Bukan Tak Cukup, Tapi…

Hai para pembaca, sebagai perkenalan, aku seorang Hawa, pekerja kesihatan di salah sebuah hospital di lembah Klang.

Aku suka baca kisah kat page ni, banyak juga pengetahuan yang aku dapat. Terdetik juga nak berkongsi, mungkin boleh jadi iktibar dan ingatan semua. Bismillah..

Aku dibesarkan dalam keluarga yang besar dalam suasana yang aman, Alhamdulillah. Keluargaku sederhana je, tak pernah tak cukup makan walaupun sangat terhad perbelanjaan kami.

Baju yang sama bertahun-tahun, jarang sekali bercuti jauh, dapat balik kampung pun kitorang bersyukur, makan kat restoran jarang sangat, setahun sekali pun kira bertuah.

Ayah bekerja sorang, kami faham beban ayah, emak seorang suri rumah, menjaga kami dengan baik sekali.

Sebagai anak sulung, impian aku mestilah nak menyenangkan keluarga aku. Aku teringin sangat nak belanja parents dan adik-adik aku makan sedap-sedap selalu.

Nak dikata rezeki, dapatlah aku sambung pengajian dan dalam tempoh tu, aku selalu dapat peluang makan makanan viral yang sedap. Naik berat badan aku.

Dalam masa yang sama, aku terkenangkan family aku. Kalaulah diorang dapat rasa sekali makanan ni.

Tapi kan aku student, manalah mampu nak belanja satu family makan. Dahlah aku belajar jauh nun di pantai timur, nak suruh diorang datang selalu pun memang satu kekangan. Niat dihati aku tak pernah padam.

Aku akan belanja family aku makan makanan sedap-sedap apa pun yang diorang nak bila bekerja nanti.

Aku sejenis seronok tengok family aku makan berselera. Bukanlah kata masakan mak aku tak menyelerakan tapi bila makan kat luar, feel dia lain macam.

Bila start bekerja, owh rupanya bukan senang nak senang. Sebulan sekali je mampu, tu pun masa awal-awal gaji. Banyak kali aku sedih bila nampak member up posting makan sedap-sedap.

Aku teringin nak nikmati semua tu dengan family aku. Kenapalah payah angat nak ada rezeki lebih nak selalu makan sedap-sedap…

Tapi tu pemikiran aku masa mula-mula kerja dulu-dulu sehinggalah aku bekerja di hospital baru, satu hari tu, Allah jentik hati aku.

Ada sorang pesakit aku, muda dan bergaya, datang sebab pengsan. Check darah, astaghfirullah, semua tinggi, kolestrol, gula, tekanan darah pun tinggi.

Diagnosis baru tekanan darah tinggi (Hypertension) dan kencing manis (Diabetic Mellitus). Aku yang first time terima pesakit macam ni, tentulah terkejut. Muda lagi, umur belum pun 30 dah ada penyakit macam tu?

Tak lama lepas tu, hari demi hari, minggu berganti bulan aku bekerja disini, rupa-rupanya banyak kes yang sama datang.

Muda-muda dah diuji sakit kronik. Banyak. Nak jumpa pesakit umur 50-an yang tak ada sakit kronik, memang susah.

Kebanyakannya tak pernah check. Bila result darah keluar, mencanak bacaan gula, ada yang dah effect buah pinggang.

Paling sedih, diusung naik kereta datang hospital sebab pengsan tapi ternyata dah tak bernyawa, sebab serangan jantung.

Termenung aku tercari-cari punca mana penyakit ni datang. Lama baru aku sedar hakikatnya semua bermula dari pemakanan. Ya, makanan yang hari-hari kita jamah, yang sedap lemak berkrim manis gebu pedas terangkat.

Dari pembacaan dan pengalaman aku, memang makanan memainkan peranan penting kat badan kita. Gula, garam, lemak semua tu akan effect badan kita. Kan nabi ajar bersederhana. Ada hikmahnya.

Betapa banyaknya kandungan gula dan garam dalam makanan yang sedap, tak semua tukang masak concern berapa kilo gula atau garam dia masukkan dalam masakan, asal sedap, onnnn.

Kita pulak kalau dah sedap, mana boleh makan sikit kan? Bertambah-tambah. Kesian badan kita. Kerana mulut badan binasa.

Aku bukanlah nak jatuhkan pengusaha makanan, kita boleh je try and support tapi jangan berlebihan. Ambil kira faktor kesihatan jugak. Wajib tu, badan kita, tanggungjawab kita. Kan?

Sekarang ni baru aku terfikir, baiknya Allah, direzekikan aku secukupnya, takde berlebihan.

Walaupun terliur tengok makanan viral, tapi bila aku fikir balik, kalau bapak aku kaya, mesti banyak dah makanan berlebihan gula-garam-lemak semua tu masuk tubuh aku.

Allah tahu aku sekeluarga tak mampu tanggung penyakit tu, sebab tu dia jaga kami.

Allah tahu limit aku kan, tak macam orang kaya yang pandai jaga diet dan batas, sebab tu Dia tak bagi aku kaya agaknya, entah apa mudharat yang boleh aku dapat kalau aku kaya.

Tahulah aku yang sebenarnya rezeki Allah bagi tu, bukan tak cukup tapi itulah yang aku perlukan. Rupanya masakan emak yang nampak tak seberapa tu lah penyelamat kesihatan kami.

Untuk sesiapa yang diuji dengan penyakit, tak semua berpunca dari makanan, ada je dari faktor lain, korang jangan down, kami sedia membantu.

Zaman dah semakin moden, insyaAllah ubat pun makin maju, yang penting sentiasa cuba yang terbaik.

Dont skip medications and follow up. Banyakkan tanya pada yang pakar, jangan tersalah pilih nasihat. Tak pasti jangan kongsi.

Ada hikmah setiap apa yang berlaku, tak sia-sia semua usaha, sakit, pengorbanan atau masa yang berlalu melainkan semuanya dihitung Allah.

Aku cuma share je benda yang terlintas kat fikiran aku. Aku taknak jumlah pesakit kronik bertambah disebabkan makanan.

Aku takut ada yang tak tahu, atau tak sedar. Entah related ke tak benda yang aku taip ni, so sorry kalau boring. Doakan aku jadi manusia bermanfaat tau.

Wassalam.

– Hawa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *