normal. Dibandingkan, dikutuk sebab anak seorang guru, tetapi tak perform pun normal. Normal pada akak sebab akak pernah melalui itu semua dahulu. Jadi akak sangat faham perasaan itu.

Kak anak seorang guru. Bahkan anak kepada pasangan guru. Kalau mahu letakkan kayu pengukur, akak berada dalam kalangan murid yang sederhana suatu ketika dahulu. Tetapi, biasalah murid sederhana, ada beberapa mata pelajaran yang memang usaha macam nak gila pun, masih tak membuahkan hasil. Sejarah contohnya.

Satu benda yang akak kagum dengan diri akak sendiri (kagum, bukan takbur/riak) adalah akak punya rasa nak “tutup mulut” orang yang mengata akak. Tapi, bagaimana caranya? Satu je yang akak tahu ketika seusia anda – BELAJAR.

Jujurnya, selama akak belajar dari kecil sehingga universiti, tak pernah sekali pun akak belajar niat kerana Allah (ini bukanlah perkara yang membanggakan). Akak belajar dengan niat nak memberikan kegembiraan kepada Mak dan Abah akak. Tu sahaja yang mendorong akak, paksa diri untuk terus belajar – demi memastikan orang tak mengata Mak & Abah – “Mak Bapak cikgu tapi anak pun tak pandai?” – itu pantang akak. Pantang sangat.

Sebab pada akak, yang duduk dalam kelas, aku. Yang duduk ambil peperiksaan, pun aku. Apa kaitan Mak Abah aku? Jadi, bila ada beberapa peristiwa yang mengubah persepsi akak, dan misi tidak menjatuhkan maruah Mak Abah (pemikiran budak usia 16 tahun ketika itu), akak buat sehabis baik untuk buktikan mulut orang adalah salah.

Cikgu Sejarah akak pernah cakap dengan lantang dalam kelas – “Mak kau punya subjek, kau boleh dapat A1. Bapak kau ajar Sejarah, kau tak pernah lulus! Gagal dari Form 4, sampai dah nak SPM ni!”

Masa cikgu tu cakap, ada beberapa pemikiran terlintas dalam otak akak.
1. Abah aku tak ajar aku dalam kelas.
2. Iman pun tak dapat diwarisi, apatah lagi pengetahuan sejarah.
3. Aku akan pastikan cikgu makan balik apa dia cakap.

Apa yang akak buat, akak letakkan buku teks Sejarah Form 4 & Form 5 depan muka akak setiap hari bersama buku latihan. Akak buat latihan tanpa gagal setiap hari, sampai dalam masa 2 bulan, akak hafal setiap inci buku teks. Kalau Cikgu Sejarah tu (yang dah ignore akak dalam kelas waktu tu), tanya soalan secara ramdom, akak boleh terkumat kamit sebut jawapan dan beritahu kawan akak, muka surat, perenggan, hatta baris mana jawapan. That’s how crazy dan psiko sangat akak nak buktikan kutukan dia hanya buatkan akak extra kerja keras. Hasil? Akak dapat A1 untuk Sejarah masa SPM. Cikgu tu menangis dan cakap terima kasih pada akak. Itu, akak anggap kejayaan manis akak.

Jadi Azza, cerita akak di atas itu bukan untuk riak, tapi supaya awak mendapat motivasi. Kalau awak kata, awak dimalukan sebab turun kelas, hello, abaikan kata-kata mereka. Adik akak sendiri, dia memilih untuk duduk kelas Sastera walaupun dia dipaksa duduk kelas Sains. Akak ingat lagi dia hampir bergaduh dengan cikgu dia. Sebab alasan dia – “Saya tahu kemampuan diri saya. Saya tak pandai! PMR saya ada 1A sahaja.” Walaupun kena kecam, dia belajar bersungguh di kelas sastera, dan dapat 8A masa SPM. Sekarang dia sendiri jadi cikgu dah.

Sedikit tips untuk Matematik, apa yang akak amalkan dahulu adalah, satu bulan, kena jawab 1000 soalan Math. Buat latihan walaupun tanpa cikgu suruh. Beli sendiri buku, buat latihan. InsyaAllah awak boleh Azza. SPM bulan November. Ada masa lagi untuk awak teruskan usaha.

Kata-kata negatif orang, abaikan. Jadikan sebagai suatu pendorong agar kita usaha untuk menjadi lebih baik. Demi diri kita dan keluarga. Kata-kata orang takkan pernah terhenti, tetapi kebahagiaan dan redha Mak Abah kita, akan membawa kita lebih jauh dalam hidup ini.

Fighting!

– Kak CL

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *