Kalau disiarkan confession ini, terima kasih admin. Kisah ini benar dan tujuannya diterbitkan disini cuma untuk memberi secebis rasa bersyukur dan meningkatkan kesedaran bahawa sudah tiba masanya kita memberi lebih sedikit perhatian untuk mereka yang istimewa.
Kisah ini adalah tentang seorang gadis yang elok ku beri gelaran A sahaja. Seorang gadis biasa, menjalani hidup biasa sehinggalah diuji dengan berat menandakan besarnya kasih Allah untuknya pada usia 20 tahun. Entah, jika diri ini adalah A, rasanya sudah lama jatuh terjelepok tersungkur di tanah meratap nasib. Berat, dan ku rasa bukan mudah untuk menjadi positif dalam situasi beliau. Nikmat penglihatan yang dipinjamkan akhirnya ditarik semula oleh penciptaNya. Gelap dunia pada pandangan A, tapi tidak pernah sekali hati beliau. Semua itu berlaku secara tiba-tiba tanpa sebuah alasan yang pejal.
Aku ingat pernah bertanya tentang betapa marah dan kesalnya beliau dengan keadaan dirinya. Tidak, jawabnya ringkas, “aku sudah pernah diberi pinjam nikmat itu 20 tahun, sekurang-kurangnya aku tahu rupa pokok daripada mereka yang buta sejak lahir, lagi berat ujiannya”. Ah sudah, kekebalan hati tahap apakah ini. Kalau aku, 5 minit berada dalam gelap sewaktu terputus bekalan elektrik, sudah pasti rimas dan kalut!
A terpaksa menangguh pengajiannya di IPG, dan balik ke rumah. Pergi ke pusat rehab untuk latihan mobiliti, belajar kod Braille, pokoknya latihan untuk menjadi seorang buta. Akhirnya, A diterima menyambung semula pangajian di IPG di tempat baharu, rakan-rakan baharu dan suasana lain sedangkan rakan sekelasnya yang dahulu sudah gembira di pentas graduasi. Dengan jarak berbatu-batu dari rumah, dipisah laut Cina Selatan, dan ditambah dengan kata-kata dorongan oleh saudara jauh dan dekat untuk A TIDAK menyambung pengajiannya kerana merisaukan keadaan dirinya, A tidak mengundur diri, berani teruskan cabaran dan selesaikan apa yang suddah dimulakan. Bayangkan seorang pelajar, bakal guru yang menjawab peperiksaan dengan menaip “komputer bercakap”-nya, masuk ke kelas dan mengajar dengan tongkat putihnya, wah, tidak tercapai oleh akal seorang insan lemah ini.
A tidak pernah mengeluh, boleh dikatakan belum ada lagi masa dimana beliau menangisi keadaan dirinya. Malah A sering menguatkan, mendorong aku yang boleh dikatakan cukup sempurna dari segi fizikalnya. Pada minggu lepas, A sudah berjaya menamatkan pengajiannya di IPG. Hari ini pula pada waktu aku menulis confession ini pada 23:13 180618, A sudah diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hatinya yang dikenali semasa di pusat rehab. Seorang lelaki yang boleh menjadi “mata” kepada A. Alhamdulilah.
Sungguh ujian itu ada, sungguh juga jodoh dan nikmat itu sudah tersusun oleh Yang Maha Mengetahui. Pahit mana tidak akan selamanya menyeksa, gelap mana tidak akan selamanya kelam. Pasti ada yang indah menanti jika yakin dengan Dia dan Doa. Kisah A membuat aku tersentuh, benarlah kuasa Dia itu ada. Siapalah kita manusia untuk mempersoal, aturan-Nya sudah tertulis sempurna tanpa cela. Doakan kesembuhan dan kebahagiaan kakakku, A. Semoga kisah ini menjadi inspirasi untuk kita menjadi insan yang lebih banyak bersyukur dari mengeluh.
– PINKY
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit