Assalamualaikum
Saya menulis untuk IIUM Confessions ini hanyalah untuk berkongsi ilmu dan ilham. Tiada lain yang diharapkan kecuali dapat memberikan pengetahuan walaupun impaknya mungkin sangat kecil/sedikit kerana hasil nukilan tidak sebaik penulis-penulis yang mempunyai kepakaran dan cerita-cerita menarik.
Pernah mendengar lagu nyanyian Haqiem Rusli yang bertajuk “Tergantung Sepi”? Ketika saya menghadap Facebook, secara kebetulan melalui radio sedang berkumandang lagu yang sedap liriknya ini sebagai halwa telinga. Tergugat perasaan jugalah sekejap.
Saya memandang ke arah dinding berhampiran mesin jahit, tiada baju tergantung sepi, yang dalam ertikata lain “pending” pada mana-mana bahagian. Kain yang berlipat dan tersimpan rapi adalah, justeru belum bersentuh langsung lagi. Jika yang tadi “pending” namanya, maka yang masih tidak disentuh saya gelarkan sebagai “kiv items”.
Bagi mengisi masa yang terluang sementara menunggu waktu memasak tiba, saya memilih untuk hanyut ke dalam sessi membelek-belek kain yang baru sampai, iaitu kain material satin yang dijahit manik-manik kecil menghiasi corak bunganya.
Aspek penjagaan kain bermanik memang agak sukar dan remeh. Dinasihatkan agar menitikberatkan perkara berikut:-
Pertama; jangan dicuci menggunakan mesin basuh bagi mengelakkan maniknya tercabut atau jatuh bertaburan.
Kedua; seeloknya pakailah untuk acara-acara yang tidak menyebabkan penghasilan peluh yang banyak. Ini supaya baju tersebut tidak perlu dicuci bersungguh hati. Cukup sekadar sental-sental manja. Hehehe.
Ketiga; elakkan dipakai ketika melakukan kerja-kerja lasak apatah lagi di tempat-tempat yang kotor. Alasannya sama seperti tips yang kedua di atas.
“Mencuba menyimpulkan mati, namun terputus jua” – ini sebahagian lirik lagu. Ada kaitan dengan kainkah? Kalau difikirkan dari sudut santai, tiada apa-apapun sebenarnya. Tetapi jika disuaipadan secara ilmiah, kisah kain bermanik yang bakal saya ceritakan juga perlukan simpulan mati agar tidak terputus benangnya.
Kain satin bermanik tidak akan menjadi kain “tergantung sepi” sekiranya sedikit kerajinan ditambah. Definasi rajinnya bagaimana? Saya mohon, diri ini termasuk artikel ini tidak dikecam kerana saya bercerita berdasarkan pengalaman yang dikutip sedikit sebanyak daripada amalan saya sebagai orang yang berkecimpung dalam urusan jualbeli kain sulam (sulam terus dan sulam tampal) serta kain bermanik ini. Saya juga turut menjahit pakaian untuk kegunaan sendiri dan ahli keluarga. Bagi tulisan ini, kita berikan tumpuan kepada kain bermanik sahaja.
Baiklah, berbalik kepada istilah ‘sedikit kerajinan ditambah’ tadi. Kalau kita menerima sahaja kain bermanik yang dibeli tanpa sebarang ubahsuai (penambahbaikan), walaupun kita menjaganya seperti ketiga-tiga tips di atas, jangkahayat kain tersebut kemungkinan mampu bertahan lebih lama namun tidaklah terlalu lama. Sayang kan… beli kain cantik-cantik dan berharga mahal, guna beberapa kali sahaja sudah kelihatan “cacat” akibat kehilangan maniknya.
Ikutlah cara saya, iaitu ambillah benang dan jahit semula manik-manik itu sebelum kain digunting atau baju disiapkan. Pada pengakhirannya, ikat benang tersebut kuat-kuat. In sha Allah, baju kita boleh dipakai oleh anak-anak kita pula nanti.
Maka, tidaklah kelak bergelar kain tergantung sepi kerana benangnya disimpulkan mati dan tidak terputus jahitannya. Jadi, jomlah rajin seperti saya. Opppsss…! Masuk lif tekan butang sendiri namanya ni.
Maaf, saya memperkenalkan diri pada penghujung nukilan sahaja.
– UmmiRose Penjual Kain dan Tukang Jahit
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit