Cegah Sebelum Parah

Assalamualaikum… Perkenalkan, aku Mika dan suamiku, Syah. Sudah berkahwin selama 20 tahun dan masih belum dikurniakan zuriat.

Apa yang ingin aku kongsikan di sini adalah secebis dari kisah hidup kami dalam alam berumahtangga dan semoga kisah ini menjadi iktibar dan teladan bagi semua.

Untuk pengetahuan, aku bekerja makan gaji manakala Syah pula bekerja sendiri. Kehidupan kami adalah dalam kategori selesa dan senang.

Kami bukan pasangan sempurna, namun kami usaha untuk melengkapi satu sama lain dengan menonjolkan kelebihan dan menutupi kekurangan masing – masing dengan menerima satu sama lain seadanya.

Tipulah jika aku katakan rumahtangga kami sentiasa aman bahagia. Ibarat laut, ada pasang surutnya. Jika ada sesuatu ketidakpuasan hati, aku lebih suka diam, bertenang dan fikir positif.

Aku bukan jenis yang suka memperbesar – besar akan sesuatu isu dengan menyerang suamiku membabi buta. Lebih – lebih lagi isu remeh.

Sebab itu, rumahtangga kami masih bertahan sehingga kini.

Sudah bernikah hampir 20 tahun, tentu sahaja kami dihujani dengan isu anak. Namun, syukur kedua – dua belah keluarga tidak mempermasalahkan hal ini. Cuma masyarakat luar yang seakan tidak senang dengan kehidupan kami..

Ye lah tiada anak, tapi hidup senang. Tentu sahaja pertanyaan menyakitkan hati akan sering terbit dari mulut longkang mereka.

Kata orang, life begin at 40. Pada mulanya, aku tidak ambil peduli akan pepatah ini apabila melihat sikap Syah yang sama dari awal perkahwinan sehingga usianya menginjak 44 tahun.

Kami meneruskan kehidupan kami seperti biasa. Namun, lama – kelamaan aku mula merasakan ada sedikit perubahan dalam diri Syah.

Banyak yang berubah… aku hidup dengannya, bukan sehari tetapi 20 tahun. Jadi setiap perubahannya, aku perasan. Namun, aku abaikan kerana setiap kali aku bertanya, ada sahaja jawapannya.

Aku pernah memberi amaran kepada Syah, jika dia didapati curang, aku tidak teragak – agak untuk bercerai dengannya kerana prinsip aku, aku tidak suka berkongsi suami dengan orang lain.

Hari demi hari, aku merasakan Syah semakin berubah. Kami selalu bertengkar walaupun hal remeh, terutama apabila kami naik kereta bersama.

Kami seakan panas. Tapi seperti biasa, aku buat tak endah kerana aku tidak suka memanjangkan perkara. Kalau keluar ke mana – mana pun hanya sekejap sahaja. Aku perasan, jiwanya tiada denganku. Sekali lagi, apabila ditanya, dia menafikan segalanya.

Allah nak tunjuk. Itulah yang berlaku pada tahun lepas. Semasa aku sedang mengemas rumah, aku terjumpa gambarnya bersama wanita lain di dalam almari.

Gambar dia merangkul bahu wanita tersebut dan bertulis ‘Happy Birthday Tunangku’. Gambar itu berbalut sapu tangan.

Aku menelefon Syah, dan aku minta dia balik segera. Oh…Syah keluar sebentar, alasannya nak jumpa kawan yang aku kenal.

Aku flashback, paperbag berisi gambar dan hadiah ini berada dalam almari dari bulan 3 hadiah harijadi Syah dan aku jumpa pada bulan 6.

Jika aku kemas almari ini awal awal, aku tentu dapat membanteras masalah ini segera.. bodohnya aku. Aku menangis, kenapa perkara ini terjadi juga? Patutlah selama ini hatiku rasa tak sedap. Ingat, gerakhati seorang isteri jangan diabai! Ini kesilapan aku.

Apabila Syah pulang ke rumah, dia mengatakan bahawa dia terkena buatan betina itu. Dia tidak boleh lari dari betina itu. Sepanjang masa, dia hanya nampak betina itu.

Syah menangis, kali pertama aku lihat dia menangis. Katanya, dia sudah memutuskan hubungan dengan betina itu.

Aku pandang Syah dan renung dia. Patutlah selama ini aku tengok rupa Syah macam orang bodoh, seperti lembu dicucuk hidung. Wajahnya tak jernih. Adakalanya, wajahnya menjadi hitam. Bukan aku sahaja yang perasan tetapi ramai lagi yang perasan.

Aku tarik nafas dan bertenang. Aku cuba dengar penjelasan dia lagi… katanya dia bersyukur, akhirnya aku tahu. Selama ini dia cuba bagitahu aku, tapi lidahnya kelu. Dia selalu nampak betina itu, memandang tajam kepadanya. Betina itu ada di mana – mana.

Aku tak tahu nak cakap apa. Antara percaya dengan tidak. Syah orang yang menjaga solat, sebab itu aku berbelah bahagi untuk percaya sama ada dia terkena buatan orang atau tidak.

Tapi dalam masa yang sama aku, aku macam percaya sebab banyak hal aneh berlaku pada aku dan rumah aku.

Hati aku remuk dan hancur bila Syah mengakui hubungan mereka sudah jauh. Orang yang aku percaya, orang yang aku hormat dan orang yang aku cinta iaitu suamiku sanggup melakukan perkara terkutuk dibelakangku.

Mereka melakukan zina dan yang bodohnya mereka melakukan di dalam semak. Aku terkedu. Bodohnya laki aku ni.

Dia bukan miskin, kenapa tidak melakukan zina di hotel? Kenapa dia nak buat zina di dalam semak? Tak takutkah dia orang nampak dan rakam perbuatan terkutuk itu dan siarkan di internet? Bodohnya mereka….

Para pembaca, jika anda nampak ada pasangan mencurigakan masuk semak, sediakan handphone dan rakamlah perbuatan terkutuk mereka. Jika mereka pasangan berkahwin, mereka akan melakukan $%^ di rumah!

Aku flashback lagi, patutlah bila bersama Syah, $%^& dia tak naik. Sudah lama hal ini berlaku. Aku fikirkan, dia sudah mati pucuk.

Rupanya, bukan. Tidur malamku juga pernah didatangi dengan ‘menatang’ yang hanya memandang marah kepadaku.

Selain itu rumah kami selalu diganggu dengan bunyi guli. Bilik tidur pula sentiasa didatangi lalat. Aku siap menyediakan ridsect, khas untuk spray pada lalat.

Apabila lalat tersebut mati, akan datang lalat lain pula. Mungkin ini lalat perisik. Perkara ini masih berlaku hingga sekarang!

Syah juga mula suka buat perkara yang aku tak suka. Dia jadi tak suka mandi, dan Syah tahu aku benci tidur dalam keadaan kotor dan busuk. Tapi itulah yang Syah buat.

Jadi, dia tidur dihujung katil timur dan aku dihujung katil barat. Syah juga suka tidur lewat dan bertiktok. Dia juga mula menjaga badan, dengan alasan perutnya semakin boroi. Bila difikirkan, semua yang dibuat itu bukan Syah yang aku kenal. Drastik sangat perubahannya.

Aku keliru dan banyak bermonolog dalam hati. Sedih, kecewa, hati hancur…. Selama ini, aku amat menjaga diri kerana aku adalah isteri orang. Hidup aku, pagi hingga petang bekerja. Pulang kerja, aku melakukan tugasan rumah.

Begitu juga waktu cuti, masa aku banyak dihabiskan di rumah. Aku tidak keluar berfoya – foya dengan rakan dan jika ingin ke mana – mana aku akan minta izin dari Syah. Sampai hati Syah buat aku begini. Syah sudah rosakkan kepercayaan aku kepadanya.

Syah ada bagitahu aku yang dia terkena buatan daripada betina itu. Betina itu ada saka dan dia adalah anak kepada bomoh di kampungnya.

Bagaimana Syah tau? Betina itu yang cerita sendiri kepada Syah. Selepas mendengar penjelasan Syah, aku terus menelefon ustaz dan minta ustaz datang ke rumah aku. Aku tak ambil mudah akan hal ini. Syah yang kata dirinya diguna – guna, biar dia tanggung kata – katanya itu.

Tak lupa juga, aku panggil ibu Syah untuk hadir bersama. Oh ya, sebelum itu aku sudah memaklumkan hal ini kepada ibu Syah. Ustaz merukyah aku dan Syah serta rumah kami. Dan yang peliknya, ustaz banyak mengubati aku dan bukannya Syah!

Aku ada bertanya kepada Syah berkenaan betina itu. Aku mahu bertemu dengannya. Syah tak bagi, dia kata dia takut dengan betina itu.

Betina itu mampu buat apa sahaja dengan ilmunya. Jadi aku menyiasat sendiri dengan mengambil gambar betina itu. Aku tunjukkan kepada ramai orang dan akhirnya aku tahu, rumahnya tidak jauh dari rumahku, hanya di kampung sebelah.

Betina itu berumur 50 tahun dan adalah janda anak 8. Pernah berkahwin sebanyak 5 kali dan perkahwinan yang terakhir dia juga menggunakan ilmu tak betul. Ini adalah maklumat daripada keluarga bekas suami betina itu.

Aku bertanya kepada ramai orang berkenaan betina itu dan dalam masa yang sama aku mengecohkan keadaan dengan menceritakan kepada semua orang bahawa betina jalang itu telah menganggu rumahtangga aku.

Aku minta mereka berhati – hati agar rumahtangga mereka pula tidak diganggu oleh betina itu. Aku selidik dan siasat siapa betina itu. Di mana dia tinggal. Apa kenderaan yang dipakai dan nombor plat.

Siapa sahabat – sahabatnya. Siapa anak – anaknya dan bersekolah di mana. Semua aku tahu. Tapi, aku bukan jenis yang menyerang. Aku simpan dan hanya menyerahkan kepada Yang Maha Kuasa untuk membalasnya.

Aku cakap kepada Syah, awak tak takut ke berhubungan badan dengan betina itu? Dah pernah berkahwin sebanyak 5 kali. Bekas suami pun penagih dadah. Dah main dengan ramai jantan, halal dan haram. Awak tak takut penyakit Aids? Siflis? Hepatitis?

Kalau saya terkena penyakit – penyakit ini, awaklah puncanya. Ingat tu. Aku bagi amaran kepada Syah. Aku ada meminta cerai daripada Syah, tapi Syah tak mahu melepaskan aku. Katanya, dia akan bunuh diri jika berpisah dari aku.

Aku hanya ber’heh’ sahaja.. hati aku hancur. Namun, Kami meneruskan kehidupan seperti biasa, Cuma sudah kurang mesra. Aku banyak menyibukkan diri dengan kerja dan pulang lewat. Setiap ada peluang, aku akan memerli Syah. Biar dia hancur.

Sebenarnya, panjang lagi cerita aku ini. Banyak yang aku skip. Syah yang sudah berhenti merokok 14 tahun yang lepas, kembali merokok. Semakin tegar, sehari 1 kotak rokok.

Dia kata, dia pernah cuba ambil dadah semasa kami berpisah seketika ekoran daripada kes ini. Ketika itu, aku hantar Syah ke rumah ibunya selama 3 hari. Aku pula ke rumah adikku. Aku minta dia bermuhasabah diri di sana.

Gigi palsunya pun aku buang ke dalam lubang tandas, dan berus giginya aku gunakan untuk mencuci tandas. Biar dia nampak hodoh tanpa gigi.

Syah tiada harta, rumah, kereta, tanah.. semuanya atas namaku. Motor sahaja atas namanya, itupun aku yang hadiahkan. Syah kemudiannya, membeli kereta atas namanya sendiri.

Mungkin dia baru tersedar yang dia tiada apa – apa. Baju – baju yang dia pakai semasa dating dengan betina itu, aku buang, dan tinggallah beberapa helai sahaja pakaiannya.

Aku tidak lagi membeli pakaian baru untuknya. Biarlah Syah nampak tak terurus, dan biar aku pula yang nampak menawan.

Selama ini, aku yang menjaga imej Syah agar dia nampak segak di hadapan khalayak. Sekarang tidak lagi. Aku dah malas untuk peduli soal imej dan pakaiannya.

Aku pernah bagi kata dua kepada Syah, jika dia tidak mahu bercerai maka dia kena terima dengan diri aku yang sekarang. Aku menjadi seorang pengongkong, suka memerli dia, kedekut, dan kuat curiga. Semua sikap itu aku tuju hanya untuk Syah!

Sekarang, aku selalu ke tempat kerja Syah untuk memantau Syah. Apabila terjumpa rakan – rakan Syah, aku akan melemparkan senyum manis dan beramah mesra dengan mereka. Biar Syah sakit hati.

Aku masih disihir. Sihir pemisah barangkali. Jika aku berehat di dalam bilik, akan ada seekor lalat datang memantau. Jadi, aku dan Syah mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu. Aku juga sudah berubat moden dan tradisional, hasilnya tetap sama.

Sudah beberapa bulan aku tidak ‘bersama’ dengan Syah kerana di bawah aku berbau busuk seperti bau bangkai. Darah tidak berhenti keluar dan aku penat memakai pad.

Aku sudah membuat pemeriksaan doktor di hospital kerajaan dan hasilnya, bawah aku normal. Aku juga sudah berubat dengan ramai ustaz, sembuh seketika. Dua tiga hari kemudian, darah keluar lagi. Lengan aku pula sentiasa sakit seperti dicucuk dengan jarum.

Sekarang, aku hanya berusaha sendiri dengan mengamalkan yasin 7 mubin, doa – doa, solat, mengaji dan lain – lain. Doakan aku wahai pembaca sekalian semoga aku lekas sembuh.

Pengajaran di sini, aku mohon kepada para pembaca jika anda perasan pasangan anda berubah, cepat – cepatlah bertindak. Cegah Sebelum Parah.

Terima kasih kerana membaca…

– Mika (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *