Bumi Bertuah

Petang ini hujan turun renyai-renyai, menyiram bumi Lembah Klang sama seperti hari-hari sebelum. Semalam dan kelmarin aku pulang berhujan, basah kuyup dengan kesejukan yang menggigit-gigit,

Tapi hari ini aku belum bersedia untuk meredah penangan Monsun Barat Daya, jadi aku menunggu sahaja di pejabat, bersendirian, sementara rakan-rakan lain sudah lama pulang.

Bila bersendirian sebegini, dengan suasana sunyi sepi, mulalah muncul pengalaman diri yang terpendam jauh di dalam hati, sedalam lautan raya.

Pengalaman begini tak mampu untuk aku luahkan kepada mana-mana insan, melainkan kepada Tuhan dan melalui penulisan tanpa nama.

Hampir 10 tahun bekerja, bidang professional, berdaftar dengan Lembaga, dan ada “title” professional sendiri, sudah mampu menurunkan tandatangan pengesahan beserta cop professional.

Tapi, itu semua cantik di luar sahaja, apabila gaji yang ku terima sekitar RM2 ribu sahaja. Sudah sangat rendah, tetapi ketika waktu covid ini, gaji ku dipotong lagi, kini kurang dari RM2 ribu.

Mengapa agaknya sampai begini nasib kami di bumi bertuah ini ye? Bala apakah yang menimpa.

Kepada Tuhan, aku tetap memanjatkan kesyukuran. Biar gaji sebegini, tapi dicukupkan makan dan pakai. Sebelum ini sekadar ada hutang PTPTN, tapi berjaya dilangsaikan.

Berkat kegigihan mendapatkan “title” professional, Tuhan beri aku rezeki tambahan melalui kerja-kerja sampingan, wang dari sinilah yang sedikit sebanyak membantu kewangan aku.

Namun, kepada majikan yang tamak haloba, yang sengaja mengerah keringat para pekerja tanpa upah setimpal, tanpa belas dan kasihan, tidak akan pernah aku redha. Semoga mereka diadili selayaknya di Hari Pembalasan kelak.

Beberapa bulan lepas, pernah aku mencuba nasib, menghantar permohonan kerja di beberapa buah syarikat. Jangkaan gaji, aku pam terus amaun RM5 ribu, tertulis jelas di resume.

Ketika ditemuduga oleh sebuah syarikat, mereka tanyakan soal gaji terkini, dengan jujur dan berhemah aku berterus-terang.

Aku fikir waktu itu, soalan balas yang aku dapat ialah soalan yang berbentuk belas kasihan, “Ohh.. sebanyak itu sahaja, bagaimana kamu survive selama ini?”. Aku sudah bersedia dengan jawapan.

Namun hampa, bukan itu yang disoal, malah perkara itu dijadikan pula modal untuk mereka merunding balas tawaran gaji. “Polisi kami tak boleh bagi kenaikan gaji lebih dari 50%, apatah lagi jika lebih dari 100%”, kata mereka dengan bersahaja.

Tak cukup dengan itu, mereka persoalkan pula integriti aku, “Jangan-jangan awak bergaji rendah sebab tak pandai buat kerja tak?”, katanya.

Remuk redam hati aku di hari itu. Hancur, luluh, bersepai-sepai. Rupanya di tanah ini, belas dan kasihan telah mati.

Serta-merta, aku bertambah meradang dengan majikan aku. Kerana mereka menggajikan aku dengan upah yang rendah, aku pula dituduh tidak pandai buat kerja. Sakit benar hati aku.

Sebenarnya, kadang-kadang terkesan juga dengan perbandingan sebegitu, rasa diri memang tak pandai buat kerja, aku bandingkan pula dengan senior aku ditempat kerja, bagai langit dan bumi!

Tapi akhirnya aku sedar, itu hanyalah helah mereka. Sengaja merendah-rendahkan aku, sengaja membunuh karakter, asal boleh tawarkan gaji paling murah.

Jika dibandingkan dengan mereka yang berpengalaman 30-40 tahun dalam industri, tentulah aku ini hanya budak hingusan sahaja, tapi jika aku sehebat itu, seakan berpengalaman 30-40 tahun, tentulah gaji yang aku layak minta lebih lagi, bukan sekadar RM5 ribu!

Begitulah suasana di bumi bertuah ini sekarang, apa yang aku alami ini, tentu ramai juga yang sedang merasai.

Sekarang, aku menunggu Covid reda, kemudian akan sambung mencari tempat baru. Rata-rata majikan sekarang, lebih gemar memilih mereka yang hilang pekerjaan, boleh melapor diri dengan cepat dan mudah dirunding, tak banyak “demand” kata orang putih.

Orang seperti aku, dikira masih bernasib baik, jadi jarang disenarai pendek sebagai calon, malah notis berhenti 2 bulan pula, tiada majikan yang sanggup menunggu, itulah alasan yang mereka beri pada aku.

Sambung semula isi hati aku yang terpendam sedalam lautan raya.

Sebenarnya aku baru berkahwin 3 tahun lalu. Selepas berkahwin, aku fikir gaji aku akan dinaikkan, iyelah tanggungan sudah bertambah, dan aku juga sudah menerangkan isteri aku hanyalah seorang suri rumah. Tetapi hampa, gajiku tetaplah seperti biasa.

Kemudian, beberapa bulan selepas itu, aku lulus ujian professional dengan Lembaga. Di dalam industri ia disebut “Penilaian Kompetensi Professional”. Kelayakan ini mengiktiraf aku sebagai professional lah, bukan lagi sekadar “graduan professional”.

Dan selepas dapat pengiktirafan ini, aku berterus terang meminta kenaikan gaji, dan katanya akan dinaikkan, lega mendengar.

Tapi akhirnya hampa juga, tiba-tiba Covid melanda bumi bertuah, PKP diumumkan, dan gaji yang sedikit dipotong biar bertambah sedikit. Apa nak dikata? Bertabah sahajalah.

Mungkin para pembaca akan persoal, ini waktu pandemik, semua orang terkesan, lagi-lagi T20.
Benar, tetapi luahan isi hati sedalam lautan raya ini bukanlah mengenai 2 tahun kebelakangan ini, tetapi pengalaman peribadi hampir sedekad.

Aku sekadar bergelar professional, tetapi masih dalam kalangan B40. Malah, dengan gaji dibawah RM2,500, aku ialah kategori B40 yang paling bawah, (B40 ada 4 kategori, B1,B2,B3 dan B4). Mengapa nasib ku sebegini rupa di bumi bertuah ini?

Apa kesan pada aku secara peribadi, selain perancangan kewangan?

Aku sebenarnya sampai rasa takut kalau isteri mengandung. Aku takut tak dapat sediakan nafkah secukupnya.

Aku tahu, berfikir semacam ini tak betul, InsyaAllah, Tuhan akan mencukupkan rezeki, hari ini hidup berdua, jika hari esok hidup bertiga tentu Tuhan akan menuliskan rezeki untuk bertiga pula.

Malah, ramai yang bergaji lebih rendah tapi mampu membesarkan anak-anak mereka. Aku sedar semua itu. Tetapi, pemikiran semacam ini melekat juga di dalam lautan hati, serpihan-serpihannya tetap tidak hilang walau macam mana aku cuba memujuk diri.

Dan ini membuatkan diri aku sedih bertambah dengan perasaan marah. Sedih dengan keadaan diri, marah kepada yang sengaja menzalimi.

Kenapa majikan menikmati keuntungan secara sendirian, tetapi jika kerugian, ia perlu dikongsi bersama pekerja? Begitu azimat yang tertera di dalam lautan raya hati aku.

Mereka orang kaya tentu ada definisi kesusahan mereka sendiri. Tetapi aku, inilah definisi kesusahan aku. Takut tidak mampu berkeluarga, walaupun dengan seorang anak.

Aku berharap, suatu hari nanti, di bumi bertuah ini, akan ada sebuah undang-undang yang mampu untuk mempersoalkan kadar patut upah pekerja, yang boleh merapatkan jurang antara keuntungan majikan dengan pendapatan pekerja.

Setakat ini sahaja, terima kasih kerana sudi membaca, moga kalian dimurahkan rezeki olehNya.

– Panggil aku “Ali” (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *