Bukan Sekadar PJJ

Bismillah… Pertama-tamanya, confession ini sekiranya disiarkan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tapi sekadar luahan yang tak boleh sewenangnya diluahkan kepada orang yang dikenali. Perkenalkan, saya Yaya. Seorang guru. Ye, confession ini berkisar keputusan EGTUKAR yang baru dikeluarkan hari ini.

Saya merupakan seorang guru yang berasal dari negeri yang agak kebal dan mengajar di negeri yang paling ramai minta keluar. Suami seorang pekerja di sebuah kilang bersebelahan negeri asal saya. Bekerja shif dan cuti yang sangat limited. EGTUKAR kali ini, saya tak memohon untuk balik ke negeri asal saya, sebaliknya memohon untuk bersama suami. Itu serba sedikit tentang saya.

Ya, PJJ itu menguji mental dan fizikal… Juga perlu mengorbankan banyak masa, tenaga, dan wang ringgit. Suami bukanlah seseorang yang bergaji besar. Tambahan, kedua-dua kami mempunyai komitmen yang tinggi. Bukan disebabkan pakai kereta besar, tapi kerana keluarga kedua-dua belah memerlukan bantuan kewangan.

Kami bukan orang senang yang boleh lepas tangan kepada keluarga masing-masing yang telah tua. Cuma… masih ramai yang lebih diuji berbanding kami. Ada yang telah diuji PJJ melebihi 10 tahun. Moga Allah permudahkan buat kalian.

Kebanyakan rakan hanya tahu sebab saya memohon pertukaran adalah kerana mengikut suami. Namun ada sesuatu yang membuatkan saya terlalu berharap diluluskan pertukaran kali ini. Sesuatu yang tiada siapa pun pinta, saya kira.

Dulu saya menyewa bersama rakan-rakan, namun disebabkan tidak tahan terpaksa selalu menyewa hotel, saya membuat rayuan memohon kuarters. Pegawai yang menguruskan menawarkan sebuah rumah yang sudah lama tidak dihuni kerana ada kerosakan. Katanya itu sahaja unit rumah yang kosong.

Saya menerima jua demi untuk mengurangkan kos kerana tidak mampu menyewa rumah yang mahal walaupun flat. Suami saya pula menyewa bilik bujang bersama lelaki-lelaki lain. Kebiasaannya, apabila saya bercuti, saya akan balik ke rumah keluarga saya, dan suami akan berulang alik, walaupun agak jauh.

Konflik timbul apabila keluarga saya berantakan. Proses mahkamah yang sangat panjang, sehingga kini belum selesai. Sedangkan ibu saya yang sudah tua itu tidak tahu membaca dan tidak tahu membawa kenderaan. Kampung saya pula jauh daripada bandar. Sebagai anak, terasa ingin terbang pulang untuk membantu di saat getir seperti itu.

Tapi apakan daya, jarak yang terlalu jauh. Dan tahu sajalah, bukan mudah cikgu nak mohon CRK lebih daripada sehari. Tapi sehari tu hanya habis di atas jalan. Saya tak berani drive sorang-sorang di malam hari melalui jalan hutan dan kelapa sawit sepanjang perjalanan. Terpaksa adik saya yang bekerja swasta dan berada agak hampir (tapi masih melebihi 2 marhalah) mengambil cuti dan menemani ibu.

Ibu sudah tidak dapat lagi menghuni rumah tersebut kerana bukan atas nama ibu. Ingin sekali saya mengajak ibu tinggal bersama, tapi bila saya cuti, saya perlu pulang ke pangkuan suami. Saya sedih kerana seolah-olah tidak berfungsi di saat ibu memerlukan sokongan dan bantuan anak-anaknya.

Berkenaan Ramadhan yang sedang dilalui dan Syawal yang bakal menjelma, pasti ramai yang excited kan? Tapi saya? Saya tak tahu lagi nak beraya di mana. Suami kerja raya ni. Nak balik kampung, urm…entah la… Nak balik rumah mentua? Mentua balik kampung. Berminggu sebelum Ramadhan kami berbincang suami isteri.

Cuti pertengahan tahun ini bagaimana? Dah tak boleh lagi berulang dari rumahibu bapa saya ke tempat kerjanya. Takkan la macam cuti pertengahan penggal lepas. Kami menyewa hotel 2,3 malam. Kemudian, saya terpaksa menyusup masuk ke rumah sewanya secara sembunyi. Mencari tempat berteduh di samping suami. It’s so tiring… Tambahan cuti kali ini lebih panjang.

Semua masalah ini tentang keluarga saya yang berantakan tu, takde dalam alasan-alasan pertukaran yang disenaraikan dalam permohonan, tapi telah ditulis dalam surat yang dikepilkan bersama alasan-alasan lain. Saya telah mencuba sedaya saya, berjumpa dengan PPD dan JPN walau ada yang taknak tengok pun surat yang saya hantar.

Semua inilah yang menyebabkan saya agak sangat mengharapkan permohonan kali ini berjaya, but it turns out otherwise. Ye, saya tahu, saya kena bersabar. Dan saya masih lagi waras, mungkin belum kemurungan, tapi tak dinafikan, tekanan tu ada bila memikirkan kesemua ni.

Saya tahu ada yang lebih besar masalah berbanding saya. Tapi saya di sini hanya meluahkan apa yang terbuku. Andainya disiarkan, mohon doa daripada sahabat semua.

P/s : Buat sesiapa yang mengenali saya, mohon untuk tidak tag saya.

– Yaya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *