Canggungkah Kami?

Assalamualaikum semua. Cerita aku agak panjang dan maaf sekiranya agak berterabur memandangkan aku bukanlah seorang penulis yang baik.

Beberapa tahun di universiti aku rasa cemburu dengan keluarga kawan-kawan aku. Betapa lembut cara mereka berbicara sesama keluarga. Betapa rapatnya mereka dalam keluarga.

Aku rapat dengan kawan-kawan aku jadi kawan aku selalu bawa aku jumpa keluarga dorang. Kawan aku si A. Keluarga dia sederhana ja. Tapi adik beradik sangat rapat. Boleh gurau senda. Masak sama-sama. Mesti sepakat. Kalau semua balik mesti dorang akan kumpul dan cerita dengan mak ayah dorang.

Kemudian, mak ayah dorang akan mengusik dan menyakat anaknya atau beri nasihat. Dengan adik beradik dia, dia boleh main kejar2, cuit2. Lain betul dengan keluarga aku. Keluarga aku macam orang luar. Kami adik beradik tak kongsi atau bercerita sesama kami. Makan pun asing-asing. Nak melawak antara satu sama lain memang jauh sekali.

Walaupun raya, kami tak sambut sangat. Semua buat hal sendiri waktu raya. Keluar bilik untuk makan saja. Kemas-kemas rumah sendiri-sendiri. Takda riuh rendah nak sambut raya. Sunyi dan sepi.

Selalunya aku dan mak aku ja yang kemas-kemas dan masak untuk raya. Itupun aku tak rasa semangat sebabnya walaupun esok raya semua dalam bilik masing. Ayah aku keluar beraya rumah kawan dia. Mak aku kat dapur. Aku? Termenung…

Walaupun memasing ada telefon canggih tapi keluarga kami tak pernah ada gambar keluarga. Memang tak pernah ada dari kecik sampaila umur aku dan 22 tahun ni. Raya bagi kami adalah seperti hari biasa. Kadang-kadang takda pun mengemas rumah. Baju raya kami hanya pakai baju tshirt berseluar track atau baju yang pakai tidur semalam. Itulah raya kami.

Kawan aku si B pula, dia selalu bawak aku pergi gathering dengan family dia. Ini pun aku cemburu. Semua abang, kakak, adik dia tanya macam mana study? Ada masalah apa-apa ke? Korang dah jalan mana? Bagi nasihat melawak sesama sendiri. Dorang sembang macam kawan dan aku tengok sebelum balik U dia peluk semua abang kakak dia.

Aku? Tak pernah aku rasa aku dengan adik beradik aku berpeluk. Tak pernah nasihat. Melawak. Ya, aku cemburu. Mungkin sebab tu jugak aku tak tahu bergaul dengan orang. Sebab tu aku seorang introvert. Sebab dari rumah sendiri keluarga aku tak banyak bersembang. Banyak buat hal sendiri. Mak ayah aku pun sibuk bekerja jadi kalau dorang balik pun dah penat.

Jadi, tak pernah wujud ‘family time’ dalam keluarga aku. Tak pernah kami semua berkumpul dalam satu masa. Masa aku kecik dulu ya. Tapi sejak aku masuk sekolah menengah we totally lost our communication. We like strangers.

Kawan aku si C pulak sebabkan adik dia belajar di politeknik dekat dengan kami jadi adik dia selalu datang. Setiap kali adik dia datang dia mesti macam “Ra, teman aku beli barang nak masak kat adik aku.” ” Ra, kita singgah beli tu beli ni sebab sian plak adik aku datang nanti.” “Adik, aku ada citer.” “Adik, jom nanti gi sini.” “Adik jom facetime ma.”

Aku? Tak pernah pun macam tu. Kalau aku tengok kakak dan abang aku, rasanya dorang lebih layankan adik kawan dorang macam tu dari kami adik beradik dorang. Dorang lebih ramah dan ambil berat tentang orang dari adik beradik dorang. Dorang lebih sanggup tolong orang lain dari tolong adik beradik dorang.

Sebab apa aku cakap macam tu? Sebab dulu masa aku kerja. Tempat kerja aku cuti. Kebetulan aku tak tengok fon jadi aku mintalah adik beradik aku ni salah sorang dari dorang datang ambil aku. Tapi, tetiba adik kawan dia suruh ambil dia jadi kakak aku pun pergi ambil dia. Aku terpaksalah balik jalan kaki.

Rumah aku dengan tempat kerja jauh lebih 10km. Kenapa aku tak tunggu sebab akak aku kata dia taknak ambil. Dia nak lepak situ. Dan mustahil aku nak tunggu situ sebab memang takda sesapa yang boleh ambil aku. Aku memang dah selalu balik jalan pun.

Mak ayah aku pulak berbeza dengan mak ayah orang lain. Jika ayah dikatakan orang yang kita jadikan panduan dalam mencari pasangan hidup lain pula ayah aku. Ayah aku sangat panas baran. Dia tak pernah tunjuk kasih sayang. Tapi, aku tahu ja dia sayang kami cuma dia tak reti nak tunjuk.

Sama seperti kami adik beradik yang canggung, tak reti bersembang, tak reti bergurau dan tak pernah peluk seumur hidup kami. Kalau masa kecik pernah peluk aku tak tahulah. Ini sepanjang apa yang aku ingat ja.

Berbalik kepada cerita ayah aku. Dia tak seperti ayah orang lain. Ketika ayah orang lain gembira anak dia dapat sambung belajar ayah aku tak. Ketika ayah orang lain berpusu-pusu tak sabar nak hantar anak mereka daftar universiti tapi tidak ayah aku. Masa aku daftar ayah aku tak nak hantar. Dia suruh daftar sendiri naik bas. Nasib baik mak aku upah kawan dia hantar kami.

Baru-baru ni adik aku sambung belajar di IKBN. Kali ini, ayah aku kena hantar sebab tak ada bas yang hantar sampai IKBN dan kawan mak aku tak boleh nak hantar. Mak aku cerita, ayah aku marah-marah sepanjang jalan. Segala macam perkataan tidak enak yang keluar dari mulut ayah aku. Sampai di IKBN, adik aku kena hantar barang ke dalam asrama. Mak aku cakap, adik dan mak aku lah yang terkial-kial mengangkat barang-barang berat. Ayah aku angkat baldi ja.

Dan masa masuk bilik tu, mak aku pun tolonglah mengemas masukkan barang adik aku dalam almari. Ayah aku pun marah depan semua mak ayah kawan sebilik adik aku “Cepatlah, terhegeh-hegeh mengemas. Orang nak balik ni.” Korang boleh bayang tak macam mana perasaan mak dan adik aku.

Tapi, kami ni bersyukur ja sebab ayah nak hantarkan. Lagipun ayah memang macam tu. Kasar tapi ada kebaikan dia. Mak aku? aku takda cerita nak diceritakan. Tapi satu ja, aku selalu tertanya mana mak dapat kesabaran untuk hadap semua masalah yang wujud dalam hidup dia. Dari kecik sampai besar, ujian mak terlalu banyak tapi mak tetap sabar.

Banyak perkara sebenarnya tapi aku tak pandai nak menulis bercerita tentang betapa canggungnya family aku. Aku sedih dan cemburu tengok kawan-kawan aku. Aku harap keluarga aku pun boleh mesra macam tu jugak. Apa yang aku cemburu sebenarnya komunikasi dalam keluarga kawan-kawan aku.

Betapa adik beradik dorang macam kawan rapat dan tempat kongsi rahsia. Betapa lembutnya mak ayah dorang bila bercakap dengan dorang. Betapa mereka dengan mak dan ayah sedara boleh akrab macam mak ayah sendiri.

Walaupun dorang jauh antara satu sama lain dorang boleh berwhatapps berfacetime sedangkan aku dengan adik beradik aku nak bersembang pun kami rasa pelik. Tak pernah dibuat dan buang tabiat. Orang cakap boleh ja aku mulakan dulu but it take two to tango.

– Azira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *