Cancer Fighter

Assalamualaikum, warga IIUM Confession. Saya nak share penulisan saya tentang pengalaman sebagai pesakit cancer. Ada 18 series semuanya. Tapi dalam confession ni, saya letak la beberapa series terus.

Penulisan ni bertujuan untuk sharing supaya mereka yang ada family member yang sedang menghadapinya, faham situasi yang sedang dan akan di lalui. Ada nombor2 setiap penulisan tu, adalah berdasarkan no entry saya di fb. Saya tak edit bahagian no series tu ye..

#cancerfighter

1

Saya mula perasan ada ketulan di payudara pada waktu susukan anak yang ke4, ketika dia berusia 4 bulan. Berlaku bengkak susu dan ketulan itu adalah susu yang keras dan tidak mencair walau dengan apa usaha sekali pun. Saya ke klinik, consult dengan Doc tentang ketulan tersebut. Doc kata, kebanyakan ketulan begitu tidak bahaya. Selagi ianya lembut dan boleh bergerak (mobile). Jadi, saya monitor sendiri sahaja selama 6 tahun.

Febuari 2018, saya dapat merasakan ketulan tersebut makin membesar. Saya berbincang dengan suami, apa langkah yang perlu di buat. Saya juga berbincang dengan emak.

Saya telefon klinik kesihatan dan pusat kesihatan universiti untuk mendapatkan pandangan pakar. Maka, yang terbaik, pergi le klinik ibu mengandung bagi mendapatkan konsultasi.

Saya ke sana pada April 2018. Ya.. agak bertangguh kerana ketulan sangat kecil dan masih lembut. Masih dalam fasa mastikan adakah ketulan tersebut membesar, atau saya sahaja yang risau tak bertempat.

Di klinik ibu mengandung, Doc juga berpendapat ia hanya ketumbuhan biasa pada ukuran kurang 2cm, lembut dan mobile. Jadi, tarikh appointment untuk ke klinik pakar 2 di hospital, di berikan pada September 2018. Sangat lama sebab kes di kategorikan bukan kritikal.

Pada masa yang sama, saya terus observe perkembangan ketulan tersebut. Makin lama, saya makin risau.. sebab ia membesar dengan cepat. Semakin terasa ketulan dan mula mengeras.

#cancerfighter

2

Pada Ogos, saya mendaftarkan diri untuk coaching bisnes dobi bersama INSKEN. Ia memerlukan komitmen saya selama 4 bulan untuk mendapatkan sijil. Saya jenis yang rebut peluang yang lalu depan mata. Kursus begini, julung2 kali di buat untuk industri dobi. kursus bisnes banyak tapi tidak spesifik untuk dobi. Jadi, selepas berbincang dengan rakan usahawan dobi (bff dobi) dan family, saya buat keputusan untuk mengikuti kursus ini.

Pada September 2018, saya berjumpa Doc pakar buat kali pertama. Doc merasakan kes saya ini serius. Ya, ketulan sudah mengeras. Pada hari itu juga saya terus di bius untuk mengambil sampel. Saya ke hospital sendiri sebab rasa kan ini adalah kali pertama jumpa Doc pakar.. sebarang prosedur, mesti la buat masa follow up, kan? Rupanya saya salah. Bila kes kira emergency, cepat saja prosedur di hospital kerajaan pun.

Saya di beri tarikh untuk scan, seminggu dari tarikh pertama jumpa pakar. cepat, kan? dan next appointment adalah 14 hari kemudian.

Hujung minggu tersebut adalah kelas pertama saya dengan INSKEN. 2 malam berkampung di Nilai. Kursus yang menarik. Tapi saya berdebar.. kalau saya perlu di bedah, macamana dengan kursus ini? Pada waktu yang sama, saya sudah mula merasakan sakit pada bahagian bahu. Tapi masih boleh bertahan..

#cancerfighter

3

Minggu berikutnya, saya pergi untuk ultrasound. Doc agak risau.. tapi tak mahu sebut apa-apa pada saya. Pakar di panggil. Sama-sama lihat ke skrin. Kemudian, pakar beritahu..

Melihat kepada bentuk ini, kemungkinan besar, ini adalah cancer. Tapi kita tak pasti lagi ye Puan. Saya cuba dapatkan tarikh secepat nya untuk Puan berjumpa pakar.

Tapi tiada tarikh baru di berikan sebab tak lama juga tarikh appointment asal yang saya dapat. hanya 4 hari dari tarikh ultrasound. Orang yang pertama tahu, pasti lah encik suami. Saya relaks saja masa sketch pada suami bentuk ketulan di ultrasound tadi. Ada spike macam jarum2 yang memegang tisu2 lain. Jadi, saya faham.. ini lah punca saya rasa sangat sakit di bahagian bahu dan belakang. Suami saya, terus memandang dan pegang tangan saya dengan kemas..

Umi ok?

Saya senyum. Saya ok sahaja. Cara saya bercerita pada suami pun ceria dan excited je.. ye la.. at least, tahu Doc pandang serius perkara ni. Penat tau sentiasa sakit…

Minggu seterusnya, sakit di kawasan bahu jadi sangat ketara. saya pegang stering guna tangan kiri. Tangan kanan di rehatkan sepenuhnya. Pasti la saya beritahu kepada sv saya. Bahaya tak beritahu.. Kefahaman dari orang sekeliling kita sangat penting. Walau ia cuma ‘kemungkinan’, tetap perlu di beritahu.

Memang tabiat saya, saya akan kongsi dan beri kefahaman kepada orang di sekeliling saya, tentang perancangan dan sebarang kemungkinan yang akan berlaku untuk setiap perkara. Jadi, seterusnya, adalah memaklumkan keadaan itu kepada staff dobi al hijrah. Saya suka untuk pastikan semua orang alert dan bersedia. Alhamdulillah.. Allah kurniakan saya dengan orang-orang yang baik, memahami dan sedia membantu.

Sebenarnya, kunci bagi urusan hidup yang mudah, adalah dengan interaksi. Bercakaplah pada Allah, Dia Maha Mendengar. Berbincanglah dengan orang sekeliling kita, inshaAllah, akan semakin mudah urusan kita.

#cancerfighter

4

Awal Oktober 2018, saya berjumpa pakar buat kali kedua. Keputusan biopsi menunjukkan cell normal. Doc mengatakan tiada apa yang perlu di risaukan. Tapi saya tak puas hati. Saya sakit, Doc! Saya dah tak boleh guna tangan kanan saya!

Doc pakar di sebelah doc yang merawat saya mula campur tangan. Pakar minta untuk melihat ketulan tersebut. Tarikh pembedahan terus di berikan, 4 hari dari tarikh appointment ke2 tersebut. Doc yang merawat saya terkejut kerana saya diberikan tarikh yang sangat cepat. Ya, dia masih muda.. Syukur ada 2 orang doc di situ. Jadi, kadar kes terlepas pandang sangat kecil.

Saya keluar dari bilik Doc dengan perasaan berbaur.. Terkejut yang saya akan di bedah lagi 4 hari. bermaksud, 3 hari lagi saya dah kena masuk wad. Maka, bergegas lah saya menguruskan jadual kerja. Mana urusan dobi, saya atur siap2. Beritahu juga kepada staff, saya tak boleh aktif dalam masa 2 minggu.

#cancerfighter

5

Pada awal october saya dibedah untuk buang ketulan tersebut. Doc beritahu, andai ketulan tersebut positif cancer, akan ada pembedahan susulan di ketiak bagi membuang lymph nodes. Buang lymph nodes ni sebagai satu kaedah pencegahan supaya cancer tidak mudah merebak. Ok, saya faham sebab lymph kita pergi ke seluruh badan, sama macam sistem peredaran darah. Terbayang pulak gambarajah manusia dengan segala sistem yang ada, masa mengajar subjek sains tingkatan dua dulu-dulu.

Sepanjang di wad, saya happy2 je.. siap bawak laptop, buat thesis kat katil. Pengalaman menjaga orang di wad, bosan tak tau nak cakap. Jadi, baik saya guna masa sebelum bedah tu, buat thesis. dapat satu page pun dah best sangat.. hihi

Saya di tempatkan di wad yang ada 4 katil. Jadi agak meriah juga kami bertukar cerita. Tapi tak lama.. lepas bedah, saya di pindahkan ke bilik seorang. Tapi best jugak, ada tv dan privasi. Baru lepas bedah kan nak rehat je.. jadi, duduk di wad seorang rasa tenang. Cepat sembuh rasanya

Waktu di wad bawah dan wad atas, jururawat pelatih yang jaga saya, kebanyakannya adalah pelanggan dobi al hijrah. Jadi, rasa seronok je tinggal kat wad pun. Ada saja jururawat yang datang menjenguk, tanya khabar. yang belikan makanan pun ada. Cuma rindu la kat family.. nasib baik suami boleh jaga kat wad atas ni. Lega sangat..

4 hari kemudian, baru boleh keluar wad. selepas drain bottle yang bersambung dengan luka pembedahan kosong. Yang ni, saya nak bagi tahu.. masa dia tarik tiub drain bottle tu, sakit sangat tau! Yang cabut tu doc pelatih. Dia pun tak sangka tiub kat dalam tu panjang lebih 2 jengkal. Tarik tak habis2. Tarik2 laju2 sakit.. tarik slow2 pun sakit jugak. huhu.. Tak pe la.. pengalaman baru..

Waktu ni, kursus INSKEN kedua akan berjalan. saya memang tak dapat pergi. saya wakilkan adik. Alhamdulillah.. semua pihak memahami..

Saya berpantang di rumah, dua minggu. Minggu ketiga, saya dah rasa kuat. Jadi saya ke dobi. Tapi memang tak buat kerja2 dobi. Dobi ni macam terapi pada saya.. hilang segala rasa penat, sakit, etc bila ada kat dobi

#cancerfighter

6

Masa bedah tempohari, doc kata,

kalau tisu yang kita ambil tu tak bahaya, kita akan panggil puan untuk periksa jahitan ikut tarikh ni ye.. lebih kurang sebulan dari tarikh bedah. Kalau sebaliknya, kita akan call untuk puan datang lebih awal.

Saya: Berapa lama result baru keluar, doc?

Doc: Dalam 2 minggu

Binggo! So, 2 minggu adalah clue nya. Pada 25 okt 2018, saya di minta untuk datang ke hospital. Ok, ini lebih sedikit dari 2 minggu. Jadi, kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Satu lagi pembedahan jika confirm cancer. Suami dari awal pagi memberi kata-kata semangat.

Suami: Ingat, abi supporter umi paling kuat walau apa keadaan pun!

Kami berborak seperti biasa pagi itu. Bergurau senda seperti biasa. Sesekali saling berpandangan, senyap seketika tapi di sambung semula dengan topik2 semasa. Masing2 tahu, kami saling berdebar walau mulut cuba mengubah fokus pemikiran.

Suami: Umi dah sedia?

Saya: Ya.

Suami: Ok, jom kita pergi hospital

Tempoh menunggu di hospital terasa sangat lama. Baca journal di handset pun tidak dapat hadam. Akhirnya saya memilih untuk tidur sahaja. haha.. Best juga tidur sambil duduk. Melentok di bahu suami. Terasa tenang dan damai.

Ok, bila doc panggil nama, debaran kembali terasa. walaupun sebenarnya, kami sudah dapat mengagak apa yang akan di beritahu oleh doc.

Doc: Puan, saya minta maaf.. daripada test kepada tisu tempohari, puan positif cancer.

Suara Doc sangat perlahan. memandang saya dengan pandangan kasihan, sayu..

Saya: oo.. ok. stage berapa ye, doc?

Doc: stage berapa, kami tak akan tahu, sehingga kita buat pembedahan mengeluarkan lymph nodes.

Saya: oo.. orait. Bila ye pembedahan tu?

Doc: Nanti saya minta nurse semak bila boleh buat… err.. puan ok?

Saya: saya ok je.. kan doc dah beritahu sebelum operation. Kalau result positif, hospital akan panggil awal. Jadi, bila hospital telefon untuk awalkan tarikh, saya dah tahu.. cuma nak dengar dari doc saja.

Saya senyum je.. tak terkejut dan tak ada drama air mata. Memang sudah di jangka. Jadi, kita terima saja lah. Allah bagi hadiah, takkan kita mengeluh pula, kan? Nurse di sebelah pun cuba menyabarkan saya.. Tapi saya kata, eh, saya ok je.. sambil tergelak kecil.

Keluar dari hospital, kami cari tempat yang agak tenang untuk bersantai. Saling kuat menguatkan. Detik2 yang tak tahu nak cakap macam mana. Cuba menormalisasi apa yang bakal kami lalui kemudian ini. saya mesej sv beritahu berita ini. sv call saya sejurus menerima mesej saya..

sv: Ju, di hari jadi awak, Ju..

saya: Ya, Dr..

saya putuskan talian. Tak kuat rupanya saya untuk bercakap dengan sv. Menitis juga air mata.. eh, sebenarnya saya ok, tau.. saya memang ok. Cuma bila dengar suara prihatin sv, saya jadi sebak. Entah apa2 la saya ni.. haha..

Ok, next, balik rumah nak bagitahu family pulak. Nak call dulu? atau tunggu sampai rumah baru bagi tahu? Mak sudah la tak berapa sihat.. hmm.. di rumah sahaja la. Saya serahkan pada suami untuk beritahu khabar ini kepada keluarga mertua.

Maka, saya perlu bersedia untuk pembedahan kedua. Saya maklumkan juga kepada staff dobi. Semua terdiam. Agaknya tak pasti apa respon yang perlu di beri bila tengok boss gelak2 je bagitahu dia ada cancer

#cancerfighter

7

Pembedahan kedua saya berlangsung pada pertengahan November. Semua berjalan lancar.. Alhamdulillah.. eh, saya jumpa sekali lagi dengan pesakit yang sama2 di wad pada pembedahan pertama. Maka kami saling bertukar cerita Anak2nya minta dia memcuba rawatan kampung. Maaf, kak. saya tak setuju. saya sertakan segala macam fakta untuk dihadam oleh kakak tersebut. haha.. saya memang begitu. cakap memang confident..

Sepanjang saya di rawat, saya sibuk juga berbalas mesej dan telefon dengan bakal tuan kedai baru. Ya, saya merancang untuk berpindah kedai. Dari setengah lot kepada satu lot. Alhamdulillah.. urusan sangat mudah. Tuan kedai lama juga sangat mudah.. Tuan kedai baru, lagi la tak terjangka mudahkan urusan saya.

Jadi, pada 25 Nov 2018, rasminya dobi al hijrah di lokasi baru. Pada 10 hari lepas pembedahan kedua saya. Sungguh, suami saya memang supporter terhebat! Dia layan saja idea gila saya. Staff dobi pun layan kan saja boss mereka yang giler komited ni. Sakit pun, projek jalan terus!

Next, Pelan untuk chemo pula. Doc kata, saya akan ikut 6 cycle chemo, 20 cycle radioterapi dan 5 tahun pill hormon. Orait.. bedah, ok. no problem.. chemo ni benda baru pada kami. Jadi, memang macam excited nak tahu macam mana cara buat chemo ni. makan ubat ke, masuk ubat ke?

Pertengahan Disember, doc panggil semula ke hospital. cek jahitan pembedahan. cek ada ketulan baru atau tidak. saya pun di minta untuk luruskan tangan ke atas. eh, tak boleh lagi rupanya.. hehe.. sakit lagi walau dah sebulan.

Suami curi2 baca report pada fail doc. Ketulan yang di buang bersaiz 2cm x 4.5cm. ada tulis 11cm tapi tak pasti apa. suami kata, saiz ketulan. Tapi saya rasa, panjang lymph nodes yang di keluarkan. Doc kata, 1/11 lymph nodes saya sudah ada ketulan2 sel cancer. Ini menjadi indikator, cancer saya pada tahap 2.

Hujung Disember, dobi al hijrah buat projek adhoc. kumpul dan edar baju sekolah terpakai. idea spontan tapi rupanya dapat banyak sambutan. Seronok bila ramai orang doakan dobi dan saya secara specific. Pada waktu ini, sangat terhad orang yang tahu saya ada cancer.

Tapi doa2 tulus dari para penderma dan penerima baju sekolah terpakai, sepertinya betul2 sampai pada saya. Melihat reaksi mereka menjadikan saya insaf dan perlu lebih kuat. Terima kasih lagi sekali kepada suami, staff, kawan2 dan keluarga yang tak putus support idea giler saya. lagi saya sakit, lagi saya pulun. Haha.

#cancerfighter

8

Chemo bagi breast cancer stage 2 macam saya, di buat selepas 2 pembedahan. Chemo pertama dan ke4, saya perlu tinggal di wad satu malam. Sebab doc nak monitor kesan sampingan yang mungkin berlaku kepada pesakit.

Saya pergi daftar wad bawa bag luggage beroda. style orang nak pergi bercuti tu.. hihi.. santai2 je. Tunggu kat ruang pendaftaran masuk wad tu, sama macam menunggu kat balai berlepas di airport. Sampai di wad 4a, saya beritahu nak check in. Nurse ingat saya waris pesakit.. saya kata, eh, bukan.. saya sendiri yang nak masuk wad. sambil tersengih2. Saya rasa saya ok.. jadi, untuk apa saya tunjuk macam saya sakit.. kan? Saya stay happy2, ceria2 je..

Saya masuk wad yang sama seperti pembedahan 1 & 2. Tapi kali ni berjumpa dengan orang yang berbeza. Semua orang sedang bersiap untuk chemo. Pelbagai jenis cancer. Jadi, bermacam cerita baru saya dengar. Ada yang perlu chemo dulu baru bedah. Ada yang radioterapi dulu baru chemo.

Pesakit di katil depan saya kelihatan sangat down (saya namakan dia Ani, ye.. hehe). Dia cancer colon. sudah di bedah. Keluarganya majoriti kena cancer. Ayahnya sangat sedih bila dia juga kena cancer. Jadi, keseluruhan keluarganya sudah tidak kuat. Saya pun tidak mampu untuk memberi kata-kata peransang. Cuma saya kekal positif walaupun di kelilingi mereka yang senasib, yang down..

Tengahari ke petang, saya habiskan masa dengan menulis thesis. Entah betul atau tidak, dah sihat nanti saya semak semula . Petangnya, lepas solat asar, saya diberikan ubat anti alahan. Ubat ni sangat kelakar.. 2 saat selepas di suntik, saya terus kegatalan yang melampau. Saya terus menggaru tanpa sedar. Jururawat bertugas tergelak kecil. Selepas satu minit, rasa gatal beransur hilang dan tak lama, hilang terus. Jururawat kata, ubat yang ini memang akan menyebabkan rasa gatal. Tapi sekejap sahaja.

Nurse: Pesakit cakap memang gatal bila inject ubat ni. Tak tahu la rasa gatal tu macamana sebab saya tak pernah rasa..

Saya: Eh, betul dah yang orang cakap gatal tu.. Tak payah la misi nak rasa pulak. Saya doakan misi tak perlu rasa ubat ni sampai bila2

Seluruh wad ketawa.. dan ia cetusan pertama dari aura negetif yang menyelubungi wad sejak pagi tadi. Kemudian, saya dengar pesakit2 lain mula bersembang dengan nurse dan sesama sendiri. Saya mula berkemas. Menyimpan laptop. Sebentar lagi, prosedur chemo akan bermula..

Chemo untuk saya, dimasukkan 2 jenis ubat melalui branula. Syringe nya besar. Ubat pertama berwarna merah. Ubat kedua jernih sahaja. Ubat perlu di habiskan dalam masa 30 minit. Perit. Sakit. huhu.. 2 kali saya minta doc berhenti. Lega bila ubat sudah habis di masukkan. Saya rehat2 sahaja. Cuba merasakan jika ada perubahan pada badan.

Maghrib, isyak dan subuh, saya solat duduk dengan sujud sekadarnya. Ada branula di tangan memang sakit untuk letakkan tangan di tempat sujud, menampung berat badan. Jadi, setakat mana yang boleh, saya lakukan saja.

Bila buang air, warna takungan tu berubah merah. Jururawat kata, itu normal kerana ubat yang masuk berwarna merah. Ok, jadi saya tak risau dah. Tengahari saya dah boleh discaj.

Keluar dari wad, saya dah mula rasa lemah.. rasa mual.. berapa lama agaknya saya perlu hadapi

#cancerfighter

9

Sepanjang tempoh chemo, pesakit di minta untuk sangat berhati2, jangan sampai terkena jangkitan kuman. Konsepnya, ubat chemo akan membunuh sell cancer. Tapi, di sebabkan ubat ini bukan ada mata untuk memilih, jadi, kebarangkalian sel normal juga akan dibunuh adalah tinggi. Pada waktu ini, tubuh perlu berkerja keras membuat sel baru. Imuniti tubuh berada pada tahap paling rendah. Pesakit sangat fragile.

Sebarang sentuhan dengan benda hidup juga sangat berisiko. Jika nak makan sayur, pastikan di masak sepenuhnya. Bakteria kan akan mati kalau kena suhu tinggi.. kalau jenis ulam atau salad tu, kira bahaya la.. sebab ada risiko terdedah pada bakteria. Kalau nak makan buah, pastikan buah tu di basuh dengan sempurna. Basuh air mengalir.. kasi bersih betul baru makan.

Lepas basuh, terus makan.. jangan lepas basuh, 2 jam kemudian baru makan.. sempat bakteria lain pula yang singgah. Pakaian pesakit perlu di basuh asing. Tidak boleh basuh sekali dengan ahli keluarga yang lain. Sabun mandi, shampoo, kena guna yang untuk baby.

Kenapa? kerana sel baru yang terbentuk tu sangat muda lagi.. jadi, kena la guna chemical yang lembut2 sahaja. Saya pada awalnya degil. saya guna pencuci muka yang biasa saya guna. Terus terbakar kulit muka saya. nasib la baru guna sikit dah rasa panas. cepat2 saya basuh.

Tapi, apa yang best chemo ni, ia menjadikan kulit saya kembali muda. hilang semua jeragat.

Sepanjang chemo 1-3, saya lembik sekitar hari ke2 hingga hari ke-10. Bermula hari ke11, saya bagaikan hidup semula. Cergas dan fresh! Tapi, hari2 yang ubat chemo sedang bertindak balas, saya sangat lembik. Semua pun rasa tak best. Tidur tak best, duduk tak best, tak selesa, panas, etc.

Saya tak boleh makan pedas langsung! Reaksi saya, sama seperti baby yang terkena cili. Sekarang saya faham kenapa baby boleh menangis meraung2 bila terkena cili. Bukan sebab pedas. Tapi sebab rasa semuanya bagai terbakar. Dari bibir, mulut, kerongkong, sampai ke perut. Sedih sikit masa tu.. sebab saya pencinta pedas! huhu

Setiap hari saya akan peluk botol air yang berisi air dari peti sejuk. Kalau boleh, saya nak keluarkan perut saya dan simpan dalam peti sejuk. Haaa… macam tu la rasanya. Panas, mual, tak faham perasaan sendiri. Saya tak suka perasaan tu. Kerap saya kata pada mak, saya tak mahu chemo lagi…

Minggu kedua chemo pertama, rambut sudah mula gugur. Gugur bukan sikit2 tau. Setiap kali kutip atau sikat rambut, satu bag plastik merah yang biasa kita guna untuk tapau makanan tu, penuh dengan rambut. Masuk minggu ke 3, kami decide untuk botak kan sahaja kepala. Eh, comel rupanya bila botak ni.. berangin je kepala. haha..

Chemo ke2 dan ke3, dah tak buat di wad. Buat di daycare. pergi pagi, siap masuk ubat, boleh balik. Oh, ya.. kena bayar RM53 setiap kali chemo jika bukan kaki tangan kerajaan. Ubat chemo kali ini, di masukkan melalui drip. Jadi, ubat terasa sejuk sahaja mengalir ke dalam urat. Sangat berbeza berbanding chemo pertama

#cancerfighter

10

Apabila saya sudah dapat rentak reaksi chemo dalam badan, saya mula susun atur semula jadual hidup. Ada masa saya idle, ada masa saya relaks dan ada masa saya aktif. Biasanya, dalam sebulan, cuma seminggu sahaja saya boleh aktif. Selebihnya, saya datang dobi dan tidur. Saya buka laptop dan tidur. Staff dobi sangat main peranan waktu ni.

Saya sangat bersyukur di kurniakan staff yang komited dan boleh berdikari. Kebanyakan hal yang timbul di dobi, mereka akan bincang sesama sendiri dan selesaikan. Mana yang susah macam mesin rosak, baru lah minta saya uruskan.

Saya pula, seminggu yang saya sihat tu, saya gunakan untuk merancang satu lagi projek besar. Saya buat Baju Raya Pre-loved. Bulan April program tu berlansung, bersamaan dengan waktu chemo ke4 saya. Sambutan program yang ini, sangat menggalakkan. levih 30 tan pakaian terpakai telah berjaya di kumpulkan.

Kerjasama dengan banyak pihak termasuklah pelajar mekanikal UTHM, pbt, dewa master, kedai buku most, savonn magic, wajan catering dan imkd. Bukan calang-calang projek. Siap dapat liputan dari sinar harian dan astro awani. Kan saya dah cakap,.. lagi saya rasa lemah, lagi saya push diri saya. Tapi ya, still within capacity la.. arrange semua ni, bukan guna tenaga saya pun. Guna tenaga orang lain je banyaknya.. hehe

Saya masih berhubungan dengan kakak yang sama bedah dengan saya dulu (saya namakan dia kak am, ye..). Suami kak Am yang kerap suruh isterinya hubungi saya. Sesekali jika kami terserempak di hospital, kami akan bertukar cerita. Saya faham, suaminya mahu isterinya kuat seperti saya. Sebab itu, jika lama kami tidak berhubungan, suaminya akan minta Kak Am telefon saya. Jika ada keputusan Kak Am yang suaminya kurang setuju, dia akan suruh Kak Am rujuk pada saya.

Biasanya memang keputusan suaminya dan saya, sama. Sebab Kak Am cenderung mengikut kata-kata anak untuk memilih perubatan tradisional berbanding hospital. Saya tak kata tak boleh.. tapi kena seiring. Rawatan hospital jangan di tolak total. Bahaya! Siapa yang akan monitor keadaan kita kalau bukan doc?

Untuk kimo ke4, saya perlu di masukkan ke wad. Saya jumpa sekalu lagi dengan Ina, penghidap cancer colon. Kali ini, dia ceria sahaja. Saya seperti biasa, menyapa dengan ceria dan bertanya keadaannya. Adakah sudah makin baik sehingga dia happy begitu? Katanya, saya dapat kekuatan dari akak. Saya tengok akak ceria aje masa chemo dulu. Jadi, saya decide untuk jadi ceria macam akak. Untuk apa saya bersedih pun.. tidak membantu penyembuhan pun.

Bila saya redha, saya ceria, saya tengok, ahli keluarga saya pun jadi tenang dan semangat untuk rawat saya sampai sembuh. Terima kasih, kak.. Bagi persepsi baru kepada saya.. Alhamdulillah.. seronok bila semua orang ceria-ceria saja. Nurse pun jadi semangat nak uruskan kita. Doc pun seronok nak rawat bila pesakit positif. Kali ni, wad saya ceria dan penuh aura positif. Syukur Ya Allah…

Oh, Ina juga sudah bertudung penuh sepanjang di wad. Tidak seperti waktu chemo pertama. Saya terus memerhati Ina sepanjang di wad. Oh, solat juga sudah cukup.. tiada alasan lagi branular menghalang untuk solat. Bahagianya saya masa tu.. Sungguh, dakwah tidak semestinya dengan kata-kata. Dakwah dengan perbuatan.. tunjuk contoh.. ajar jika mereka tidak tahu. Dan jangan ada dalam hati menghukum mereka yang belum mampu menegakkan syiarNya. Doa.. doa.. doa..

#cancerfighter

11

Saya berjaya menamatkan kursus dobi 4 bulan bersama INSKEN pada chemo ke3 saya. Alhamdulillah.. dapat sijil yang menguatkan bisnes saya. Kemahiran saya mendobi di iktiraf.

Bermula chemo ke4, saya sudah tiada lagi menstrual. Ia adalah perkara normal bagi pesakit yang menerima rawatan kimoterapi. Hormon di ganggu dan kalau boleh dihentikan kerana hormon ini akan memudahkan penyebaran sel cancer.

Ubat chemo ke4-6 berbeza dari chemo 1-3. Tiada lagi ubat berwarna merah. Semuanya jernih saja. Tapi, kesan chemo ke4-6 ni lebih lama.. lebih dari 2 minggu. ada yang berpanjangan hingga ke minggu ke3. Kali ini, semua bulu2 gugur. Kening, bulu mata, semua tiada. licin.. muka macam alien rasanya. haha..

Bulan Ramadhan itu, saya lalui ketika chemo ke5. Awalnya saya nak minta tangguh hingga lepas raya. Saya nak puasa betul2. Risau kesan chemo menyebabkan saya tidak mampu berpuasa penuh. Tapi, saya tak tersebut pada doc. Jadi, hingga tiba tarikh, saya jalani juga chemo seperti jadual yang sepatutnya.

Alhamdulillah, saya dapat melalui Ramadhan dengan jayanya walau tidak sesempurna tahun-tahun sebelumnya. Tiada tilawah.. tarawikh yang minimum.. dan paling banyak tidur. Cuma saya rasa sangat lega bila saya tak ada rasa lapar yang menggigit seperti kebiasaan waktu chemo.

Hujung Ramadhan, saya belajar untuk make up sedikit. Belajar buat kening, belajar guna celak.. sebab, saya tak mahu masa raya nanti saya kelihatan pelik. Saya tak mahu tetamu yang datang ke rumah perasan yang saya ‘has something wrong somewhere’.. hehe.. Cuma sekadar tak mahu kecoh2. Tapi, oleh kerana saya memang bukan jenis ber make up, maka saya asyik terlupa. Jadi lah banyak gambar raya saya tahun 2019 seperti makhluk asing. muka memang clear. hahaha..

Raya ke 4 saya sudah kembali ke hospital, untuk chemo ke6. Tak sabar nak habiskan cycle chemo. Tak sabar nak dengar doc cakap, Junita, awak sudah bebas dari cancer. Tak sabarrrr…

Anihnya, pada chemo ke6, saya tak mampu untuk puasa sunat syawal. sedangkan, sepanjang Ramadhan, saya mampu untuk puasa penuh. Mungkin faktor doa.. lupa nak doa awal2 untuk puasa sunat. hihi..

Lepas habis cycle chemo, saya akan buat radioterapi pula. Jadi, sebelum mulakan radioterapi yang memerlukan komitmen setiap hari, saya cuba siapkan satu paper journal. Alhamdulillah.. berjaya submit. Tapi sampai sekarang belum published. hehe

#cancerfighter

12

Selepas chemo ke5, saya buat ctscan. ctscan saya di buat di Kluang memandangkan mesin di Batu Pahat rosak. Sebelum masuk, saya di minta minum air berwarna, dalam 1 liter. Saya juga perlu hold air tersebut sehingga selesai ctscan, baru boleh membuang.

Jadi, saya cuba alihkan perhatian minda. saya scroll fb, saya tengok youtube.. akhirnya, saya tidur. Tidur di kerusi menunggu. Tapi, ruang tersebut sangat sejuk.. saya tak dapat bertahan lagi. sudah 2 jam saya menunggu dengan kesejukan dan air yang penuh.. uish! nak terkucil sangat ni.

Bila saya bagitahu nurse, kelam kabut mereka arrange supaya saya beoleh buat dengan segera. Jadi, 2 minit kemudian, saya masuk buat ctscan.

Prosedur sama seperti xray. Tukar baju hospital dan baring di katil kecil di tengah bilik. Tangan saya di pasang branula.

Puan, sepanjang proses nanti, kita akan masukkan ubat. Puan akan rasa sakit sikit. Kalau tak tahan, beritahu ye.. Dan Puan kena tahan nafas masa lampu menyala.

Ok, saya ikut arahan tu. Tapi, rupanya yang dia kata sakit sedikit tu, sakit banyak… huhu… saya masuk dalam gelung donut, tunggu lampu menyala dan padam, ikut arahan pegawai sains.. sambil menahan sakit teramat sepanjang waktu dia masukkan ubat. Syukurlah.. 15 minit sahaja prosedur ini. Result akan di diperolehi dalam masa sebulan dan akan di beritahu oleh doc pakar di hospital Batu Pahat.

Ini lah ujian menyeluruh yang dapat mengesan di mana lagi ada sel cancer di tubuh seseorang. Tak sabar saya nak tahu keputusannya..

#cancerfighter

13

Result dari ct scan tidak di beritahu kepada saya dengan terperinci kerana tidak ada appointment di berikan kepada saya untuk berjumpa doc pakar sebelum radioterapi bermula. Apa yang saya tahu hanyalah sedikit hint dari doc pelatih yang memeriksa saya semasa chemo ke6.

Secara kasarnya, apa yang di beritahu doc, result di bahagian cancer tunjuk perkembangan positif, tak perlu risau. Ada sedikit bengkak pada hati, lebih kepada bahagian kanan hati. Tapi sikit sahaja. Tidak di nyatakan kepada saya, berapa kah saiz yang sikit tu. 1mm kah?

Ada juga sedikit ketulan di kesan pada bahagian thyroid. Juga kecil sahaja. Jadi saya tidak perlu risau, kata doc. Saya tak risau.. saya positif saya boleh sembuh sepenuhnya. Tapi, bahagian thyroid tu, memang saya ada rasa something wrong for the past two years.

Maksudnya, sebelum cancer di kesan lagi. sebelum ketulan di dada mengeras. Tak pe.. nanti doc pakar akan jelaskan secara terperinci. Tapi, tak ada pula appointment berjumpa doc pakar di beri. Hmm.. tak pe.. kita ikut dulu rancangan doc untuk radioterapi. Mesti akan ada masanya untuk jumpa doc juga, kan?

Radioterapi untuk saya akan di jalankan di HSI, JB. 20 sesi, kata doc dulu. Ia memerlukan saya berada di JB untuk 5 minggu kerana radioterapi di buat setiap pagi. Jadi, segala persiapan jadual kerja dobi, research dan jadual keluarga perlu di atur semula untuk tempoh 5 minggu. Pada awalnya, saya menjangkakan radioterapi saya akan di buat pada ogos, tetapi, rupanya di awalkan ke bulan Julai. Bagus lah.. cepat mula, cepat habis, cepat sihat

Jadi, pada awal Julai, saya mulakan radioterapi saya. akan berakhir pada pertengahan Ogos jika tiada sebarang masalah. Mudah2an semuanya ok saja.

Saya tinggal di rumah mertua sepanjang proses radioterapi. Suami pula akan tinggal di rumah ibu saya sepanjang tempoh tersebut supaya ada yang dapat bantu dari segi pengurusan anak sekolah. Keluarga mertua memang terbaik! Ia adalah rezeki yang di dambakan setiap wanita. Ibu mertua saya sporting dan memahami. Saudara mara belah suami juga sangat supportive. Ipar, biras dan anak-anak saudara memang sedia membantu dan menceriakan hari-hari saya sentiasa.

Saya tidak pernah rasa terasing di situ, dari hari pertama perkahwinan lagi  Syukur pada Allah yang menemukan saya dengan orang-orang yang sangat baik. Semua di keliling saya sangat baik dan willing untuk membantu saya dari dulu hingga sekarang. Alhamdulillah..

Bagi persediaan radioterapi, saya di suntik pada lapisan teratas kulit, dengan dakwat di 4 point. Dakwat ini kekal selama 2 tahun. Tubuh saya di conteng dengan marker berwarna warni sepanjang proses radioterapi. Bila contengan agak pudar akibat peluh atau mandi, besoknya mereka akan lukis semula. Ini bagi memastikan kawasan yang sama sahaja akan di buat radioterapi dan tidak tersalah walaupun juru radio yang berbeza yang mengendalikannya.

Pada hari pertama radioterapi, saya diberi penerangan ringkas perjalanan radioterapi saya. 18 sesi radioterapi + 5 sesi booster. total 23 sesi. Prosesnya bermula 8am, daftar, tunggu giliran, masuk bilik, tukar pakaian, dalam 10 minit proses radioterapi dan boleh balik. itu rutin yang saya lalui, ahad – khamis selama 5 minggu. Setiap kali rawatan, saya perlu bayar rm12. Murah dah tu, untuk guna fasiliti yang bermacam, kan? hihi

#cancerfighter

14

Anak-anak saudara saya datang ke rumah mertua, setiap hari. Cuma, kalau hujung minggu, waktu lazimnya kami balik kampung, tidak bertemu dengan mereka. Sepanjang saya chemo, kebanyakan masa juga saya bertudung di rumah kerana ada ipar. Tapi, pada waktu radioterapi, banyak masa saya di rumah mertua, tanpa ipar. Tahu reaksi anak saudara saya pada saat melihat saya tanpa tudung pada waktu lepas chemo?

Yang 4 tahun terbeliak mata dan terdiam. Yang 3 tahun terkaku depan saya padahal dia tengah berlari2 keliling ruang tamu masa tu. Sejurus kemudian, keduanya menerpa saya. Kenapa wak ita botak? Rasa ingin tahu mereka sangat tinggi. Saya senyum2 saja sambil peluk mereka.

Wak ita sakit, sebab tu wak ita kena tinggal kat sini. Wak ita kena pergi hospital setiap hari. Mereka duduk di pangkuan saya sekejap saja sebelum keduanya berlarian ke dapur dan buat announcement kepada atok dan embah mereka. Hihi.. comel betul. Tengahari tu, bila kakak mereka balik sekolah, cepat2 si tengah berbisik kepada kakak sulung. Saya agak, dia beritahu kakak dia yang wak ita, botak!

Reaksi kanak2 ini sangat menghiburkan. Anak2 saya yang lelaki merasakan saya comel, botak licin macam shaolin yang nakal. Anak2 perempuan pula, lebih matang. Memberi sokongan moral dalam pelbagai cara. Saya tahu, di sebalik segala reaksi positif dari ahli keluarga, pastinya suami saya yang mainkan peranan besar. Dia yang jelaskan kepada anak2 tentang keadaan saya, hinggakan anak2 behave sahaja sepanjang saya dalam rawatan.

Proses radioterapi ni simple. Pesakit baring di atas katil khas, nantinya mesin akan di set kan rapat pada pesakit lebih kurang 2 kaki dan tunggu lampu padam dalam sela masa lebih kurang 5 minit. Untuk saya, ada 2 tempat. Jadi, lepas tempat pertama, adjust sikit, buat tempat kedua pula, lagi 5 minit. Tak ada rasa sakit langsung. Kesan merah terbakar seperti yang di beritahu doc pada awal sesi pun tiada. Cuma saya rasa sangat panas dan sangat haus. Saya boleh habis air 5 liter sehari!

Masa sesi penerangan sebelum mulakan radioterapi, nurse ada tanya pada saya jika saya mahu kakitangan perempuan sahaja yang uruskan saya. Saya pun bertanya, boleh request, ya puan? Ya, boleh request tapi tetap la bergantung pada keadaan semasa. Cuma, kalau ada staff wanita, kami akan dulu kan untuk puan, jawab nurse.

Allahu akbar! Ini rezeki yang sangat saya harapkan sepanjang saya berurusan di hospital. Saya selalu berdoa agar di beri doktor wanita sahaja yang merawat saya. Biar kakitangan wanita sahaja yang uruskan aurat saya. Allahuu… kali ini, saya tak minta pada orang pun. Saya cuma berkeluh kesah pada Allah.. bimbangkan aurat saya. Dan, Allah mendengarnya.

Setiap kali sampai giliran saya, juru radio akan berkata, ‘gegirl,.. gegirl..’. Maka, segala staff lelaki akan segera keluar dari bilik tersebut. Suasana waktu itu, saya bayangkan bagai di pintu syurga. Saya di beri laluan hormat oleh staff lelaki.. dan staff wanita pula layan saya dengan sangat sopan dan lembut. Begitu la rutin sepanjang radioterapi. Moga di rezekikan dengan syurga sebenar di akhirat nanti.. aminnn…

Ada dua perkara lagi yang saya nak kongsikan sepanjang radioterapi ni.. rezeki parking. Di HSI, umumnya, semua orang tahu betapa sukar untuk dapat parking. Saya sering mendengar keluhan dari pesakit lain sepanjang menunggu giliran radioterapi, berkenaan parking. Mereka sanggup sampai awal, se awal 7am untuk dapatkan ruang parking yang dekat. Saya pula, tak komen apa.. sebab, rutin saya keluar rumah 8.30 atau 9am, dan tiba di HSI 20 minit kemudian dan boleh kata, tak pernah dapat parking yang jauh.

Amalan saya, se awal bangun pagi, saya dah minta pada Allah, beri saya parking yang dekat dengan tangga. Saya doa berkali2. Saya guna teknik NLP. saya bayangkan di mana saya dapat parking kereta saya pada hari itu. Dan, Alhamdulillah, saya memang dapat. Sepanjang perjalanan ke hospital, saya baca matsurat atau zikir, sambil doa di permudahkan urusan parking dan radioterapi untuk hari itu.

Ada satu hari yang saya lupa untuk doa. Ya,.. bila kita dah biasa dapat, kita lupa untuk meminta. Dan, itu lah yang jadi pada saya pada hari tersebut. 2 kali saya pusing parkir dekat dan jauh, semuanya penuh. Astagfirullah.. saya lupa nak doa mintak parking pada hari itu. Cepat2 saya istighfar dan doa. Saya mohon, Allah beri saya parking yang dekat dengan tangga masuk.

Saya buka apps Quran. Saya pilih surah random dan baca sehingga habis, lebih kurang 20 ayat. Habis sahaja tilawah, saya masuk gear drive dan, nah! parking kosong di depan saya! dan, ia nya masih lagi di area, depan tangga! Allahuuu… baiknya Allah dengan saya. Hinggakan hal sekecil parking pun Allah tolong selesaikan. Cuma saya saja yang selalu menjadi hambaNya yang lalai.. Astagfirullah…

#cancerfighter

15

Satu lagi kisah menarik waktu radioterapi adalah asrama bagi pesakit. Saya tidak duduk di asrama memandangkan rumah mertua dekat dengan HSI. Tapi, setiap hari saya akan berbula dengan rakan-rakan yang mendapatkan rawatan yang berasal dari luar JB. Mereka di tempatkan di asrama di Hospital Permai, Kempas.

Bayaran di kenakan RM7/hari (kalau tak silap saya dengar). Bilik berdua, ada aircond, tandas di setiap bilik, ada ruang rehat, dapur dan ruang solat yang berkongsi dengan bilik-bilik lain. Makanan disediakan 3 kali sehari dan mereka di benarkan memasak. Masing2 cerita padal asrama dengan ceria. Saya pun tumpang seronok membayangkan kemeriahan mereka di situ. Siap mereka ajak saya join sekali. hehe.. tak pe la kak.. dok rumah mertua lagi best. hihi..

Selepas habis sesi ke 18, saya di tanda lagi untuk buat booster. Booster kali ini, mesinnya berada sangat rapat dengan badan. dalam 2 inci sahaja jaraknya. Masih juga menggunakan mesin yang sama. Dan masih juga tiada rasa apa2. Tapi, bila buat booster ni, baru lah kulit saya terbakar. hitam jadinya

Tak sabar nak habiskan booster dan balik semula ke Parit Raja. Walaupun mertua layan sangat baik, rumah sendiri juga paling best! haha.

#cancerfighter

16

Kesan booster radioterapi hilang dalam tempoh 2 minggu. Kulit yang terbakar tu akan mula mengering dan menggelupas. saya sapu minyak zaiton sikit pada kulit tu dan Alhamdulillah.. dia menggelupas cantik je. Yang saya terkejut sikit, kesan radioterapi ni bukan di bahagian depan sahaja. Tembus hingga ke belakang, nampak bentuk 4 segi terbakar tu. cuma kulit belakang tak terbakar. nampak macam lebam sahaja.

Habis radioterapi saya balik semula ke Parit Raja. Sambut Hari Raya Aidiladha. Masak-masak, makan-makan.. bestnya rasa bila dah complete cycle. Saya mula kan rawatan hormon pula untuk 5 tahun. Pil ni kena makan setiap hari. Jadi, saya pilih makan pada waktu malam supaya saya tak perlu skip pada waktu puasa.

Appointment saya yang seterusnya di sambung di Pakar 2. Bukan lagi bahagian oncology. Pakar 2 ni adalah bahagian pembedahan. Jadi, kali ni, saya akan di diagnos bagi kes ‘something wrong’ yang saya rasa sejak 2 tahun yang lepas.

Saya di beri tarikh untuk scan, ambil sample dan mamogram. Mamogram ni specific untuk cek ketulan di payudara. Ultrasound scanning juga di buat bagi confirmkan semula keputusan mamogram. Mamogram di hospital kerajaan cuma di buat bagi pesakit berumur 40 tahun ke atas.

Kalau di swasta mungkin boleh buat lebih awal. Tapi, kadar ketepatan keputusan mamogram bergantung kepada individu. Payudara yang masih padat tisunya, sukar memberikan keputusan yang tepat. Sebab itu, ia lebih tepat bagi wanita berumur 40 tahun keatas. Ni doc yang beritahu saya tau. hehe

Sample tisu di thyroid saya di jadualkan ambil pada 3 November. Tapi, tiba-tiba Johor cuti pula.. sebab menang bola! haha.. jadi, ambil sampel di tangguhkan ke minggu berikutnya.

Sewaktu berjumpa dengan doc, pelbagai soalan berkaitan dengan thyroid di ajukan kepada saya. Dan respon saya adalah negetif. saya tidak rasa berdebar2, tiada rasa panas yang menyukarkan saya untuk tidur, tiada bengkak yang ketara di leher, tiada itu, tiada ini.

Jadi doc hampir menyatakan yang thyroid saya ok. Tapi saya insist untuk doc cek betul2 sebab, bermula oktober 2019, saya sudah mula sakit hingga ke belakang telinga. Rasa yang sama seperti masa cancer payudara tempohari. Rasa saraf saya sudah terhimpit. Sebab tu sakit tersebut berterusan.. sentiasa sakit.

Doc buat ultrasound keatas leher saya. Beberap kali dan doc yang berlainan cuba yakinkan saya.. kalau scan tak nampak apa2, mereka tak akan ambil sampel. Rasanya dah 5 orang doc cuba yakinkan saya yang saya tak ada masalah thyroid. Ya, saya pun yakin thyroid saya normal. Tapi saya sakit! There must be something wrong somewhere… huhu

Tiba masa ultrasound, doc yang memeriksa terkejut. sebab ada ketulan di thyroid saya. Doc pakar di panggil untuk mengesahkan. Jadi, sample pun di ambil. Cara pengambilan sample kali ini ialah dengan kaedah suntikan, ambil cecair. Sambil scan, sambil sampel di ambil. Keputusan akan keluar pada 20 November. Berdebar jugak rasanya..

#cancerfighter

17

Tarikh 20 November menjadi tarikh yang mendebarkan bagi saya. Tarikh untuk tahu keputusan thyroid dan mamogram.

Doc yang merawat saya, Dr Asma. Dia doc pakar yang kiranya ketua kepada doc2 bedah di HSNI. Kalau doc asma ni cakap apa, tak ada doc lain yang membantah. itu yang dapat saya perhatikan dari mula kes cancer saya dahulu. Oh ya, Doc Asma ni juga yang insist saya untuk terus ambil sample ketulan di payudara dahulu. Kiranya, Doc Asma ni dah aware dengan kes saya dari awal, sebelum cancer di kesan lagi.

Penerangan doc kali ni menyatakan, result saya ada perkataan athelia. Doc kata, perkataan ni boleh bawa maksud cancer, boleh juga tidak. Jadi, doc tanya jika saya nak operate sahaja untuk buang sebahagian thyroid. Saya ok saja. Bedah lebih baik, walaupun saya rasa thyroid saya ok.

Tapi, mungkin masa bedah doc akan jumpa letulan yang menghimpit saraf tu. doc asma pun setuju dengan pendapat saya,.. mungkin ada ketulan yang menghimpit saraf dan itu yang menyebabkan saya rasa sakit berterusan.

Result mamogram menunjukkan tiada sebarang ketulan. Alhamdulillah.. tapi ada sedikit bengkak pada saluran di bahagian pembedahan di dada. dan ada takungan cecair sedikit di bahagian ketiak. Jadi, saya kena observe sendiri kalau terasa something wrong disini. Buat masa ini, keadaan itu, doc kata tak bahaya.

Tarikh pembedahan saya di beri pada 1 Disember. 10 hari dari tarikh dapat keputusan sampel. Dalam tempih 10 hari, ada beberapa perkara saya perlu selesaikan. Saya perlu ke pakar 6 bagi memeriksa tekak. perlu ke pakar bius untuk ambil sample darah dan taklimat bius. Dan, perlu uruskan pembelian alat pembedahan berharga RM2.6k.

Pembelian alat tersebut perlukan kelulusan pejabat pendaftar UTHM atau, saya perlu bayar dan claim. Atau, jika tiada peruntukan UTHM, saya perlu dapatkan sokongan bahagian kebajikan hospital. Alhamdulillah.. walaupun agak kelam kabut, akhirnya saya dapat juga kelulusan dari UTHM. Selamat duit sekolah anak2. Kalau kena guna duit sendiri, memang duit simpanan untuk buka sekolah anak-anak la yang akan di gunakan.

Waktu jumpa pakar 6 untuk lihat tekak, doc sekali lagi meragui keputusan untuk buat pembedahan thyroid. Bila cek, tiada bengkak thyroid yang ketara. Oleh kerana sample di ambil sambil buat ultrasound, maka kadar tersalah ambil sampel tu sangat rendah.

Jadinya, doc akur dengan keputusan sampel. Tiub hitam yang halus di masukkan kedalam lubang hidung saya untuk melihat keadaan tekak. Perit.. mengalir jugak airmata saya yang berhati sado ni. Doc kata tekak saya ok, jadi boleh teruskan pembedahan. Alhamdulillah..

Jadi, pada 30 November, saya pun masuk wad. Puasa bermula 2am. Saya di jadualkan orang terakhir pembedahan pada 1 Disember. Berdebar2 kurasakan…

#cancerfighter

18

Tengahari 1 Disember 2019, doc beritahu yang pembedahan saya di tangguhkan ke 3 disember. Jadi, saya minta kebenaran untuk keluar. Doc benarkan saya discaj tapi saya kena masuk wad semula pada 2pm, 2 disember.

Dapat balik rumah sekejap pun dah lega sangat.. Settlekan apa yang tertangguh yang tak sempat settle sebelum masuk wad tempohari. Antaranya, belanja staff dobi al hijrah makan2 sempena birthday staff pada 2 disember dan hantar borang pencalunan pemeriksa luar bagi viva phd saya. iskh! Berdebar sungguh nak ke viva ni. thesis tak abes tulis lagi ni..

Jadi, 3 disember, seawal 7.30am saya sudah di sorong ke bilik pembedahan. Bius penuh. Yang saya risau effect bius ni adalah batuk selepas pembedahan. Saya doa sangat2 saya tak batuk lepas bedah nanti. Kalau idak tak tahu la macamana nak hadapi dengan tekak yang luka, dan batuk.

Pukul 9am, saya selesai di bedah. Dalam pukul 10am, saya sudah berada di wad semula. Kesan bius masih sangat terasa. Ini adalah pembedahan ke5 dalam hidup saya. Walaupun sudah banyak kali melalui pembedahan, tetap lah rasa risau dan takut.

Setiap pembedahan ada risiko sendiri. Untuk thyroid, antara risikonya, salur peti suara tercalar yang boleh merubah suara saya menjadi garau. Atau, pendarahan, yang memerlukan saya menandatangani surat kebenaran pemjndahan darah.. huhu.. seriau jugak nak bedah ni kan..

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Bila saya sedar, saya boleh bercakap seperti biasa. Tiada serak atau rasa sakit tekak. Sakit bedah tu, biasa la kan.. pasti la ada. Doc Asma jumpa saya di wad dan bercerita ringkas tentang pembedahan saya. Katanya, thyroid saya comel saja. Tak bengkak langsung. Tapi, memang ada ketulan keras di dalam thyroid saya.

Mereka sudah hantar ke makmal untuk memastikan ketulan tersebut cancer atau tidak. Tapi, walaupun ketulan itu keras, bersaiz lebih kurang 1cm, tapi dia tergolek2, tidak melekat pada mana-mana tisu. Jika ia bukan cancer, saya hanya perlu follow up mamogram setahun sekali. Jika ketulan itu cancer, saya kena buat pembedahan lagi sekali, untuk buang keseluruhan thyroid. Dan makan ubat thyroid se umur hidup.

Hari ini (4 Disember 2019), saya bangun tidur dengan lebih sihat. Tiada lagi sakit akibat saraf terhimpit. Saya juga boleh makan dan minum seperti biasa. Tidak batuk juga. Alhamdulillah.. segalanya berjalan dengan sangat lancar. Doakan ketulan dari pembedahan semalam, bukan cancer ye, kawan2..

Love,

*Alhamdulillah.. Pada Jan 2020, saya telah dapat pengesahan, ketulan dalam thyroid tersebut bukan cancer. Jadi, saya tinggal follow up untuk breast cancer, setiap 6 bulan.

– J (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *