Bungkusan Doa Buat Suami

Bismillah dan assalamualaikum buat pembaca setia IIUM Confession. Terlebih dahulu, terima kasih ye min jika sudi approve nukilanku ini. Kali ini aku ingin berkongsi kisah suamiku.

Alhamdulillah aku dikurniakan rezeki dan anugerah dengan memiliki seorang suami yang baik. Dia sangat penyayang dan bertanggungjawab. Dia juga banyak membimbingku menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Jika dulu hidupku banyak lagha dengan keseronokan dunia, kini perlahan-perlahan aku cuba kumpulkan bekalan dan saham akhirat buat diri ini supaya menjadi penemanku di alam kubur nanti. Sekiranya suamiku pergi mendengar ceramah, pulang ke rumah akan dikongsikan ilmu yang didengarinya tadi supaya pengetahuanku juga bertambah.

Sebelum coretanku lebih panjang, nawaitu aku berkongsi kisah ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi riak atau sebagainya terutama yang negatif, tapi aku berharap agar kisah yang baik dan memberi manfaat boleh dijadikan pedoman atau ikutan supaya pembaca IIUM Confession juga boleh terkena tempias atau aura kesan yang baik itu.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tak baik itu datangnya dari kelemahan diriku sendiri.

Aku pernah terdengar di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada seorang perempuan di belakangnya. Aku setuju dengan pernyataan ini kerana jika melihat perjalanan hidup suamiku, Allah sentiasa mempermudah urusannya. Dari dia menjadi trainee di tempat kerja, dia dilantik menjadi pekerja tetap dalam tempoh yang agak singkat.

Kemudian selang beberapa tahun plak, dia juga telah dua kali dinaikkan pangkat. Suami aku seorang yang jenis dedikasi dalam menjalankan tugas. Dia sangat amanah, ringan tulang, komited dan tiada istilah curi tulang dalam melaksanakan tugas. Sebagaimana dia memikul amanah dan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua keluarga kami begitu jugalah dia melaksanakan tugas di alam pekerjaannya.

Baginya kerja juga ibadah dan setiap hasil pencarian buat keluarga hasruslah berkat. Mungkin sifat-sifat murni yang ada dalam diri dia membuatkan orang percaya untuk menyerahkan tugas dan amanah kepadanya.

Sebelum aku berkongsi mengenai bungkusan kiriman doa buat suamiku. Aku ingin berkongsi juga tip atau amalan perihal suamiku yang aku perhatikan sentiasa cantik susunan perjalanan hidupnya. Begitu juga dengan rezekinya. Antara amalan yang aku perhatikan ialah suamiku seorang yang sangat suka bersedekah. Seawal pagi, dia akan bangun untuk solat subuh berjemaah di surau.

Kemudian dia akan bersedekah di tabung surau atau masjid. Katanya di waktu pagi ramai malaikat datang mendoakan kita. Waktu pagi jugalah pintu rezeki dibukakan buat kita. Untuk minta urusan seharian kita cantik dan dipermudahkannya, kita harus mulakan dengan perkara yang baik-baik dan buat perkara yang Allah suka.

Selain solat sunat dhuha, tidak tinggal mengaji dan rajin berzikir, suamiku juga tidak lokek memberi sedekah kepada orang yang memerlukan. Ada dua kisah yang suamiku dapat berkenaan perihal sedekah ni.

Yang pertama, suamiku ingin bersedekah di dalam tabung surau tapi dia baru perasan duit dia hari tu hanya ada RM10. Dia ingin menggunakan duit tersebut untuk tujuan lain juga. Setelah lama berfikir. Dia ambil keputusan untuk terus bersedekah dan berserah sebulat-bulatnya pada Allah S.W.T.

Haritu juga Allah bagi cash dan pulangkan RM10 suamiku dengan cara dua orang rakan sekerja suami telah belanja suami makan iaitu pada makan pagi RM4 dan tengahari RM6. Masyaallah suami balik bersungguh-sungguh bercerita padaku perihal sayangnya Allah kat kita ni.

Kisah kedua plak, di hujung bulan, gaji yang tinggal tidaklah banyak mana dan cukup untuk tunggu gaji seterusnya. Tetapi ada satu hari tu, kami dapat perkhabaran ada saudara sakit dan ingin melawat dia. Dengan wang yang tinggal tidak banyak lagi, kami pergi juga melawat walaupun jauh dan suami juga terus bersedekah kepada si pesakit.

Tahu tak Allah tolong kami apa? Allah cukupkan rezeki kami dan baki gaji yang kami rasa tidak cukup sehingga gaji bulan seterusnya nanti cukup dan siap ada lebih lagi. Kadang-kadang di hujung bulan, aku terpaksa membeli barang yang tidak dijangka dalam bulan tersebut yang menyebabkan perbelanjaan melebihi dari yang sepatutnya.

Tetapi Allah hadirkan rezeki dalam bentuk suami menang bermain futsal dan memperoleh voucher membeli belah sebanyak RM100. Alhamdulillah dan masyaallah. Sesungguhnya memang DIA yang memberi dan mempercukupkan rezeki.

Suamiku juga tidak berkira untuk mengelurakan duit sekiranya keluarga ingin membuat makan atau jamuan dan juga kepada budak-budak. Baginya cara memberi makan kepada orang juga boleh berkongsi rezeki yang ada.

Suamiku juga akan memberi hutang sekiranya ada yang datang meminta tetapi biasalah, orang yang berhutang ni masa nak pinjam ada depan mata kita bila dah dapat pinjam, kita dibuat-buat tak nampak. Hihi. Lumrah kehidupan. Tetapi suamiku tetap tenang.

Katanya moga-moga Allah mendetikkan hati si penghutang itu untuk membayar balik hutang. Dia tidak akan meminta balik kerana si penghutang itu sendiri harus ingat akan hutang tersebut. Bahagian dia dengan niat membantu telah dia jalankan.

Tetapi bila suamiku sudah memberi hutang, pasti si penghutang juga akan bungkuskan doa buat suamiku dengan memberi ucapan terima kasih serta mendoakan agar suamiku dimurahkan rezeki. Alhamdulillah, mungkin berkat doa mereka juga kami sentiasa dimurahkan rezeki.

Sifat baik suami ni mendapat perhatianku. Sejujurnya dulu aku bukanlah seorang yang suka bersedekah. Bagiku lagi aku bersedekah duitku akan berkurang. Masyaallah itulah silap besar yang telah aku lakukan. Aku mula ikut juga jejak langkah suamiku untuk rajin bersedekah dan Alhamdulillah aku juga terima kesan yang baik dari sikap rajin bersedekah ini.

Kini, sekiranya aku melawat saudara sakit terutamanya kanak-kanak, aku akan bagi sedikit sedekah untuk kanak-kanak lain juga yang berada di sekitar ward tu. Sekiranya aku belikan mainan untuk melawat pesakit kanak-kanak, aku juga akan belikan lebih untuk diagihkan kepada kanak-kanak lain.

Bukanlah besar sangat nilaian harga mainan tu tapi apa aku boleh kongsikan kepada pembaca sekalian, perasaan indah bersedekah tu sangat mahal nilaiannya.

Aku tak dapat nak ungkap dengan kata-kata tapi hati akan jadi lebih tenang, berbunga-bunga dan bahagia melihat senyuman terukir dari orang yang kita bersedekah tu. Korang try laa… hihi… Nanti aku wat confession mengenai diri aku plak setelah mengamalkan konsep sedekah ni dan yang pasti hasilnya memang bombastic!

Suami aku ada pesan juga, apa yang kita buat, kita kena cari keberkatannya kerana dari gaji yang berkat, gaji yang kecil akan terasa cukup. Jika banyak perihal rezeki yang kita cari tidak telus, banyak menyeleweng dan tidak berkat, walaupun kita dapat banyak kita takkan pernah merasa cukup dan pelbagai musibah akan terjadi kepada kita seperti kereta cepat rosak, dilanda pelbagai musibah dan macam-macam lagi. Bila terjadi begini, fikir balik puncanya. Audit dan munasabah balik diri kita.

Aku bersyukur kereta Myvi yang kami beli tahun 2014 sangat juruh ore klate cakap. Kereta ni pernah tak hidup sebab bateri lemah tapi betul-betul depan rumah kami. Hari tu rosak depan rumah ibuku. Alhamdulillah kereta ini dapat berbakti dengan baik buat kami. Begitu juga semasa kami membeli rumah dulu, ada kawan suami offer untuk pasang alat jimatkan atau curi eletrik tetapi suami menolak dengan cara baik.

Suami memberitahuku yang kita perlu telus baru Allah jaga rumah kita. Mungkin kita bayar kurang untuk elektrik tu tapi nanti bimbang akan terjadi perkara yang tak elok kat rumah kita seperti pencuri masuk rumah kita atau rumah dilanda bencana. Dan baru-baru ni, dek hujan lebat, jiran sebelah rumah kami mengalami bencana kerana atap rumahnya terbang.

Jiranku memberitahu yang kejadian terjadi seperti puting beliung. Terasa angin berpusar kuat datang dan habis tercabut atap mengakibatkan rumahnya dimasuki air. Mungkin itu ujian buat jiranku tetapi aku bersyukur, Allah masih melindungi kami sekeluarga kerana rumah kami selamat dari terkena bencana tersebut. Terima kasih Ya Allah, sentiasa mempelihara kami. Moga Kau pelihara juga pembaca-pembaca di dalam IIUM Confession ini. Aamiin.

Satu lagi perihal suamiku yang aku perasan selalu dimurahkan rezeki ialah layanan yang baik buat kedua ibu bapanya dan juga ibu bapa mertuanya. Dia sangat menghormati orang tuanya. Walaupun aku tidak bekerja, suamiku tetap menghulurkan sumbangan ikhlas setiap bulan khas buat kedua orang tuaku juga.

Jika dapat bonus atau dapat rezeki lebih, orang tua kami juga akan merasa kerana suamiku akan memberi lebih pada bulan tersebut serta membawa orang tua kami untuk menikmati makanan di luar. Dengan sifatnya begini, aku juga kerap dengar kedua orang tuaku termasuk mertua sering menghadiakan doa buat suamiku.

Selain berbuat baik kepada ibu bapa, suamiku juga melayaniku dengan baik. Dia akan sama-sama membantu menguruskan kerja-kerja rumah dan menjaga anak. Dia sentiasa cuba memberikan yang terbaik buatku dan sepasang zuriat kami.

Apabila dilayan suami dengan baik, tanpa disuruh atau diminta, setiap pagi sebelum suamiku keluar dari rumah untuk mencari rezeki, aku pasti akan hadiahkannya bungkusan doa buat dia supaya harinya dipermudahkan Allah, ditemukan dengan orang yang baik-baik, setiap permasalahan atau tekanan di tempat kerja dapat ditemukan solusi yang terbaik.

Moga Allah melindunginya, menjauhkannya dari kecelakaan jalan raya, dapat pergi dan pulang dengan selamat, terus dimurahkan rezeki dan banyak lagi doa khas buatnya. Kadang-kadang aku terfikir, jika suami melayan isteri tidak baik dan sering menyakitkan hati isteri, adakah isteri itu akan benar-benar ikhlas menadah tangan mendoakan suaminya?

Jadi aku ingin berpesan buat para suami diluar sana, teruslah berbuat baik kepada isteri kerana kami tidak mampu membantu anda dalam banyak perkara tetapi kami berharap moga bungkusan doa yang kami kirimkan buat anda sampai kepada anda dan Allah tolong jagakan anda buat kami. Aamiin.

Lagi satu teruslah juga memberikan contoh dan tauladan yang baik kerana suami cerminan isteri. Moga pedoman yang baik dari suami akan menjadikan kami isteri yang lebih baik juga dan sama-sama kita menerajui keluarga kita dengan penuh barokah dan sakinah. In sha Allah. Maaf salah silap okay..

Ikhlas sedekah dariku,

(pendosa yang ingin ke syurga)

(penulisanku jihadku)

– I. A (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *