Bukan Menantu Pilihan

Dah dekat nak raya aku terpanggil untuk confess tentang raya terakhir arwah ibu mertua ku. Aku dan suami berasal dari negeri pantai timur tetapi berlainan negeri.

Aku dan suami telah berkahwin sejak 8 tahun yang lepas. Perkahwinan ku dengan suami tidak direstui oleh keluarga mertua. Pelbagai alasan yang diberi dan salah satunya mahu menjodohkan suami dengan orang lain. Hakikat sebenar aku tidak disenangi kerana darjat keran ibu bapaku bukan orang bekerjaya.

Aku mempunyai taraf pendidikan yang sama dengan suami, juga pekerjaan dan pendapatan. Ibu bapa mertua yang merupakan penjawat awam tidak menyenangi latar belakang keluarga ku kerana arwah ayahku hanya seorang buruh dan ibu seorang surirumahtangga, sedangkan ibu bapa mertua anak yang lain semua bekerjaya.

Selepas berkahwin bermulalah episod layanan double standard arwah ibu mertua terhadapku dan kedua ibu bapa ku (bapa mertua kurang mencampuri urusan ini). Panjang cerita jika ingin ditulis disini apa yang dilakukan ibu mertua terhadapku. Ibu mertua pandai berlakon, jika di depan suami ku dia akan melayan aku sebaiknya tetapi jika dibelakang suami emosi ku sering dihiris dengan kata-kata.

Memandangkan aku bukanlah menantu pilihan pelbagai cara aku buat untuk memikat hati ibu mertua. Iya aku perlu bekerja kuat lebih dari menantu- menantu lain. Setiap kali hari raya, menantu-menantu pilihan akan pulang ke rumah ibu mertua.

Ops lupa, hanya aku dan suami tinggal berdekatan rumah ibu bapa mertua. Ibu mertua mula sibuk di dapur di musim perayaan dan yang pastinya menantu-menantu pilihan tidak membantu kerana mereka berasal dari keluarga yang senang. Maka bertungkus lumus la ibu mertua di dapur seoramg diri dan dibantu oleh aku. Iya aku lakukan untuk mendapat cinta dari ibu mertua ku dan aku sudah terbiasa diajar membantu oleh ibu ku sendiri.

Setelah beberapa hari beraya di rumah ibu mertua semua anak-anak ingin pulang ke rumah ibu bapa pasangan masing-masing. Maka sibuk lah ibu mertua ku menyediakn juadah dan barangan untuk dijadikan buah tangan kepada besan-besan kesayangan. Aku yang ingin pulang ke rumah ibu bapa ku bersalam dengan ibu mertua sebelum bertolak.

Ibu mertua memberitahu tiada apa yang ingin dikirimkan kepada ibu bapaku dan hanya mampu mengirimkan salam. Sedangkan aku tahu dan nampak berkotak-kotak buah tangan disediakan untuk besan yang senang berbanding ibu bapaku yang miskin. Ketika itu hatiku terhiris dan terlintas di benakku jika ibu mertua sakit dan susah nanti lihatlah siapa disisi.

Selepas tamat musim perayaan kesihatan ibu mertua mula merosot kerana keletihan. Beberapa kali ditahan di wad dan hanya suami dan aku sahaja yang ada untuk ibu mertua. Ibu ku juga datang melawat beberapa kali. Pernah ibu mertua ditahan di wad dan berhampiran tempat kerjaku. Setiap kali rehat aku la yang menghantar makanan yang diingininya. Aku la yang menyuapnya dan memakaikan telekung solat ketika ingin bersolat.

Kemuncaknya ibu mertua ku menangis dan memelukku sambil meminta maaf. Hanya aku dan dia sahaja yang tahu kenapa dia meminta maaf dari ku. (ada beberapa perkara telah ibu mertua buat kepada ku termasuk ketika di dalam berpantang anak ke dua tetapi tidak dapat aku ceritakan disini). Dia memelukku tanpa mahu melepaskanku.

Ketika ibu mertua sakit menantu-menantu pilihan tidak pulang menjenguk dan besan-besan yang senang itu tidak mempunyai masa untuk melawat. Hanya ibu ku orang kampung itu sahaja yang datang melawat.

Beberapa bulan kemudian setelah keluar masuk hospital ibu mertuaku di panggil mengadap Ilahi. Ketika itu baru lah menantu-menantu pilihan muncul. Iya aku memaafkan ibu mertuaku tetapi jauh disudut hatiku masih ada trauma sehingga aku tekad jika anak-anakku tidak diterima oleh keluarga mertua, aku tidak akan benarkan mereka menongkah arus kerana aku tidak mahu mereka merasa sakit seperti aku.

Kadang aku terpaksa mengorbankan perasaan kedua ibu bapa ku demi menjaga hati ibu mertua. Kepada menantu-menantu yang masih diuji bersabarlah dan teruskan lah berdoa serta berbuat baik kepada ibu bapa mertua. Percayalah akan ada sinar di hujungnya.

– Ima (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *