Salam dan selamat sejahtera, saya berharap sangat admin dapat siarkan luahan ini, terima kasih.
Sejak akhir ini banyak isu-isu berkenaan dengan budaya toksik pekerjaan di Malaysia. Saya perkenalkan diri dulu, lelaki, lewat 20-an, sudah bekerja di sektor awam dan bujang.
Pertama sekali saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri bagaimana mendapat pekerjaan di bumi Malaysia ini.
Selepas tamat SPM lebih kurang sedekad yang lalu, saya memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.
Alhamdulillah, saya lulus temuduga dan dapat melanjutkan pelajaran peringkat persediaan sebelum meneruskan pelajaran di luar negara.
Setelah tamat peringkat persediaan, saya pula melanjutkan pelajaran selama 3 tahun di luar negara bagi menggengam segulung ijazah.
Seronok, sayu dan banyak pengalaman sepanjang bergelar pelajar di tempat orang.
Sejurus pulang ke tanah air, saya terus melaporkan diri ke tempat pemberi biasiswa dan menunjukkan sijil akademik dan skrol ijazah sebagai bukti tamat pengajian pada tempoh yang ditetapkan.
Selang beberapa bulan, saya ditawarkan pekerjaan di sektor awam, alhamdulillah syukur walaupun pada mulanya semasa sesi temuduga kedua saya agak kekok dan masih lagi dibuai pengalaman semasa belajar di luar negara.
Saya gagahkan diri menaiki pesawat ke Malaysia timur untuk menabur bakti seperti yang saya janjikan semasa awal sesi temuduga (selepas SPM).
Maka bermulalah episod sebagai pekerja, walaupun dulu belajar di luar negara tapi ini merupakan kali pertama berada di Malaysia timur, 1 negara tapi budaya, agama dan bahasa yang sangat berbeza.
Pada mulanya, saya berasa seronok kerana mendapat pekerjaan dan makin girang apabila gaji masuk dalam akaun bank.
Budaya kerja pada awalnya memang ada sedikit “buli”, jangan ingat kita ada lulusan luar negara, keputusan kelas pertama, dapat anugerah dekan, yang kita akan dilayan seperti raja.
Hatta, kita dilayan seperti “budak-budak” yang baru graduasi tidak kiralah latar belakang anda sekalipun.
Kebanyakan tugas diberikan kepada kita, dengan alasan masih muda, tiada komitmen dan oh “kalau naik pangkat nanti sekurang-kurangnya ada pengalaman” buat itu ini walaupun tugas hakiki sebenarnya bukanlah semua tugas yang diberikan.
Selepas setahun, gaji naik sikit, saya mula dibebani dengan tugas yang kurang berkaitan dengan profession saya.
Malangnya, sebagai pekerja baru, kita hanya angguk dan terima tanpa berkata apa-apa, mengenangkan si pemberi biasiswa yang telah menghabiskan banyak duit untuk memberikan saya segulung ijazah.
Lama kelamaan, minat dan semangat terhadap profession semakin luntur, hanya menunggu hari gaji, hanya masuk dan keluar tempat kerja seperti zombi, hanya menunggu untuk pencen (barangkali)
Tetapi tidak boleh disebabkan ikatan dengan si pemberi biasiswa membuatkan saya berasa serba salah dan seolah-olah tidak bersyukur jika batalkan perjanjian yang ditandatangani sebelum ke luar negara.
Walhal, begitu ramai teman-teman saya yang telah pun mengikut haluan masing-masing dengan memilih untuk tidak berkhidmat dengan si pemberi biasiswa. Mungkin mereka lebih bahagia?
Tetapi saya tidak mahu menanggung hutang yang banyak, jadi tiada jalan lain dengan terus berkhidmat.
Dunia pekerjaan tidaklah begitu indah sepertimana yang kita sangkakan, tetapi begitu jugalah hidup mesti ada liku-liku cabaran yang kita tidak belajar di dalam bilik darjah. Pengalaman yang akan mendewasakan, menguatkan, mematangkan kita.
Satu saja pesanan saya terutama untuk diri sendiri, ingatlah dunia ini bersifat sementara, tidak kekal jadi segala keseronokan, kegelisahan, kesedihan, kegemberiaan semuanya akan terputus apabila kita diletakkan 6 kaki di bawah tanah.
Hadapilah dengan tenang dan sabar, semoga dimudahkan urusan pekerja-pekerja sekalian tanpa mengira bidang/ profession anda.
Terima kasih..
– Ali (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit