Buat Hana Isteri Yang Tersakiti

Assalammualaikum buat Hana dan rakan pembaca IIUM Confessions..

Boleh baca confession Hana di sini, (https://iiumc.com/isteri-yang-tersakiti-2/).

Ujian dikhianati bukan mudah untuk dihadapi. Saya sendiri pernah rasa perit. Sayu saya membaca apa yang Hana luahkan. Sungguh saya simpati. Saya mendoakan Hana kuat dan terus kuat untuk melalui hari mendatang.

Saya telah mendirikan rumah tangga selama 17 tahun. Saya telah melalui apa yang Hana lalui. Saya juga pernah menjadi ‘penyiasat persendirian’.

Jujurnya tak ada faedah menjadi penyiasat persendirian tak berbayar tu.. Hanya menambah luka dihati. Cukuplah sakitkan diri sendiri.

Sepanjang konflik kami suami isteri, macam-macami usaha yang saya lakukan. Semuanya menemui jalan buntu. Hingga saya rasa cukup putus asa.

Saya benci apa yang saya lalui. Saya rasa rendah diri. Saya menyesal memilih suami yang tak berkualiti.

Namun, suatu hari Allah bantu saya. Allah beri saya kekuatan dan hidayah. Saya sendiri tak tahu bagaimana dan bilanya saat saya kuat dan cekal hingga hari ini.

Hari ini, saat ini saya cukup bahagia dengan hidup saya sendiri. Saya sangat-sangat bersyukur. Akhirnya saya boleh bangkit.

Berbaliklah kepada ALLAH. Allah tu baik. Allah la sebaik-baiknya tempat pergantungan buat kita. Allah tak akan biarkan hambanya dizalimi dan dikhianati berterusan.

Allah hanya menguji dan apa yang berlaku ada hikmahnya. Cukuplah menyalahkan sesiapa. Suami jugak makhluk Allah yang datang untuk menguji kita.

Hingga saat ni sudah 7 tahun saya tak pernah lagi sibuk-sibuk nak buka telefon suami. Saya dan tak peduli apa yang dia sorokkan daripada saya. Saya letakkan ALLAH nombor satu dalam hidup saya. Saya betul-betul serahkan hidup saya pada Allah.

Saya mohon Allah aturkan hidup saya sebaiknya. Saya sudah berhenti berdoa untuk mengajar Allah untuk ikut apa yang saya kehendaki. Saya yakin dengan percaturan Allah.

Ada masa, memang terasa nak bersangka buruk kerana kepercayaan buat suami dah tak ada. Terasa nak buka handphone suami. Nak cek itu, nak cek ini..

Tapi saya cakap kat diri saya, nak ke sakit lagi? Nak ke menangis lagi sampai kena jumpa doktor? Nak ke jadi perempuan lemah? Cukuplah… sayang diri sendiri. Allah tu ada. Allah tu tak tidur.

Yakinlah, tak akan senang hidup suami yang menipu isteri. Saya sendiri nampak apa yang suami lalui. Hidupnya tak mudah. Banyak masalah hingga hari ini.

Saya tak mendoakan buruk-buruk buat suami. Moga Allah beri petunjuk dan hidayah buat suami. Saya serahkan bulat-bulat urusan saya suami isteri pada Allah. Moga Allah bantu dan sayang kami dengan rahmatNya.

Hidup saya memang Allah mudahkan segalanya. Baik dari segi kerjaya, kesihatan, anak-anak, adik- beradik, rakan sejawat, jiran dan saudara mara.

Sekeliling saya semuanya baik-baik. Seolah-olah mereka semua hadir untuk membahagiakan saya. Saya selalu bernasib baik. Allah beri ujian dapat suami sebegitu. Tapi Allah gantikan saya dengan kegembiraan yang lain. Sungguh saya bersyukur.

Bila hati tengah rapuh, cepat-cepatlah bersujud. Solat dan doa banyak-banyak. Letakkan Allah tu nombor satu dalam hidup kita.

Kita tak boleh kawal apa orang nak fikir dan nak buat pada kita tapi kita boleh ubah cara kita berfikir. Minta Allah bantu dan lindungi kita daripada orang menzalimi dan mempergunakan kita. Minta Allah mudahkan urusan kita.

Kita tak perlu nak serabut fikir kalau kita tak cek handphone suami, nanti suami asyik tipu kita or kawin lain. Tu semua kerja Allah.

Rezeki, jodoh, ajal dan maut urusan Allah. Sikit pun kita tak boleh nak halang kalau itu ketentuan Allah. Senjata kita doa dan doa. Jangan kita cuba balas pengkhiatan yang dilakukan.

Suami saya banyak sudah berubah. Saya nampak dia sudah banyak bertolenrasi dan mengutamakan saya dalam banyak hal.

Tika ini, suami yang lebih terhegeh-hegeh mahukan saya dalam hubungan kami. Saya tetap dengan cara saya. Dia bukan lagi priority saya untuk saya kecapi kebahagiaan.

Antara petua yang saya amalkan selain doa dan solat malam ialah dengan kaedah membasuh beras..hee. Basuh beras 3x arah lawan jam.

Bilasan pertama baca surah al- Fatihah, part ‘mustaqim’ tu niat la apa yang kita nak. Bilasan kedua baca, baca surah al- Insyirah, niat minta Allah mudahkan urusan hidup kita. Bilasan ketiga baca Ya Aziz, Ya Jabbar, ya Mutakabbir.. minta Allah lembutkan hati suami.

Amalkan jugak solat malam. Solat malam ni penyeri wajah. Wajah berseri-seri. Orang senang dengan kita. Inshaa Allah, suami akan diberi hidayah untuk setia sayang isteri yang sah.

Moga Hana sudi ikut tips ni. Jangan sedih-sedih. Jangan hukum diri sendiri. Berbalik pada Allah. Sesungguhnya Allah yang memegang hati manusia dan membolak-balikkannya. Tawakal pada Allah.

Anggap ujian ini, untuk Allah panggil Hana dekat kepadaNya. Hana akan tenang bila Allah selalu dihati.

Salam Sayang buat Hana dan rakan yang duji.

– Bunga Tulip (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *