Cabaran Menjadikan Anak Tahfiz/Alim

Assalamualaikum Warga IIUM Confession,

Saya seorang ibu sedang melalui proses dan cabaran menjadikan anak hufaz dan alim. Saya dan suami berlatar belakang profesional. Kedua kami berpendidikan lepasan post grad.

Suami saya seorang Jurutera dan saya setelah sekian lama berkerja saya akhirnya berhenti dan memilih untuk memberi tumpuan pada anak anak setelah anak mula memasuki remaja.

Saya mempunyai 6 orang anak. Meskipun kami berdua dari hasil pendidikan arus perdana sekolah bukan aliran agama kami seperti ibubapa lain juga berusaha menyediakan anak anak membesar dalam suasana faham agama.

Kedua kami bukanlah dari keluarga senang, masih banyak tanggungan perlu diselesaikan.

Dua anak lelaki saya cenderung untuk belajar agama meskipun mereka mendapat keputusan baik dalam peperiksaan besar.

Anak lelaki pertama kini sedang belajar di IPT dalam jurusan laluan ke Luar Negara. Namun anak saya agak berdukacita hingga kini kerana tidak dapat menuruti keinginannya untuk belajar alim selepas keinginan itu hadir di waktu dia di Tingkatan 4 aliran sains tulin.

Saya dan suami tidak dapat mengiyakan kehendaknya kerana melihat dia sudah memasuki fasa SPM. Namun kami mengatakan memberi peluang dia belajar alim setelah tamat Ijazah.

Kiraan saya umur dia mungkin dalam 24 – 25 tahun tamat degree dan belajar alim 9 tahun (lebih kurang 33 – 34 tahun). Namun hal ini bergantung keadaannya apabila tiba masanya, mungkin berubah kehendaknya.

Melihat semangat belajar agamanya makin tinggi tempoh ini amat merisaukan juga khuatir di ambil mudah hal belajar akademik di IPT kini.

Adik lelakinya berusia 15 tahun telah tamat hafazan 30 juz dalam tempoh 2 tahun 1 bulan. Mula memasuki tahfiz ketika 13 tahun atas permintaan dia sendiri. Pentauliahan Sijl Tahfiz Malaysia – JAKIM pula hanya boleh dibuat setelah usia 17 tahun.

Untuk memasuki semula arus perdana beliau perlu didaftarkan paling lewat hujung tahun ini.

Saya tidak cenderung untuk dia belajar secara calon persendirian melihat calon persendirian juga memerlukan kos tinggi dari segi penyediaan yuran tuisyen untuk membantu lebih bersedia menduduki peperiksaan.

Manakala kelas tuisyen dari pihak Majlis agama tidak cukup kerana masa pertemuan hanya 2 jam seminggu dan kelas bukannya secara harian dan lokasi juga jauh dari kediaman kami.

Jadi pilihan yang mampu dan ada dengan memasukkannya semula ke sekolah arus perdana. Apa merisaukan saya kini, si adik meminta untuk membuat Syahadah, jangkaan masa dalam 1 tahun atau lebih.

Jika lebih dari setahun ini, sudah tentu dia akan lebih umur untuk layak mohon masuk ke arus perdana. Dia juga meminta hendak membuat alim (9 tahun) tapi kami telah berunding dengan nya dibenarkan membuat alim setelah dia tamat pengajian Ijazah di Timur Tengah.

Ini adalah saranan kami kepada beliau agar sekiranya beliau gagal menghabiskan alim 9 tahun tetapi beliau sudah ada sijil – sijil akademik untuk membantu dia survive dalam kehidupan masa depan.

Apabila saya meneliti syarat asas dari pihak JAKIM/MAWIP/Yayasan Negeri dan seumpamanya mengenai had umur, saya perhatikan dengan had umur pinjaman/tajaan maksimum umur 19 – 30 tahun dan tidak menaja pelajar belajar alim. Ia agak melemahkan semangat saya.

Saya memikirkan kemampuan kewangan keluarga juga untuk menyara pengajian keduanya secara persendirian belajar alim melihat anak anak lain juga masih perlu diberi perhatian.

Mohon nasihat dari mana mana ibu yang pernah melalui proses anak tahfiz, belajar alim, ambil SPM dan STAM dan sambung ke di Timur Tengah untuk berkongsi pandangan dari segi persediaan, kewangan dan selainnya.

Mohon tidak komen rezeki dari Allah Taala bla bla… Saya percaya mutlak pada hal itu, hanya saya sekadar membuat perancangan awal, jadi tak jadi saya serahkan pada Allah Taala selebihnya.

Saya memohon berikan panduan untuk membantu anak melalui proses perjalanan pendidikan seperti ini. Mungkin ada pihak pihak yang arif/berpengalaman.

Saya percaya ramai ibu bapa di luar sana juga berhasrat menjadikan anak Hufaz/Alim tetapi clueless.

– Khadijah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Pertamanya, bersyukurlah yg ank2 puan mahu mngaji agama dan dlm msa yg sama juga ada asas akademik.. bkn mudah nk mnyuruh ank2 mngaji agama jika mereka sendiri tidak berminat, apalagi kalau dipaksa.. saya bukanlah ‘pakar’ dlm bab agama ni.., dan mngkin pendapat saya tak boleh dipakai pon.. tapi kalau puan pernah mngikuti pengajian agama, atau lebih khusus ilmu ‘tasawuf’ dgn guru yg bertauliah, mngkin pernah dengar ungkapan spt “jika kita mengejar Akhirat, maka dunia akan ‘mengikut’ kita”, or something like that.. maksudnya, klau kita dahulukan didikan agama atau ilmu Akhirat itu kpd ank2, Inshaa Allah adalah rezeki nya yg mnunggu di dunia ini.. sya ada seorang kawan yg anknya hafiz 30 juzuk al-Qur’an dan telah mngaji di Jordan.. rezeki dia dapat mngaji di sana secara ‘percuma’ dari segi tempat pengajian, dan tambang pon ditaja oleh org2 yg memberi infaq ataupun wakaf.. ibu bapa hanya memberi duit poket utk mrnyara mkn minum dan keperluan seharian.. dipendekkan cerita, apabila pulang ke tanahair, spt tiada pekerjaan yg mnunggu, kerana tiada langsung kelayakan akademik sama ada di dlm atau pon dari luarnegara, hanya sbg hafazan 30juz al-Qur’an.. kebetulan pada masa bulan Ramadan, bnyak masjid dan surau yg ingin mngambil org yg tahfiz ini, termasuk lah anak kawan saya ni.. oleh kerana bacaan yg fasih dan dgn taranum dsb, beliau telah terpilih menjadi imam di sebuah masjid, dan dipelawa utk terus menjadi imam di situ.. dan saya mendapat tahu, beliau telah pon membuka pusat tahfiznya sendiri dan mendapat sambutan yg menggalakkan di tempat nya.. apa yg ingin sya sampaikan, jgn lah dirisaukan sgt tentang apa yg patut dibuat atau yg tidak.. (kdg2 apa yg kita rancang pon x menjadi spt yg dirancang pun).. yg penting minat dan kehendak dia, atur mngikut ‘flow’ yg tersedia baginya.. di samping tu, sentiasa mohon petunjuk Allah dgn solat istiqorah, solat hajat dsb., dan jika ada org yg ingin berinfaq utk pengajian nya, mngkin ada rezeki utk bhg dia dan ank2 yg lain.. itu shj serba sedikit dari saya yg ‘dhaif’ ilmu ini.. wasalam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *