Bukan Sesalan

Hari ini air mataku turun jua. Lama aku bertahan. Dalam hatiku terdetik adakah ini satu penyesalan?

Sebelum ini aku pernah terbaca kisah tentang suami atau isteri yang tidak dapat lupakan cinta lama mereka. Tetapi bukan aku.

Aku ada prinsip kuat tentang bagaimana setiap kali aku melangkah kaki dari seseorang dan suatu perkara, aku akan cuba move on sebaik mungkin.

Hari ini aku terfikir mungkinkah aku sudah pilih jalan yang salah. Mungkinkah aku sepatutnya lebih berkeras dengan prinsipku.

Aku mengenali suami (Z) ketika zaman melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Disebabkan pengalaman lalu, aku susah untuk jatuh hati dan percayakan lelaki.

Pertemuan kali pertama, aku tidak menaruh harapan apa-apa pada Z kerana walaupun sebelum ini aku pernah bercinta, pada akhirnya aku sedar bahawa aku ini susah untuk disayangi.

Mungkin kerana aku terlalu berdikari jadi kebanyakan teman lelaki aku tidak pernah ada merasa simpati atau memanjakan aku.

Ketika itu juga aku tidak mengetahui bahawa Z sudah mempunyai teman wanita.

Entah bagaimana Z terkantoi tentang teman wanitanya dan ketika itu hubungan aku dan Z semakin serius.

Dia menafikan wanita itu, P, sebagai teman wanitanya dan hanya rakan biasa.

Aku percaya dan hubungan kami semakin serius selama beberapa tahun tetapi aku tidak nampak masa depan hubungan tersebut.

Dan tiba-tiba terkantoi lagi Z masih keluar dengan P. Aku mengambil keputusan untuk berpisah dengan Z dan move on.

Bagiku, aku tidak mahu menghalang kebahagiaan orang lain dan aku redha Z bukan jodohku.

Kami masih berhubung seperti kawan biasa dan satu hari Z mengajak aku bertemu keluarganya.

Perkara berlalu terlalu pantas dan lancar, hanya beberapa hari sebelum bernikah aku bertanya kepada diri sendiri, betulkah keputusanku?

Melihat kepada betapa sayang dan ambil beratnya Z kepada P, benarkah Z mahu berkahwin denganku kerana sayangkan ku atau hanya kerana aku yang lebih sesuai dijadikan isteri?

Masa berlalu dan Z adalah suami yang bertanggungjawab terhadap kebajikan keluarga dan anak-anak. Aku bersyukur tentang itu. Tetapi adakah Z sayangkanku? Aku benar tidak pasti tentang itu.

Z jarang mengucapkannya. Bila denganku dia selalu bercakap kasar denganku. Kami ibarat kawan. Ada masanya baik dan ada masanya bergaduh.

Adakah dia mengambil berat tentangku sepertimana dia melayan P? Aku rasa tidak. Z suami yang baik seperti aku katakan. Tidak culas nafkah.

Sering membantu dengan kerja rumah dan pengurusan anak-anak.

Namun bila dia mahu meminta aku melakukan sesuatu, dia tak pernah sesekali ucapkan perkataan, “sayang boleh tak you tolong masak daging kicap harini?”.

Dia hanya akan kata, “kan bagus dapat makan cucur udang harini”, dengan harapan aku dengar dan buat.

Apabila dia marah disebabkan orang lain atau sesuatu, dia sering salahkan aku atau marahkan ku pada akhirnya.

Aku sedih. Dia tidak akan kisah walaupun dia marah aku dihadapan keluarganya atau ditempat awam.

Tetapi harini aku sedih sebab kata-katanya yang satu. Memang aku yang ‘provoke’ tetapi akhirnya dia cakap, “oklah cepat sikit mati tu”.

Kalau you baca ni, I nak you tahu I redha kalau you tak pernah sayangkan I. I paham yang hati dan perasaan itu milik Allah.

Terima kasih selalu jadi suami yang mendahulukan anak-anak dan keluarga. Dan I nak you tahu I tak pernah halang kebahagiaan you kalau itu yang you nak.

Kata-kata I ni bukan sebab I nak cari bahagia yang lain terapi I dah cukup bahagia ada Allah dan anak-anak. Dan I bersyukur walaupun you tak sayang I, you suami yang baik.

Kepada wanita-wanita di luar sana yang rasa tak disayangi, selagi rumahtangga itu baik untuk anak-anak, pertahankanlah. Jika toksik maka lepaskanlah.

Namun tak mengapa jika tidak dapat cinta manusia, kerna cinta yang kekal hanya pada Allah.

Menyesal? Tidak. Hari ini aku lebih rasa bersyukur.

– Keladi Putih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *