Cara Mendapatkan Anak Yang Soleh dan Solehah

Assalamu’alaikum kepada pembaca IIUM Confession, pada kali ini saya hendak kongsikan tentang beberapa perkara yang perlu diberi penekanan oleh ibu dan bapa dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Sebelum itu, saya akan berikan takrif tentang keluarga.

Apa itu keluarga? Keluarga ialah yang terdiri dari ibu dan ayah termasuk anak walaupun anak itu berstatus tunggal.

Baik, kita akan jelaskan beberapa tips bagi ibu dan ayah untuk mendapatkan anak yang Soleh dan Solehah.

1. Pendidikan

Pendidikan ini umum, boleh jadi ia merupakan agama atau hal akedemik namun yang paling utama sekali ialah agama.

Apabila kita memberi pendidikan kepada anak-anak bermula daripada awal atau sewaktu mereka masih kecil atau berumur remaja, maka anak-anak anak lebih terpengaruh dengan suasana positif dalam kehidupannya.

Sebagai contoh, kita mengajarkan anak kita solat fardhu lima waktu ketika ia berusia 7 tahun maka lama kelamaan dia akan mula rasa minat untuk solat dan berazam untuk berjemaah di masjid.

Oleh itu, pendidikan agama lah yang pertama sekali selepas akedemik dalam membentuk rohani dan jasmani anak-anak secara seimbang.

2. Mental

Anak-anak memerlukan kasih sayang, perhatian, pujukan dan apa sahaja yang membuatkan anak-anak kita bergembira.

Jika anak kita gagal dalam peperiksaan contohnya, maka ibu dan ayah perlu memberi kata-kata semangat agar ia berusaha dengan lebih gigih.

Tidak perlu membandingkan diri anak kita dengan anak orang lain kerana ini akan menjatuhkan prestasi dan semangat anak kita untuk meneruskan perjuangannya demi mencapai kejayaan. Kita perlu ingat bahawa ada kritikan yang membina dan ada yang tidak.

3. Pemakanan

Pemakanan adalah penting untuk tumbesaran anak-anak. Dari sudut agama pula, pemakanan yang halal dan bersih penting untuk kesihatan rohani dan pada penerimaan amal soleh yang dilakukan oleh mereka.

Sekiranya makanan yang kita berikan kepada anak-anak datang dari sumber pendapatan yang haram maka akan menyebabkan kualiti akhlak anak-anak terjejas.

Di samping tiga tips asas yang telah kita senaraikan dan jelaskan di atas, ada beberapa perkara lain yang perlu diambil kira oleh ibu dan ayah iaitu:

i. Masalah

Iaitu masalah kecil dan masalah besar. Jika berlaku masalah kecil seperti contoh anak-anak terlupa membasuh cawan dalam sinki, maka janganlah kita tengking atau meninggikan suara pada mereka. Hal ini akan memberi efek buruk terhadap mental anak-anak.

Kita perlu menyuruh sahaja mereka membasuh cawan yang ada dalam sinki tanpa perlu meninggikan suara. Lain pula dengan hal besar misalnya anak-anak kita terlibat dalam jenayah, tidak kira jenayah apa pun maka ibu bapa perlu tegas.

ii. Kehendak anak

Ibu dan ayah perlu melihat apakah anak-anak kita berkehendak terhadap sesuatu yang baik atau jahat. Jika anak-anak kita berkehendak terhadap perkara kebaikan maka kita tidak perlu larang,

Contohnya anak-anak ingin mengimarahkan masjid, ingin menyambung pelajaran di negeri yang jauh daripada perantauan, anak-anak ingin melepak dengan kawan-kawan yang baik, dan lain-lain lagi.

Jika kita halang, berkemungkinan anak-anak akan mempunyai kecenderungan ke arah kejahatan.

Bantuan kerajaan, biasiswa dan bantuan lain telah diberikan untuk keluarga yang kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah maka jangan jadikan bantuan tersebut sia-sia bagi anak-anak kita.

Sekiranya ibu dan ayah menghancurkan harapan anak-anak walaupun hati kita tidak rela, kita khuatir anak-anak akan membentak kedua orang tuanya.

iii. Sikap anak

Jika anak tiba-tiba “badmood” jangan terus marah kepada mereka. Akan tetapi dekati mereka dan cuba berkongsi pandangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Ibu dan ayah perlu “cerdik” dalam menghadapi sesuatu, bukan hanya tahu marah, menunjukkan emosi tidak puas hati terhadap tingkahlaku anak-anak dan sebagainya. Itu tidak dapat menyelesaikan masalah.

Dan kita risau jika anak-anak akan memilih untuk menamatkan riwayat hidup mereka, kerena tidak ada yang lebih dekat dalam hidup mereka selain keluarga untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan jiwa.

4. Kebebasan

Ini perkara yang tersangat penting dan besar. Jika kita mengongkong anak-anak tanpa memberikan sedikit ruang untuk mereka bebas di luar rumah,

Atau untuk melakukan hal-hal yang lain yang bersifat kebaikan, maka anak-anak akan menjadi tertekan dan akan menyebabkan sikap mereka mula berubah.

Kemungkinan mereka akan memilih menjadi anak derhaka daripada menjadi anak yang taat kerana beban yang mereka hadapi dalam mentaati perintah kedua orang tuanya.

Sesungguhnya, agama berada paling atas daripada segala sesuatu. Kita sebagai orang tua tidak wajarlah mengangkat diri agar semua anak-anak menuruti kata-kata kita dengan menggunakan dalil agama untuk menerakakan mereka.

Memang benar bahawa anak-anak yang derhaka kepada kedua orang tua akan diazab oleh Allah,

Tapi janganlah kita sendiri yang menyebabkan mereka terjerumus dalam perbuatan tersebut.

Sebagai ibu dan bapa kita juga perlu mendidik mereka sesuai dengan zaman mereka bukan menurut zaman kita,

Apa yang kita anggap sesuai dan terbaik maka berikan kepada anak-anak tetapi sebaiknya perlu merujuk kepada orang yang lebih alim kerena orang alim merujuk kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Sekian itu sahaja. Semoga bermanfaat dan menjadi panduan untuk ibu dan ayah di luar sana.

– Al-Munawwir (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *