Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau pilih luahan saya ini.
Memandangkan sejak seminggu dua ni gerakan Buy Muslim First atau dikenali dengan BMF kelihatan semakin rancak, saya terpanggil untuk meluahkan pendapat dan pandangan.
Apabila kaum Muslim bersatu untuk memartabatkan ekonomi Islam, ianya sudah tentu satu perkara yang patut dicontohi dan disokong.
Namun, saya sedih apabila semakin hari saya melihat ada segelintir umat Islam mengeluarkan kata-kata dan post yang boleh membawa kepada fitnah kepada sesetengah pihak.
Di mana adab dan akhlak yang seharusnya ada pada umat Islam? Apakah ianya ditelan seiring dengan kecanggihan teknologi?
Jika melihat kepada post yang melibatkan sesetengah syarikat MNC di mana terdapat penglibatan orang bukan Islam di tonggak tertinggi mereka sebagai pelabur ataupun CEO, komen yang dilemparkan netizen sekarang dilihat semakin tiada adab sebagai umat Islam yang mempraktikkan ajaran Islam.
Terkadang ada yang mengeluarkan perkataan yang tidak seharusnya digunakan untuk melambangkan kaum bukan muslim di negara kita Malaysia. Terdapat juga info yang salah dan tidak benar tersebar di setiap pelosok media sosial sehingga memburukkan pihak-pihak tertentu.
Kita seharusnya mengajak masyarakat lebih mengenali Islam melalui kebaikan dan akhlak yang bagus. Tetapi sebaliknya berlaku, kaum beragama lain dihina dan dicaci dengan kata-kata kesat.
Di mana terletaknya keberkatan kempen ini jika keburukan yang ditunjukkan melebihi kebaikan yang cuba disampaikan?
Jika anda benar-benar ingin menyokong gerakan BMF, saya sarankan bacalah sejenak isu yang dikupas oleh MUFTI WPKL di sini :
Satu pesanan saya untuk semua yang membaca, jika luahan saya disiarkan. Sila kenalpasti kesahihan atau kebenaran sesuatu info sebelum anda memberi komen atau menghebahkannya ke serata alam melalui FB, Instagram, Twitter mahupun Whatsapp.
Jika apa yang dicanangkan itu tidak benar dan boleh menyebabkan kekeliruan kepada orang lain, ianya boleh jatuh fitnah.
Di mana anda hendak cari individu-individu yang telah anda fitnah untuk meminta kemaafan mereka?
Ketahuilah setiap orang Islam yang bekerja di bawah naungan orang bukan Islam tidak pernah berniat untuk menghancurkan agama Islam. Siapa sangka mungkin dengan peribadi dan akhlak yang baik, pekerja itu mampu membuka hati majikannya ke arah Islam.
Wallahualam. Yang baik dan sempurna itu datang dari Allah, yang penuh khilaf dan silap itu daripada manusia.
Ikhlas,
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit