Aku Kaunselor, Tapi Kisah Klien Aku Ini Mengguris Jiwa Aku Sehingga Hari Ini
Sepanjang aku jadi kaunselor di IPT, dah banyak kisah yang aku dengar. Tapi satu kisah ni… aku tak boleh lupa. Sampai sekarang masih menghantui aku.
Dia seorang pelajar perempuan. Baik, cantik, pandai. Tapi dia tak ada kad pengenalan. Cantiknya dia ini kerana ayah dan ibunya dari Palembang berhijrah ke Malaysia bekerja sebagai buruh ladang.
Disebabkan tidak memiliki kewarganegaraan tu, dia tak layak masuk universiti awam. Tapi keluarga dia usaha sampai dia dapat masuk IPTS. Kat luar, nampak dia pendiam, sopan. Tapi dalam hati… Tuhan je tahu apa dia simpan.
Mula-mula dia okay je, kelas masih atas talian. Sehingga tiba untuk kelas secara fizikal dan dia perlu masuk asrama kolej kediaman, dia makin teruk. Makin murung, makin menjauh dengan keluarga.
Bila dirujuk oleh warden kolej kediaman dan aku aturkan sesi kaunseling. Permulaan sesi susah nak dengar perkataan dari mulut dia. Setelah beberapa kali aku mula sesi dengan dia, barulah satu-satu cerita keluar.
Beberapa tahun sebelum tu, masa dia sekolah dia ditawarkan tinggal di asrama sebab keluarga susah. Atas sokongan YDP PIBG dan pengetua sekolahnya.
Sepatutnya keadaan lebih baik, tetapi kerana kena tinggal di asrama sekolah itulah hidup dia berubah selamanya.
Dia pernah mengadu yang dia diganggu oleh pelajar lelaki senior. Bila aduan dibuat, pelajar tu kena tindakan. Tapi lepas tu, budak lelaki tu dendam. Dia arahkan beberapa pelajar perempuan senior ‘ajar’ mangsa ni.
Mangsa ni dikurung, dimaki, dibogelkan, diconteng dengan marker, dan dipaksa jalan dalam keadaan bogel keliling aras asrama.
Gambar diambil, dijadikan ugutan. Semua tu berlaku dalam satu malam. Dan ya, semua tu memang berlaku. Ini bukan drama.
Dia trauma teruk. Dia minta tukar sekolah. Tapi dia tak pernah sama. Kat sekolah baru pun dia tak mampu nak hadir kelas, tapi tetap hadir SPM dan lulus semua subjek.
Hebat, kan?
Tapi bila masuk kolej, kena duduk asrama balik, dia ‘meletup’. Trauma datang balik. Dia dipulaukan, disangka sombong, makin menjauh, tak reti bersosial. Berkurung dalam bilik lepas kelas.
Sampai satu masa, dia datang jumpa aku dalam keadaan sangat teruk. Akhirnya dia tarik diri, berkeras mahu balik kampung. Aku cuma setuju untuk dia tangguhkan semester sahaja. Maka pulanglah dia ke kampung.
Beberapa minggu lepas tu, aku buat follow-up. Hasrat aku jika dia dah okay, aku nak pujuk dia kembali sambung pengajiannya dan aku cuba aturkan kelas secara atas talian.
Waris dia bagitahu, dia sekarang kat pusat rawatan mental. Dia kerap cuba cederakan diri, menangis, dan hilang kepercayaan pada agama.
Dia pernah kata dalam sesi pada aku:
“Saya dah tak percaya pada Tuhan. Kalau Tuhan ada, kenapa saya kena macam ni?”
Dan juga:
“Saya takkan maafkan diorang. Biarlah hidup diorang hancur macam saya. Hidup susah, mati derita, bukan diorang sahaja, anak dan cucu diorang pun menderita sama.”
Masa tu, aku cuma mampu diam. Aku pandang dia. Kadang-kadang, sebagai kaunselor pun… kita tak mampu buat apa-apa selain menangis dalam diam.
Beberapa kali juga lepas sesi, aku menangis ketika menulis laporan tentang sesi kaunseling dia.
Buli bukan perkara remeh. Ia bukan bahan lawak. Ia luka yang makan jiwa. Aku sendiri bekas mangsa buli. Jadi aku faham luka tu takkan pernah betul-betul hilang.
So aku nak tanya:
“Anak kita nak jadi pembuli ke mangsa buli?”
Sebab dua-dua ada kesan.
Tapi pembuli… dia akan dipertanggungjawabkan. Kalau tak di dunia, di akhirat nanti.
Firman Allah SWT:
“Dan jangan kamu sangka Allah lalai terhadap apa yang dibuat oleh orang-orang yang zalim.”
(Surah Ibrahim, Ayat 42)
Sabda Rasulullah SAW:
“Takutlah doa orang yang dizalimi. Tiada hijab antara doanya dan Allah.”
(Riwayat Bukhari, No. 2448)
Aku cuma nak kongsi. Kalau korang baca ni sampai habis, tolong jangan anggap semua orang yang pendiam tu sombong. Kadang-kadang, dia tengah berperang dengan trauma yang korang takkan faham.
Doakan klien aku. Doakan semua mangsa buli yang masih hidup tapi dah mati dalam hati.
Hentikanlah buli. Tolonglah.
Jadi manusia yang ada empati, saling menghargai dan peka kenapa rakan atau keluarga kita bersikap dingin dan mengasingkan diri begitu.
Boleh yee…
– MA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit