Sehari lagi melangkah ke tahun baru. Alhamdulillah masih diberi kesempatan meneruskan hidup.
Namun aku masih merenung pelbagai azam tertunggak yang masih tak terlunas. Apatah lagi aku bagai berserah agar rezeki terus mengalir masuk seperti mengalirnya duit keluar. Kerana tahun depan tak menjanjikan apa lagi kerana aku baru tamatkan kerja sambilan.
Ada beberapa perkara yang aku angankan, semoga ada jalan dan dipermudahkan urusan. Tapi tanpa usaha dan keberanian yang jitu aku bagaikan terkandas ke hadapan pabila merasa cemburu menilai orang lain yang semakin naik tangga gaji saban tahun.
Tak perlu pergi jauh membandingkan ekonomi antara bangsa. Antara adik beradik pun dah ketara. Aku ni memilih duduk bersama ibu bapa, bagaikan masih bersandar kepada mereka.
Bila dah tiada kerja sekadar bergantung simpanan yang ada, aku masih lagi mahu menikmati sesuatu yang menarik untuk dibeli seperti makanan.
Bila aku pergi ke kedai yang ada tambahan cukai dan asyik mengambil gambar makanan atau minuman misalnya, aku teragak untuk berkongsi di akaun media sosialku kerana memikirkan apa orang rasa…
Pernah ditegur sindir oleh ahli keluarga, katanya semua benda nak beli. Aku sentap hanya kerana beli barang online harga rahmah dianggap aku boros.
Ya aku sedar aku ni bagaikan menumpang harta ibu bapa, sebab duduk bersama mereka. Jika anak raja tiadalah istilah tidak menjana pendapatan barangkali.
Jadi andai aku teruja mengambil gambar makanan yang agak istimewa aku tak sanggup berkongsi di media sosial atas dua sebab.
Pertama akan disindir ‘membazir’ beli yang mahal oleh mereka yang tahu kedudukan aku, kedua kerana aku tak sampai hati jika ada orang lain yang rasa cemburu melihat apa yang aku nikmati bagi yang kurang berkemampuan.
Bukanlah makanan yang super mahal kelas hotel. Makanan yang terbaik mak aku masak atau aku masak simple pun aku tak tunjuk… Sebab antara perkara yang dituntut dalam Islam selain zakat, sedekah adalah memberi makan orang miskin.
Bahkan jika jiran terbau masakan pun digalakkan memberi rasa. Apatah lagi buat live sedang makan enak, aku rasa macam ada sesuatu yang kurang sesuai di situ.
Perasaan aku tentang hal ibadah juga begitu, andai ada yang beribadah baik solat atau sedekah tak perlu dipamerkan jika mahu jaga keikhlasan, namun zaman ni dilihat perkara itu sudah dinormalisasikan atas tiket hak masing-masing dan meraih pujian.
Tak dinafikan ada juga perkongsian sikap membantu seperti fardhu kifayah dilihat mampu memberi keinsafan.. Tapi perkara ini bukan sekadar dinilai dari niat sahaja tetapi pelaksanaan adakah ia diredhai.
Contoh lain, mereka yang menunaikan umrah.. Merakam sesi solat, menangis, berebut mencium hajar aswad.. aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena.
Sebenarnya aku cemburu dengan mereka yang direzekikan ke sana namun adakala aku terfikir mereka ni sebenarnya buat apa, menunjukkah. Berada di bilik hotel tertinggi memandang Kaabah dan lautan manusia yang kecil di bawah, inikah nilai taqwa.
Dalam aku yang sering mudah cemburu ini sebenarnya aku tak pukul rata. Ada perkara yang sama tapi situasi berbeza, malah kritikan netizen bukan semuanya benar dan baik. Selagi perkara yang dikongsi itu ada manfaat dan tidak memberi mudarat, ia harus.
Seperti harusnya orang kaya memiliki rumah dan kereta yang besar. Mereka mampu. Namun bila memiliki koleksi kereta mewah dengan nombor pendaftaran harga melampau ia tidak jatuh harus tapi membazir juga walaupun mampu. Membazir itu saudara syaitan.
Antara lain apa yang dikongsi harus direnungkan tentang cemburu orang… Perlu ke mencanang mendapat semua A dalam setiap peperiksaan atau tunjuk duit penuh bertimbun… Perlu ke tunjuk setiap sudut rumah kelamin dari bilik sampai bilik air..
Tidak terkesankah melihat kisah masyarakat yang masih ada tidur di kaki lima atau kereta. Aku bukan mengata orang lain tapi diriku juga agar ukur baju di badan sendiri. Sedar kekurangan diri tanpa menilai buruk orang.
Maksudnya sibukkan betul diri sendiri dan ambil inspirasi orang berjaya untuk kebaikan masa depan. Masa depan meliputi dunia akhirat… Kebaikan yang ada saham di sana bukan kemasyuran yang melalaikan kerana dunia ini tempat ujian.
Diberi hidup juga rezeki kerana sedih dengan berita kematian tiba-tiba, dapat menghirup nafas tanpa perlu sokongan bantuan pernafasan juga satu rezeki. Rezeki dipilih mendapat hidayah untuk membezakan betul salah baik buruk juga rezeki.
Setiap inci rezeki jika dihitung tak mampu disyukuri sepenuhnya. Semoga dengan bersyukur ditambah rezeki, bertaubat diberi rezeki berkat..
Tahun baru yang juga jatuh satu Rejab ni, semoga amal ibadahku bertambah dan diredhai.. Semoga aku sedia untuk bertemu Tuhanku dalam keadaan hati bersih dan harta bersih.
Dunia ni tak mampu nak dikejar, aku memilih untuk kejar akhirat, kerana hidup ni pasti mati akhirat kekal abadi.
– Purnama (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit