Cari Jodoh Yang Solat 5 Waktu

Jika hendak mencari jodoh, jangan hanya mencari pasangan yang hebat pada ritual agamanya sahaja.

Sebagai contoh, hari ini betapa ramai yang menyangkakan bahwa jika hendak mencari jodoh, carilah yang solat berjemaah di masjid atau yang tidak tinggal solat 5 waktu.

Saya beritahu anda, kriteria itu tidak cukup untuk ada pada calon pasangan hidup yang baik dalam masa yang sama, saya tidak menafikan bahwa kriteria itu cukup bagus.

Kita harus belajar untuk membezakan apakah itu ritual (atau amalan) agama dan fikrah (pemahaman) tentang agama. Ia harus bergerak seiring.

Ketika hendak mencari jodoh, anda sendiri harus meletakkan standard yang agak tinggi (terutama bagi perempuan please take note of this!) dan jangan terlalu mudah menerima. Ini kerana calon itu, anda akan hidup bersamanya berpuluh tahun hingga mati.

Ada banyak ja kes isteri mendapat suami yang abusive, panas baran, sangat sukar untuk dikawal emosinya sehingga berlaku penderaan domestik yang memberi kesan mendalam dalam hidup isteri tersebut meskipun si suami itu solat 5 waktu.

Hari ini ada seorang sahabat kongsikan satu kisah kepada saya tentang seorang isteri yang dizalimi oleh suaminya.

Balik kampung raya seorang diri tanpa suami. Beli barang dapur seorang diri naik motor. Bila ditanya mana suami, suami di rumah sedang tidur. Sedangkan ada kereta.

Tetapi si isteri itu hanya diam dan akur kepada suami.

Sejak tunang lagi si suami itu sudah menunjukkan ciri-ciri yang tidak baik. Namun si isteri meneruskan untuk berkahwin dengan lelaki itu kerana beliau merasakan bahwa tidak ada lelaki lain yang hendak kahwin dengan beliau.

Sebenarnya banyak lagi kes penderaan domestik (emosi, psikologi, seksual, fizikal) yang berlaku di Malaysia, terutama terhadap golongan isteri kerana mereka dianggap lemah dan hanya perlu ikut arahan suami.

Sedangkan pernikahan itu adalah tentang saling berbagi cinta dan kasih sayang. Itu adalah nafkah yang penting selain nafkah material.

Kerana itu carilah calon pasangan yang jelas fahamannya tentang agama. Perhatikan cara dia memandang kehidupan ini bagaimana, tujuan dia hendak bernikah, cara dia memandang seorang isteri/suami itu bagaimana.

Uji dia.

Lihat bagaimana dia bersabar mengawal emosi ketika berhadapan dengan sesuatu isu.

Lihat bagaimana dia berkomunikasi dengan diri anda sebelum bernikah.

Lihat bagaimana skill-skill dia yang lain yang mungkin penting bagi anda untuk dinilaikan.

Lihat bagaimana dia memberikan pandangannya terhadap sesuatu perkara yang berlaku.

Lihat bagaimana dia memandang cinta. Apakah erti cinta pada dirinya?

Melihat kelebihannya, harus juga melihat kelemahannya.

Begitu juga mereka yang berada di dalam jamaah atau NGO Islam. Setinggi mana pun anda menjulang kerja dakwah dan tarbiyah, jangan pernah lupa bahwa anda akan selamanya menjadi manusia biasa seperti orang lain – lalu kelebihan dan kelemahan anda juga adalah bersifat manusiawi.

Kemahiran-kemahiran memasak, berkomunikasi, menghias rumah dan membeli barang dapur itu semua boleh dipupuk dan dipelajari. Tidak semestinya perlu ada siap semua, cuma bersedialah secukupnya dan sekadar yang perlu.

Kerana itu saya tekankan pentingnya komunikasi dan berjumpa dengan calon sebelum berkahwin. Berbincanglah sebaiknya, jujur dan berani mencipta keputusan yang diyakini. Tolonglah berkomunikasi. Jika salah faham timbul, cuba selesaikan sebaiknya.

Yang sudah bertunang pula, janganlah menggatal nak berhubung dengan lelaki/perempuan lain. Siapa yang ada bersama anda itu, tolong hargai dan jaga dengan sepenuh hati.

Sepanjang proses mencari dan berkenalan dengan calon, jangan pernah lupa untuk terus berdoa agar Tuhan memberikan yang terbaik. Pernikahan itu ibarat perjudian, saat kita mencipta keputusan adalah saat kita akan berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.

Satu perkara tentang mencari jodoh ini, jangan mencari yang sempurna kerana anda memang tidak akan berjumpa dengan yang sempurna. Lalu carilah yang sederhana, tetapi yang boleh meyakinkan anda bahwa hidup dengannya mampu membuat anda bahagia.

– Inche Faris

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *