Budak Kampus

10 tahun lepas. Kisah kami budak kampus. Kami bersepuluh. Aku, jaa, snaz, wan, ika, nek, makngah, mak, maksu dan pah. Nama gelaran berdasarkan karakter masing-masing. Kami semua sama bidang kursus dan sama kolej kediaman.

Senang cerita, satu blok tingkat lain-lain. Mula rapat sejak semester satu. Ada dari utara, selatan, timur termasuklah Sarawak. Sebelum ke kelas, kami sepakat untuk gerak bersama. Siapa awal, tunggu bawah. Paling lambat, mesti kena seru guna kuasa suara yang bergema satu blok.

Sejak makin rapat, kami sepakat untuk duduk berjemaah. Blok sebelah. Satu bilik dua orang. Aku bilik dengan jaa. Snaz dengan wan depan bilik aku. Yang lain ada yang tingkat bawah dan ada yang setia dengan bilik lama, kongsi 4 orang.

Dalam dewan kuliah, tempat kami tetap konsisten setiap semester, satu baris 10 orang. Kalau bilik kuliah kecil, kami ambil dua baris.

Kalau baju pun kami selalu sepakat. Selain daripada baju korporat kelas, kami ada baju rasmi sendiri, iaitu baju kurang corak polkadot yang kainnya dibeli di Masjid India. Meriah.

Setiap minggu hari yang ditunggu ialah pasar malam. Masa orang lain tengah fokus dengan kuliah, kami fokus dok tulis apa yang dibeli. Masa tu, pengangkutan kami hanya ada sebuah motosikal wave merah yang dipinjamkan oleh ayah aku kepada aku.

Jadi, syaratnya seorang kena ikut aku. Sebab 10 jari aku ni tak cukup untuk gantung plastik makanan. Lepas dah beli, berpusinglah kami hantar bilik ke bilik. Tapi kalau bawak jaa ke pasar malam, aku kena kawal si jaa tu. Sebab dia pernah sesat kat situ.

Dekat kampus kami dulu, ada peraturan. Kalau nak naik bas, kena berebut. Siapa cepat, dia dapat. Tapi sekarang, tak lagi. Budak kampus dah pandai beratur.

Kelas kami selalunya pukul 8 pagi. Masa tu, kami akan gunakan kepakaran masing-masing untuk naik bas. Ada juga yang tertinggal. Tapi hanya mampu memandang sebab kami pun selalu dapat berdiri dekat hujung-hujung pintu bas je. Muat-muat pintu nak tutup.

Kalau pintu terbuka, kemungkinan besar kami akan tergolek. Belum cerita suasana dalam bas yang macam sardin tu. Bertambah rumit kalau kami dapat tempat belakang sekali.

Fakulti kami hentian pertama, lokasi di sebelah kubur. Kami akan meredah lautan manusia untuk sampai ke pintu depan bas. Habis semester, ilmu kami sebagai ahli pengguna tetap bas kampus makin bertambah.

Bilik aku aras lima. Atas sekali. Bila turun laju, bila naik tu sampai je bilik terus terlentang atas katil. Tu belum kira, bila tak ada air. Selalu. Bila lori air datang, berebut bawa timba. Masa ambil, air penuh. Sampai atas, tinggal separuh. Rupanya kami dah basuh tangga guna air yang ambil tadi.

Bila tahu tak ada air, aku terus seru semua untuk mandi. Selalu air tinggal kat aras bawah je. Masa tu, ada juga yang pergi kelas tak mandi. Apakan daya, air tak ada.

Lantas, ada satu ketika kami buat keputusan drastik. Kami kemas baju, naik bas pergi rumah kakak jaa sebab kami risau tengok keadaan tandas. Seram.

Di sebalik kegelisahan masalah air tu, kami sangat gembira duduk bilik atas sekali. Selain dapat tengok landasan kereta api laju, dusun buah-buahan dan pemandangan yang menarik, baju di ampaian kami juga tidak basah dek titisan air daripada baju yang tidak diperah.

Orang aras bawah selalu kena. Tapi tak bermakna kami sewenang-wenangnya sidai baju tanpa perah ehh. Sian orang bawah nanti sidai baju tak kering-kering.

Setiap hujung semester, kami akan buat makan-makan. Menu ringkas je. Rancang, agih dan jalan. Eh tapi kami juga pernah tau solat jemaah dalam bilik yang sepatutnya muat untuk dua orang je tu. Berhimpit tapi indah. Bilik kami selalu bising.

Yela, kami siap berlatih untuk tugasan persembahan nyanyian/lakonan pun dalam bilik. Ada satu hari tu, kakak bilik sebelah ketuk pintu tegur kami. Lepas kena tegur, terus jadi kawan. Tapi tu la, nama kakak tu terus melekat jadi kak mon. Mon tu monster. Jangan bagitahu akak tu tau.

Kami juga tak lepas daripada sambut hari jadi. Dalam sepuluh orang tu, satu bulan kongsi 2-3 orang. Kejutan selalu dalam bilik je. Beli kek kongsi-kongsi.

Bila sampai waktunya, biasanya malam lepas isyak. Kami bawa masuk semua kasut dalam bilik. Konon macam tak ramai orang la. Diam. Tutup lampu dengan kipas. Lepas tu nyanyi. Kek tu ikut rezeki masing-masing la. Ada kek coklat yang beli dekat giant tu je. Bagi kami, yang penting kita seronok kan.

Antara kami, ada dua tiga orang yang aktif aktiviti kolej kediaman. Ada yang jadi orang kuat lagi. Ada satu program jualan, kami jual minyak wangi. Laku keras. Kami cadang nak beli alphard. Tapi tu la, duit tak cukup-cukup.

Pernah main sukaneka, tarik upih. Aku tarik snaz. Seronok aku tarik punya laju. Ringan je aku rasa masa tarik snaz tu. Aku pusing belakang, rupanya snaz dah tergolek. Patutlah ringan, upih je aku tarik. Selain itu, aku dengan jaa jadi ajk untuk persembahan teater kolej.

Diorang cakap, bila lampu gelap, semua kena lari kutip prop yang dekat tengah pentas tu. Aku dengan jaa dah sedia. Kami pun lari. Tapi, aku pandang jaa, jaa pandang aku. Dua-dua tak dapat apa-apa. Bersungguh tau kami lari.

Bila masuk minggu ulangkaji, ramai tak balik. Macam-macam cara belajar kita boleh tengok. Tiba-tiba je tengah malam dengar orang jerit. Tak tahu stress belajar ke tengok cerita hantu ke ada masalah percintaan. Petang-petang ramai lepak kat tasik dalam kampus. Jogging. Bagi makan ikan.

Pernah satu hari tu, AJL (anugerah juara lagu) masa minggu ulangkaji. Aku dengan jaa ni duduk dekat meja belajar dan ngadap dinding. Gaya macam tengah belajar. Tapi pakai fon telinga dengar melalui radio. Teruja masa tu Hafiz Suip menang.

Masuk bilik depan, tengok snaz dengan wan tengah belajar. Terus insaf. Cakap pasal AJL, kampus kami ni memang terbaik. Siap pasang skrin besar dekat dewan. Masa tu Ana Rafali menang. Aku dengan jaa tengok jugak. Sampai hari ni, aku dengan jaa peminat setia AJL.

Haa waktu belajar kan duit tak berapa nak ada. Hanya harapkan ptptn. Nak minta keluarga, segan. Kami pun niaga.

Aku dengan jaa pernah jual sosej, jambu, keropok. Lepas letak, kami nyorok. Tengok siapa yang membeli. Dekat kolej kediaman kami, budak-budak kampus ramai berjualan. Letak tepi tangga. Sila letak dalam bekas bila nak bayar. Tapi tu la, jualan habis tapi duit tak cukup. Mana pergi eh.

Kami pernah berpuasa dekat kampus. Waktu sahur, sunyi. Sebab ramai yang dah sahur siap-siap tengah malam. Menu sahur aku, macam biasa. Mee segera/biskut dan milo. Kalau rajin, tapau nasi goreng kafe malam-malam tu. Sahur makanlah atas meja belajar sambil ngadap dinding.

Rumet aku, si jaa tu. Bangun sahur minum air masak, tidur balik. Tenang je sahur dia kan. Masa awal-awal semester, motor tak ada lagi untuk ke masjid. Pihak pengurusan ada sediakan dewan untuk terawih berjemaah. Jadi, ramai la akak-akak bertelekung turun untuk berjemaah.

Bila kelas malam waktu ramadhan, kami tapau dulu makanan. Dengar je azan, terus kalut makan dan solat maghrib. Makan kat kerusi je. Makanan pun ada la jual kat gerai dalam kampus. Tak banyak pilihan. Janji makan.

Kalau kelas malam ni memang kami kalut. Sebab ada satu kelas ni, pensyarah akan kunci pintu kalau lambat. Dengar je azan maghrib, terus solat. Berhimpit pun tak apa. Rasa macam nak terbang sekali dengan telekung pun ada.

Pernah nak merasa pergi bazaar ramadhan luar sikit je dari kampus. Sungguh mencabar. Kena naik bas, berhenti. Sambung jalan kaki yang agak jauh. Nak balik, jalan kaki, sambung naik bas balik. Rasanya ada la kot sekali dua je guna keadah tu. Bukan apa, tak tahan daulat weh.

Masa berlalu, ada sorang dua dalam Mariposa dah ada kereta sendiri. Kami merasa la pergi bazaar besar dan jauh sikit. Bazaar Putrajaya. Lepas beli, kami makan ramai-ramai dekat dataran Masjid Putra. Lepas tu sambung maghrib, isyak dan terawih.

Kadang kami ke dataran depan Mahkamah, sambung solat dekat Masjid Besi. Ingat lagi, momen bila kami tadah tangan ramai-ramai berdoa sebelum berbuka. Serius syahdu.

Selain daripada layan lagu-lagu raya, kami juga pernah rancang nak pasang pelita keliling blok kediaman. Tapi tu hanya perancangan yang tak jadi kenyataan. Satu kerja pulak la kan. Bulan puasa juga kami sibuk nak membeli baju raya. Ramai-ramai turun ke jalan TAR. Tengok baju murah-murah.

Tak lupa untuk orang kampung. Bila penat, lepas solat dekat masjid India tu, kami ramai-ramai tidur berjemaah kejap. Sebelum sambung jalan. Bukan kami je, penuh budak-budak kampus lain. Rindu.

Paling seronok, nak balik raya. Suasana dekat stesyen bas/kereta api tu memang menghiburkan. Masing-masing ada satu tujuan. Balik kampung. Ini baru raya kan.

2020. Kami pun dah menginjak usia 30. Lima orang dah kawin, lima lagi masih jomblo happy memang pilihan hati. Generasi kedua kami pun dah masuk sembilan orang. Lapan orang putera dan seorang puteri. Tu ada lagi yang tengah berpantang. Selamat berpantang!

Kami masih ada kumpulan whatsapp tapi sekali sekala je meriah. Itu dah cukup bagi kami. Biar jasad jauh, tapi sentiasa bersepuluh bersatu. Doakan kami bersatu semula di syurga nanti ye gais!

Sebelum tu, mohon kalian sedekahkan pahala bacaan surah Al-fatihah buat teman-teman sekelas kami yang telah pergi dahulu bertemu Pencipta ya.

Yang benar,

-Pemilik tenggiling merah-

– Bekas budak kampus (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *