Bunga Masih Mekar, Tapi Cinta Sudah Layu

Assalamualaikum semua, nama aku Safiya. Ini tentang kisahku 2 tahun lepas tapi masih segar di ingatan. Walaupun sudah aku ikhlaskan, kenangan masih berlegar legar di fikiran.

Aku gelarkan dia sebagai Zarif. Kisahnya bermula di sebuah program yang di anjurkan di sebuah universiti. Aku kenal Zarif sejak dia belajar di luar negara dan sekarang sudah menetap di Malaysia.

Orangnya baik, bijak, soleh dan sangat memenuhi ciri ciri lelaki idaman buat semua wanita. Tipulah aku kata aku tak pernah crush dengan dia. Aku bukan sengaja tau nak jatuh hati tapi memang kadang tu takdir Tuhan, aku tak boleh nak lari.

Aku tak pernah pun ambil tahu tentang Zarif. Tak pernah contact, tak pernah ws tak pernah berhubung dengan Zarif semasa dia di luar negara.

Rasa macam takde guna jugak ada number tapi tak contact sama macam ada hati tapi takde jodoh. After dia balik Malaysia, baru aku dapat tahu dia join program universiti aku.

Sebelum kejadian program berlangsung, dia ada minta location untuk ke tempat program di universiti aku. Sejak dari tu, aku mula berhubung dengan dia hanya urusan penting sahaja tak pernah lebih dari itu.

Pada hari program berlangsung, hatiku berdebar kencang seolah olah aku sedang berlari 100m ke hadapan sedangkan aku cuma duduk di atas kerusi sambil memandang mereka keluar masuk dewan.

Sedang syok layan perasaan, kawan aku muncul dari belakang. “Safiya, ada sorang lelaki ni cari kau”. Lagilah aku berdebar. Sesak betul nafas aku.

Kelibat Zarif muncul di depan aku. Aku tergamam. Setelah bertahun, ini kali pertama dia betul betul ada di depan aku. “Assalamualaikum, Safiya kan?” soalan pertama dia ajukan kepada aku.

Lama betul aku amik masa nak jawab soalan dia walaupun simple tapi seolah olah suara aku tu tersekat di kerongkong.

“Aaa yee, yee” jawab aku dengan ringkas tapi gagap. “Kenal lagi tak saya?” aku terus terdiam. Dalam hati aku dah bermonolog, kau dah curi hati aku dan kau boleh tanya kenal ke tak?

Cuma mampu cakap dalam hati saja lah. “Mestilah kenal” 10 saat jugaklah aku amik masa jawab soalan ringkas dia.

Awal program dia cari aku, tengah program pun dia cari aku, akhir program tentu tentulah dia cari aku jugak. Aku anggap ini adalah permulaan yang baik memulakan taaruf orang kata.

Selesai saja program, dia ws aku. Katanya next time jumpa lagi kita open table untuk perancangan seterusnya. Apalagi bahagia ya bila dia cakap macamtu.

Sepanjang habis program tu, aku start ikuti perkembangan dia. Walaupun aku tak follow dia tapi dia banyak update di ws story dan membolehkan aku mengetahui program yang dia lakukan.

Ye, dia baik dan sangat disanjungi orang sekeliling. Kalau perbezaan aku dengan dia tu dari segi ilmu. Dia disanjungi disebabkan ilmu dia, kalau kau tanya apa apapun dia boleh jawab. Perfect ah orang kata.

Aku banyak berurusan dengan dia tentang kerja sahaja. Jarang sekali pasal hal peribadi tapi ada sekali sekala tu berseloroh tentang jodoh.

Ayat dia terngiang ngiang dalam fikiran aku “ada rezeki kita jumpa lagi dan inshaAllah ada jodoh kita akan bersama kalau awak sudi tunggu”. Dia banyak bagi hint tapi aku macam buat buat tak paham walaupun sebenarnya hati aku ni berbunga.

Perasaan aku dah bercampur baur dah waktu tu. Harapan tu aku pegang. Aku menunggu sesuatu yang tak pasti tapi takpe aku percaya dan sanggup menunggu. Setahun aku tunggu harapan Zarif dan dia masih beri hint kepada aku.

Aku dah habis belajar dah pun dan dah mula ambil langkah seterusnya tapi dia masih tiada tanda untuk menunaikan harapan. Jadi, aku nekad untuk aku nyatakan hasrat aku sendiri kepada dirinya.

Pada hari untuk aku nyatakan hasrat itu, aku sedang bercuti bersama keluarga. Petang tu kawan aku call aku. Dia tahu tentang Zarif dan dia seorang sahaja yang mengetahui tentang perkara ni.

“Safiya, kau jangan sedih tau” “Kenapa?” “Aaaaa hmmm Safiya, Zarif dah kahwin…”

Perbualan telefon terus menjadi sunyi. Aku matikan telefon. Aku bagitahu family aku yang aku perlu balik atas urusan kerja, urgent.

Aku packing baju aku semula dan ku tutup rapat pintu bilik hotel untuk melangkah keluar. Aku perhatikan ada satu pondok rehat di hujung jalan. Kecewa, sakit, pedih.

Rabak gila hati aku. 10 min aku tenangkan diri di situ. Aku ambil kunci kereta untuk pulang ke rumah sewa. Perjalanan aku di temani dengan titisan hujan seperti titisan luka di hatiku.

Sampai di rumah, aku kemaskan diri dan bentangkan tikar sejadah, ku capai telekung dengan linangan air mata.

Usai urusan dengan pencipta, aku buka semula telefon. Aku terus block number Zarif, tak perlu simpan lagi. Dia sudah jadi milik orang.

Tekad aku, esok aku bangun dengan semangat baru. Tiada ratapan, tapi kenangan tetap tak hilang.

Dia baik, pasangannya mungkin lebih baik dari aku. Aku tak berdendam cuma aku terlalu pegang dengan harapan yang kadang hanya untuk di simpan bukan untuk di suarakan.

Sudah cuba untuk ikhlaskan, percayalah aku sedang cuba. Aku masih tetap mendoakan kebahagiaan dia bersama pasangannya kerna dia berhak bahagia dengan cara yang Allah sudah takdirkan.

Saat aku tulis ni, aku terpandang bunga ros di depan meja. “Bunganya masih mekar tapi sayang ya, cintanya sudah layu”

– Safiya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *