Assalamualaikum confessor (https://iiumc.com/aku-yang-berdendam/). Cerita kita lebih kurang sama. Jadi, aku nak cerita apa aku buat untuk recover dari semua tu (masih lagi mencuba).
Pertama sekali, berdoalah. Doa supaya Allah sembuhkan semua luka kau, sakit yang kau rasa. Doa supaya Allah campakkan rasa benci dari hati kau. Doa supaya Allah bagi kau kekuatan nak memaafkan dan meminta maaf. Doalah setiap hari, setiap masa. Tak perlu lepas solat sahaja. Bila kau teringat, bila kau sedang menangis teringatkan mak ayah kau, bila kau rasa kau dah tak larat nak hadapi semua tu. Percaya dengan kekuatan doa. Sebab yang dengar doa kita tu Allah yang Maha Berkuasa. Jadikan doa sebagai perisai untuk kau lawan rasa dendam tu.
Keduanya, aku selalu pegang, orang yang berdendam tak pernah bahagia. Macam mak aku. Aku selalu doa Allah bantu mak aku buang semua rasa marah, sakit dan benci dalam hati mak aku sebab mak aku nampak sangat sakit dengan dendam yang dia simpan bertahun-tahun. Sebab dendam tu, mak aku tutup mata untuk tengok benda baik yang pernah berlaku. Mak aku anggap kami adik-beradik ni sebagai menyusahkan hidup dia semata. Kau pernah dengar tak, dendam yang paling terindah untuk seseorang adalah kemaafan.
Maafkan walau hati kau tak rela. Aku selalu teringat-ingat apa yang ayah aku buat. Aku selalu menangis bila cerita pasal ayah aku. Aku tertanya-tanya, kenapa ayah aku sangat-sangat tak suka aku. (Ini bukan perasaan aku semata-mata tapi semua orang nampak yang ayah aku tak suka aku, termasuklah mak aku). Bila aku tanya mak aku pun kenapa ayah aku tak suka aku, mak aku senyum pahit je. Tak ada jawapan sebab aku bukan anak yang kurang ajar. Bila jumpa ayah aku pun, aku tetap layan ayah aku dengan hormat sampaikan orang selalu ingat aku ini anak yang manja. Sedangkan orang tak tahu betapa banyak aku menangis sebab ayah aku. Bila aku ingat semua yang aku perlu lalui sebab ayah aku, aku menangis dan aku doa diam-diam, ‘Ya Allah, aku tak nak berdendam. Aku cuma sedih tapi aku tak benci.’
Selepas berkahwin, aku pernah jumpa ayah aku beberapa kali je. Boleh bilang dengan jari. Masa nak kahwin, perkara pertama yang aku fikir adalah, Alhamdulillah aku boleh lepas dari tanggungan ayah dan aku tak perlu lagi paksa diri aku untuk hidup sebagai anak ayah. Adakah aku berdendam? Entahlah, orang selalu pesan kat aku jangan benci ayah, selalulah balik jumpa ayah.
Aku tak rasa aku berdendam. Tapi ia lebih kepada, aku jaga diri aku, hati aku supaya perasaan aku terhadap ayah kekal sama. Aku tak nak bertambah terluka kerana ayah. Aku jarakkan diri aku tapi dalam ingatan aku, ayah sentiasa ada. Aku selalu cerita kenangan-kenangan indah dengan ayah pada suami sebab aku rindu ayah. Tapi aku memang tak kuat nak berterusan jumpa ayah dan paksa diri aku berpura-pura aku okay depan ayah.
Kadang-kadang bila jumpa ayah, ayah sebut-sebut apa yang ayah buat tanpa rasa bersalah. Seolah-olah apa ayah buat tu untuk didik aku jadi berdikari. Tapi kenapa aku sahaja. Kenapa perlu sampai buruk-burukkan aku pada adik-adik, halang aku dari jumpa dengan adik-adik, report aku pada polis sebab adik duduk rumah aku dan macam-macam lagi. Bahkan ayah pernah tampar aku depan adik-adik sebab aku suruh adik berhenti mengaji dan solat (sebab adik nampak penat dan mengantuk) dengan alasan aku kurang ajar. Ayah tak pernah rasa bersalah. Bila aku minta maaf, ayah akan cakap, ‘ha lain kali jangan buat lagi’.
Confessor, kau tahu kita cuma ada satu mak dan satu ayah sahaja dalam dunia. Tanpa mereka, kita tak akan ada di atas muka bumi ini. Pasti ada hikmah kenapa kita dilahirkan dalam keluarga yang sebegini. Dan aku anggap, keluarga aku sebagai satu pengajaran agar aku tak ulang silap yang sama pada anak-anak aku. Aku juga berat hati nak berkahwin awalnya sebab bagi aku lelaki semua macam ayah. Dan aku takut dengan perkahwinan yang tak menjanjikan bahagia.
Mak ayah kita, itu mereka. Dan kita, adalah kita. Walaupun mungkin cara kita sedikit sebanyak dipengaruhi mereka, tapi boleh sahaja kita jadikan itu sebagai sempadan untuk kita jadi lebih baik. Tiada perkahwinan yang sempurna. Sepertimana aku cuba jadi anak dan isteri yang baik, macam tu juga lah mak dan ayah cuba untuk jadi ibu bapa yang baik. Mungkin tak cukup untuk kita, tapi mungkin itu yang termampu buat mereka.
Kalau tak kuat nak berjumpa, mungkin boleh jalinkan hubungan melalui cara lain. Dan hadiahkan mereka doa. Doakan kebaikan buat mereka. Doakan kebahagiaan buat mereka, supaya kita juga bahagia melihat mereka bahagia.
Confessor, mungkin kau rasa kau adalah mangsa. Tapi tanpa sedar, kita lupa mak ayah kita itu pernah jadi anak juga. Mungkin mereka juga adalah mangsa.
Aku ingat ayah aku pernah cakap, ‘takdir keluarga kita ini akan sentiasa berulang’. Dan waktu itu aku pesan pada diri aku, ‘Tak, aku akan pastikan keturunan aku tidak rasa apa yang kami semua rasa’. Tapi realitinya, mudah disebut dari dilaksanakan. Semoga Allah bantu aku dan bantu kau untuk bentuk generasi yang lebih baik di masa hadapan.
Dan janganlah kau anggap akan ada happy ending ever after (terutamanya dengan berkahwin) atas dunia ni. Sebaliknya carilah bahagia kau dengan melihat ujian kau dari perspektif yang berbeza. Kahwin itu ujian yang lain pula. Aku pun masih struggle untuk tak ulang silap mak ayah aku tapi aku cuba. Sekurang-kurangnya aku tak nak rasa menyesal di akhir hubungan aku dengan suamiku.
Kita semua sebenarnya mencuba yang terbaik tapi yang terbaik buat kita tak semestinya cukup baik untuk orang lain. Begitu juga dengan mak ayah kita. Be strong dear dan aku doakan kau dikurniakan kebahagiaan, dunia dan akhirat.
– Anak Mak dan Ayah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit