Aku Lily, Anak sulung dari Enam beradik.
Dalam keluarga kami, setiap seorang ada kisah dan ujian sendiri — Dua daripada adik aku adalah OKU.
Ibu dan Ayah pernah hidup bersama selama 20 Tahun.
Mereka berpisah bukan kerana orang ketiga, tapi mungkin kerana masa dan takdir yang memisahkan haluan.
Selepas berpisah, Ayah membawa haluan sendiri, dan Ibu pula memilih untuk fokus membesarkan kami.
Dua-dua tetap Ibu dan Ayah yang kami hormati.
Sejak kecil, kehidupan kami tak mudah, tapi penuh kasih.
Ibu bekerja keras, menampung kami dengan pendapatan yang sederhana.
Walaupun bukan kerja besar, hasil titik peluh Ibu itu cukup buat kami membesar dengan rasa syukur.
Kami belajar menghargai rezeki yang sedikit tapi berkat.
Hubungan kami dengan Ayah kadang renggang, kadang rapat, macam ombak, ada pasang surutnya.
Ayah juga ada susah senang dia sendiri, dan kami faham bukan semua orang mampu sempurna dalam memberi. Masing-masing ada bahagian ujian yang tersendiri.
Baru-baru ni, kami dapat tahu rumah yang kami diami bersama Ibu berdepan sedikit masalah dengan bayaran.
Bukan masalah besar, cuma perlu dilunaskan beberapa ribu untuk elak tindakan lanjut dari pihak bank.
Ayah dah lama tidak bekerja tetap, jadi beliau beritahu mungkin tak mampu teruskan bayaran.
Kami pun faham.
Sebagai anak sulung, aku cuma nak cari jalan supaya rumah ni tak tergadai, bukan sebab harta, tapi sebab di sinilah tempat Ibu dan adik-adik berteduh.
Aku tahu Ayah pun ada keluarga baru dan tanggungjawab lain.
Aku hormati semua itu, dan tak pernah salahkan sesiapa.
Aku cuma nak teruskan perjuangan Ibu, nak pastikan rumah ni kekal jadi tempat yang aman untuk kami semua.
Kalau ada rezeki lebih, aku nak bayar balik semua yang tertunggak dengan cara yang baik.
Kalau boleh, aku nak Ibu terus tinggal di sini tanpa risau.
Aku percaya setiap ujian ada hikmah.
Aku tak marah sesiapa, cuma aku mohon doa dan idea dari orang yang pernah melalui keadaan macam ni.
Mungkin ada cara yang aku tak nampak.
Aku tak nak menyalahkan masa lalu, sebab dari masa lalu itulah kami belajar erti tabah.
Sekarang aku berniaga kek dari rumah Brownies, Burnt cheesecake, dan pelbagai jenis yang aku cuba hasilkan dengan tangan sendiri.
Kadang ada pelanggan, kadang sepi.
Macam ombak juga, perniagaan ni ada pasang surutnya.
Dah macam-macam iklan aku buat, dari media sosial sampai ke group jualan, tapi mungkin belum tiba rezeki besar untuk aku.
Aku tetap teruskan juga, sebab aku percaya setiap usaha yang ikhlas pasti akan dibalas dengan jalan rezeki yang tak disangka.
Doakan aku ya, semoga jualan kek aku semakin maju, agar aku mampu bantu Ibu dan adik-adik, dan sama-sama kami dapat selesaikan bayaran rumah ni.
Aku tak minta banyak, cuma doa agar usaha kecil ini menjadi besar di sisi Allah, dan menjadi rezeki yang berkat buat kami sekeluarga.
– Lily (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit