Jika boleh diambil iktibar, silakan. Watak dalam cerita ni aku, suami dan perempuan itu, aku namakan Y. Aku berasal dari utara tanah air dan aku telah berkahwin hampir 3 tahun.
Kisah bermula apabila aku diperkenalkan dengan suami. Aku sejenis yang tidak suka akan perkenalan yang lama sebab aku berpegang pada kata ini, “kau takkan kenal suami kau selagi kau tidak tidur sebantal dengan dia”.
Sebelum kami bertunang suami aku dah ceritakan dari A to Z mengenai kisah hidup dia terutamanya dengan Y. Dia berjaya meyakinkan aku yang hubungan dia & Y telah berakhir kerana dia bukan menantu pilihan keluarga Y. Mereka telah berkawan berbelas tahun lamanya.
Untuk pengetahuan semua, aku sejenis yang amat tidak suka melibatkan diri dengan cinta bersegi-segi. Jika aku terlibat dengan cinta itu, aku akan mengundurkan diri terlebih dahulu dan akhirnya aku diuji.
Sebelum aku bertunang dengan suami, aku pastikan yang hubungan mereka telah berakhir dengan bertanyakan suami dan rakannya (hanya itu sahaja sumber yang aku ada). Berkali-kali aku bertanya pada suami dan rakannya itu. Jawapan mereka tetap sama hubungan telah berakhir.
Akhirnya kami bertunang selama setahun. 5 bulan sebelum majlis perkahwinan, suami aku wish birthday Y di fb. Masa tu hanya Allah yang tahu betapa kecewanya aku dan sekali lagi suami berjaya meyakinkan aku yang hubungan mereka telah berakhir dan tidak akan mengulanginya lagi.
3 bulan sebelum majlis, Y datang berjumpa aku ditemani suami dan apa yang membuatkan hati aku hancur bersepai apabila panggilan dia kpd suamiku masih lagi “abang-ayang” serta Y meminta aku untuk memutuskan pertunangan kami.
Masa tu, hati aku dah berbolak-balik untuk meneruskan perkahwinan dan fikiran aku kosong-sekosongnya. Aku tersepit antara air muka ibubapa dan perasaan kecewaku kerana persiapan dah buat dan jika aku membatalkan majlis ini sudah tentu ibubapa aku malu 7 keturunan.
Untuk pengetahuan semua, ya! orang2 di kampung aku masih berfikiran kolot dan yang nak tinggal lama di kampung adalah ibubapa ku, aku bekerja di KL.
Masa tu, aku sangat2 buntu sehingga aku mengeluarkan keputusan ini iaitu boleh batalkan perkahwinan tetapi bukan dari mulut aku, yang mana aku berikan keizinan kepada Y untuk batalkan majlis ini dengan cara dia.
Dengan beraninya, Y berjumpa ibubapa mertua aku tetapi mereka menolaknya dan memujuk aku untuk tidak membatalkan perkahwinan ini begitu juga dengan suami aku bersungguh memujuk ku untuk teruskan perkahwinan ini. Akhirnya majlis diteruskan seperti yang dirancang.
Bagaimana dengan hati aku? Hati aku masih kecewa walaupun suami berkali-kali minta maaf dan mengaku tidak menyintai Y tetapi pengakuannya tidak seiring dengan perbuatan.
Aku akui suami seorang yang bertanggungjawab tetapi selepas kami kahwin dan sehingga kini Oktober 2019 rupanya dia masih rindukan Y. Gambar kenangan dia bersama Y di socmed masih berada di situ.
Bila aku bersuara baru dia akan memadamnya dan ada beberapa perbuatan lagi yang jelas menunjukkan dia rindukan Y. Aku pernah membincangkan dengan suami mengenai hal ini tetapi dia akan mula naik angin.
Kini apa yang menyiksa jiwa aku, setiap kali aku terasa hati dengan suami pasti memori2 dia dan Y menghantui aku.
Aku sering mengingatkan diri aku yang semua ini terjadi atas kehendakNya dan hati dia bukan milik aku tetapi jauh di sudut hati, aku ingin dia merindukan aku sahaja kerana aku tidak merindukan mana2 lelaki selain dia.
Tolong nasihatkan aku bagaimana mahu melupakan semua ni & meneruskan perkahwinan kerana memori pedih ini sangat susah hendak aku padamkan. Aku tak tahu hendak minta nasihat daripada siapa kerana dari kecil aku dah terbiasa “sendiri”.
Terima kasih in advance atas nasihat kalian.
– Za (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit