Cara Harungi Hidup Sebagai Pelajar Miskin

Assalamualaikum dan salam sejahtera

saya terpanggil untuk menulis diruangan ini setelah terbaca confession oleh adik Lee yang bertajuk ‘Tekanan’. Untuk pengetahuan pembaca, saya bukan pelajar (sekarang belajar di universiti) yang kaya dan saya hampir menangis membca confession adik Lee.

Sebagai seorang dari keluarga yang miskin, ibu saya tidak bekerja, hanya bersekolah rendah dan bapa saya hanya bersekolah sampai menengah sahaja,saya rasa terpanggil untuk berkongsi bagaimana saya cuba melepaskan diri saya sedikit daripada gelumang miskin. ayah saya pernah kutip pucuk paku liar ditepi jalan untuk buat makanan malam. Perkongsian ini tidak membuatkan pembaca menjadi kaya tetapi mempunyai idea bagaimana untuk mencari duit, sebenarnya Malaysia agak murah hati dalam menolong orang miskin. untuk pengetahuan, saya seorang perempuan, dan saya tidak mempunyai sebarang kenderaan.

sebelum saya kongsikan tips, saya ingin pembaca dan Lee, tanya kan kepada diri:
1)Apa perancangan pembaca selepas ini?belajar atau bekerja?tuliskan atas kertas.
2)jika ingin belajar, mahu ambil course apa?
3)jika mahu kerja, kerja yang macam mana?
4)apa bantuan kewangan yang tersedia dia negeri yang pembaca sedang tinggal sekarang?cari dalam internet dan listkan di atas kertas.

tips
1) Gunakan kecanggihan teknologi. Jika tiada smartphone, boleh pinjam komputer di sekolah terdekat untuk cari maklumat bantuan kewangan. di setiap negeri, ada tersedia bantuan2 kewangan untuk pelajar miskin. Yayasan, zakat- tetapi memerlukan sedikit usaha untuk turun naik pejabat sebab nak ambil atau hantar borang. tetapi sebenarnya sekarang boleh download borang dari internet dan post. pastikan call no telefon yang berkaitan jika tidak faham satu satu perkara. jika ada masalah kewangan untuk menguruskan hal ini, telefon no telefon y berkenaan dan , BAGITAHU, kita ada masalah kewangan

2)Jangan malu!kita tidak boleh malu untuk menerima! kita golongan miskin adalah golongan yang perlu diberi bantuan. bukan bantuan selamanya sehingga kita malas nak berusaha tetapi sehingga kita mampu berdiri di atas kaki sendiri dan boleh membantu orang lain pula. duit tersebut kita laburkan dalam membina kemahiran kita (samada guna duit itu untuk cari kerja atau untuk bantu proses masuk universiti)supaya inshaaAllah kita akan dapatkan pekerjaan yang baik. dan kena ingat kita adalah golongan yang mana ada banyak agensi ingin membantu. maka staff yang melayani kita ketika process meminta bantuan tidak berhak untuk merendah rendahkan kita tetapi mereka bekerja untuk agensi itu (saya ada kes pernah diherdik tetapi saya hanya diam sebab saya hanya pelajar kecil ketika itu). tetapi saya nak tekan kan kita mesti tidak merasa ego malah rendah diri kepada Allah sebab semua ini rezeki Allah yang bagi dan kita kena menyantuni setiap orang yang membantu kita tidak kira siapa dia.

3)Bekerja. cari duit. tidak kisah melalui cara apa pun asalkan halal. keberkatan penting. selagi saya ada masa terluang, saya bekerja part time mengikut kesesuaian umur. Semasa kecil ayah (kini sudah meninggal, sedekahkan al fatihah, terima kasih) tidak benarkan saya bekerja dikedai makan memandangkan saya perempuan dan bertubuh kecil. jadi apa yang saya buat, saya ambil kuih di kedai makan dan jual kepada cikgu dan kawan2 disekolah rendah, dan saya dapat upah daripada jualan. Disekolah menengah, saya tidak sempat bekerja tetapi saya mencari (melalui cikgu) sebarang bantuan kewangan untuk pelajar miskin. selepas sahaja spm, saya bekerja part time dikedai makan, kedai barang, dan dengan duit terkumpul saya buat kraftangan dirumah, yang mudah2 sahaja tengok internet dan jual kepada kenalan. sehingga kini, bila cuti semester, saya akan bekerja sambilan untuk duit tambahan. Boleh cari pekerjaan yang menyediakan asrama, maka tidak perlu fikir soal sewa rumah. Saya memohon ptptn sebab saya bukan pelajar cemerlang, tetapi alhamdulillah cukup untuk menampung perbelanjaan di universiti (juga memohon bantuan zakat). saya juga menyertai sebarang pertandingan yang hadiahnya berupa duit atau pekerjaan sambilan di festival universiti untuk mendapatkn duit.

4) belajar di pusat kemahiran vokasional. saya tidak pasti mengenai hal ini tetapi yang saya tahu pusat ini membina kemahiran dan terjamin pekerjaan. yuran samada ditanggung atau sangat sedikit. dan hostel disediakan. ini adalah antara pilihan saya jika saya tidak mampu ke universiti dulu. juga saya pernah terfikir untuk belajar memasak di hotel, yang mana tiada yuran dikenakan dan pekerjaan dijamin.

5)Berjimat. Jika dah ada duit JANGAN LUPA untuk menyimpan. Kena rancang duit yang ada untuk apa. mesti ada simpanan. Jika tidak mampu untuk menyimpan tak apa, gunakan duit itu sebagai modal untuk berniaga. tanya orang sekeliling boleh berniaga apa untuk level pelajar. jika malu brtanya depan-depan, boleh buat akaun palsu facebook dan join group berkaitan dan tiru perniagaan mereka. sebelum berniaga cari info dulu mengenai modal dan risiko. untuk permulaan jangan ikuti perniagaan yang risiko tinggi. macam saya jual kerepek kepada pelajar. bila bulan puasa, jangan malu untuk pergi makan di masjid, disamping makan free, kita membina kemahiran sosial dengan pergaulan sesama makcik dan pakcik, ringankan tulang tolong-tolong dan ringankan mulut bertanya mengenai pekerjaan mereka, mana tahu entah entah mereka perlukan bantuan. Dan jangan ikut perbelanjaan orang yang senang. Ingat!jangan segan untuk menolak jika mereka ajak makan dikedai makan yang mahal. kata sahaja, maaf nak jimat duit.

Setiap orang kesusahannya berbeza. Selain kesusahan material, bebanan emosi juga memainkan peranan. Kita kena kuat! Ingat, kita mungkin tiada duit tetapi kita ada badan yang sihat untuk berkerja dan akal yang baik untuk berfikir. Kita sedih tetapi bersabarlah, perlahan lahan jalani hidup, ramai yang suka jika kita rajin. Jangan ego. Jangan terlalu merendah diri. Biar malu sekarang, untuk kehidupan kita masa depan, tetapi sebenarnya jangan malu sebab kita tidak buat kerja haram. Hiraukan mereka yang mencela , sebenarnya mereka yang mencela itu hanya merugikan diri mereka, Allah ada tersedia dengan balasanNya. Jangan malu meminta tolong. Orang yang menolong ini mereka buat kerana Allah, sebab ganjaran Allah itu lebih besar daripada apa yang mereka mampu beri, jadi apabila ditolong senyum dan ucaplah terima kasih dan alhamdulillah. Moga suatu hari nanti kita mampu menghulurkan sesuatu kepada yang memerlukan (sebenarnya pertolongan itu bukan hanya berbentuk material). Bersabarlah. Bersabarlah. Moga Allah tunjuk jalan keluar

– -orang susah tidak selamanya susah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit