Sempena kita semua tidak boleh merentas negeri untuk pulang ke kampung, bagi yang bekerja di tempat orang macam aku, dan adik beradik aku. Aku nak ajak bercerita tentang pinggan mangkuk ibu aku.
Aku tak boleh beraya di kampung, jadi aku bawak Raya ke rumah aku. Ibu dan ayah aku sekarang tinggal dengan aku. Mungkin untuk beberapa bulan, dengan keizinan suami.
Berkali kali aku minta maaf kerana membuatkan dia tinggal bersama mertua. Kerana ibu dan ayah sahaja yang berada di negeri asal kami, adik beradik ibu jauh, dan saudara mara ayah yang ada tidak rapat dengan kami adik beradik.
Adik beradik aku semua tinggal di negeri jauh jauh. Dulu kami pulang setiap hujung minggu tapi sejak PKP, masing masing merisaukan dua sosok pertengahan umur kesayangan kami ini.
Syukur la ibu dan ayah masih mahu tinggal dengan aku dan Alhamdulillah untuk suami yang baik.
Pagi tadi semasa sahur, aku lihat ayah memegang casserole di tangan kiri nya, dan pinggan di tangan kanan nya untuk dibawa ke sinki.
Aku biarkan sekadar melihat, aku sudah selesai membasuh pinggan yang lain, sedang melunas dendam air di depan Coway sebelum masuk Subuh.
Ayah mengalami angin ahmar beberapa bulan lepas. Dia hilang keupayaan nya berjalan, dan bercakap. Sungguhpun pada ketika itu hanya ibu sahaja yang berada di rumah, hanya ibu sendirian tanpa anak anak.
Hanya ibu yang menjaga, ibu yang mengangkat ayah dua kali ganda beratnya, hanya ibu yang mengumpul kekuatan daripada anak anak nya melalui telefon. Allah yang tahu perasaan ibu, dan memberikan kekuatan kepadanya.
Selepas keringnya simpanan ibu mengubati ayah, dengan kewujudan beberapa sosok tubuh cuba mengambil kesempatan di atas kesulitan ibu, akhirnya ayah berjalan semula.
Setiap langkah ditemani air mata. Betapa sakitnya betapa penatnya berjalan semula, tapi ayah tidak putus asa dengan semangat ibu, untuk kembali mengurus diri.
Setiap masa ibu mendengarkan ayah belajar bercakap semula. Ayah sentiasa membaca ayat ayat lazim yang diingati nya, daripada cakap nya tidak difahami dan mulut nya senget, sehingga lah perkataan nya jelas. Satu satu ibu ajarkan.
Sungguhpun ayah masih duduk di kerusi roda ketika itu, ibu masih setia menjadi makmum nya, semuanya untuk membina keyakinan diri ayah semula. Secara halus menyatakan dia masih perlu menghadapi hari yang mendatang bersama isterinya.
Angin ahmar, hanya yang melalui nya mengetahui nya. Sungguhpun terlihat seperti sudah sihat sepenuhnya, ayah masih merasakan lemah di bahagian kiri badan, banyak bahagian badan yang kebas, berat sebelah badan nya, terasa seperti menyeret badan nya.
Tapi angin ahmar lebih membunuh emosi. Lebih mudah kembali kan fungsi badan, daripada mengembalikan personaliti dan keyakinan. Ayah nyaris ditelan depresi. Tapi ibu masih setia di sisi.
Untung kami ayah bukan seorang pemaki. Sungguhpun merasakan keyakinan diri nya terkubur, ayah masih bertutur lembut, menghargai ibu.
Ayah tak mampu menyimpan memori kesakitan dan kedukaan nya disebabkan angin ahmar, dia tidak ingat proses penyembuhan nya. Tapi ibu merekodkan dan menyimpan memori itu di dalam telefon pintar nya untuk Ayah lihat bahawa dia telah berjaya bangkit semula.
Ketika di awal penyembuhan nya, ayah pernah jatuhkan cawan kaca ibu berderai pecah hanya kerana tangan kiri itu, masih lemah. Ayah kecewa, tapi ibu, masih di situ membina keyakinan diri Ayah.
“Abang okay? Ada luka mana mana? Jangan gerak nanti saya bersihkan kaca.”
Ayah juga semakin tidak boleh melihat jelas diakibatkan oleh angin ahmar. “Alhamdulillah masih boleh melihat wajah cucu”, kata ibu.
Peristiwa pagi ini kembali mengingatkan aku bagaimana layanan ibu kepada kami ketika masih kecil. Tidak, ayah tidak memecahkan casserole itu, ayah semakin kuat dan cermat.
Tapi kami la yang kerap kali tanpa sengaja memecahkan pinggan mangkuk, casserole dan pasu bunga ibu.
Tanpa sengaja, kadang kala niat hanya mahu tolong ibu ambil casserole, tapi terlepas, lalu berderai. Kerap kali ibu akan lebih merisaukan tubuh badan kami berbanding casserole, setakat umur ku belum lagi ibu pukul atau marah kami kerana pecahkan barang ibu tanpa sengaja.
Jadi seandainya kami tanpa sengaja telah pecahkan pasu ibu, kerana bermain di dalam rumah, ibu masih bertanya kan kami, dan hanya menyuruh kami membersihkan nya.
Tanpa ketakutan. Ibu membina kepercayaan dan keyakinan kami untuk mengaku salah, mengajar kami erti tanggungjawab walaupun ibu tak banyak casserole.
Sehingga hari ni, apabila anak buah, atau anak kami pecahkan pinggan mangkuk di rumah ku tanpa sengaja, tindak balas ku sama seperti ibu. Anak kecil tindakan nya tanpa sengaja, dan keupayaannya tidak sama.
Daripada ibu, aku belajar semua nya. Baru baru ini, aku belajar erti kasih sayang seorang isteri. Ibu yang sabar dan tak berkira, sungguhpun dibenci mertua, dikeji ipar, ibu masih sabar di sisi ayah.
Mungkin kerana ayah pun sama, sentiasa memilih ibunya, melindungi maruah isterinya, dan tidak memaksa isteri menerima keluarganya.
Sebenarnya isteri adalah cerminan suami, namun di saat kesusahan, isteri yang hebat tetap setia di sisi walaupun simpanan nya habis, kekuatan tinggalan sisa. Selamat Hari Ibu.
– MH (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit