Cemerlang Terbuang

Sebelum itu saya berharap maklumat saya tidak di dedahkan untuk menjaga hati mana-mana pihak yang mungkin terkait sekali. Terima kasih juga kerana menyiarkan luahan hati saya.

Assalamualaikum….warga pencinta IIUMC. Namaku Bunga (nama samaran). Bunga memang suka membaca luahan-luahan di sini kerana kadang-kadang jalan cerita terasa dekat dengan diri Bunga. Jadi Bunga ingin kongsikan sesuatu dengan pembaca.

Terpulanglah sebagai pengajaran atau ada yang ingin memberi pendapat yang membina untuk membantu Bunga. Selebihnya Bunga hanya ingin kongsikan sesuatu yang sehingga hari ini masih tertanam jauh di lubuk hati Bunga.

Part I:

Okey, Bunga sebenar seorang guru, isteri dan ibu kepada 2 puteri dan 1 putera. Suami pun seorang guru. Anak sulung, alhamdulillah sekarang belajar di sebuah SMKA yang agak popular dari segi akademik di negeri Bunga, setelah mendapat keputusan cemerlang semasa UPSR.

Dua lagi masih di sekolah rendah dan pencapaian akademik juga amat membanggakan walaupun anak agak ketagih gadget. Namun Bunga dan suami memang akan kawal juga. Nampak bahagiakan kehidupan Bunga?

Tapi bukan itu yang ingin Bunga kongsikan di sini. Ianya ada kaitan dengan diri Bunga sendiri. Lebih senang Bunga katakan Bunga ini ada semacam 2 personaliti. Bukan ‘Split Personality’…erm mungkin juga entahlah.

Personaliti Bunga bergantung dengan di mana Bunga berada. Kalau dengan family, Bunga adalah isteri dan ibu yang garang dan pemarah. Tapi tidak sampai datang tangan dengan anak-anak.

Cuma apa yang keluar dari mulut Bunga kadang-kadang terasa amat kejam bila marah. Bunga tahu, anak-anak memang terasa hati. Cuma dengan suami sekarang kurang sedikit, mungkin faktor usia dan perasan hormat.

Berbanding bersama rakan sekerja dan saudara mara lain, Bunga adalah seorang yang pendiam, pemalu yang amat sangat dan sering rasa takut bila bercakap dengan orang lain.

Kadang kala ada juga cuba selamba tapi memang suara bergetar bila bercakap dan semua yang ingin di beritahu hilang begitu sahaja. Apatah lagi jika diminta membentangkan sesuatu. (Tapi semasa mengajar okey pula, cuma mula-mula posting dulu ada masalah juga)

Walaupun sekarang gred memang agak ok, tapi Bunga memang tidak ada jawatan apa-apa di sekolah. Cuma jawatan biasa. Bunga tak kisah malah lebih suka, sebab tidak perlu bercakap banyak memandangkan perasaan takut bila berhadapan dengan orang lain.

Bukan Bunga tak pernah fikir sisi lain Bunga yang agak pelik. Cuma Bunga terfikir adakah trauma kehidupan masa kecil dan remaja yang memang agak sedih dan sadis.

Bunga berasal daripada keluarga yang agak miskin dengan ibu yang tak pernah sekolah kerana dipaksa menjaga dan mencari duit untuk adik-adiknya bersekolah.

Ibu memang tidak pandai membaca… Namun semua adik-adiknya adalah orang yang berjaya dan hidup mewah. Ibu berkahwin dengan ayah yang hanya darjah 6.

Tapi ayah mengajar orang mengaji tanpa minta upah. Ayah juga kerja tidak menentu. Semasa kami kecil, memang tinggal dengan datuk nenek sebelah ibu. Namun Bunga tak berapa tahu sebab apa kami sekeluarga berpindah dan menumpang pondok tempat menyalai kelapa.

Pondok itupun kepunyaan majikan tempat ayah cari rezeki. Banyak kali juga kami pindah randah kerana ayah ambil upah dan bekerja dengan orang berbeza. Cuma yang Bunga ingat masa tu amat seronok.

Semuanya berubah bila Bunga mula bersekolah. Alhamdulillah… masa itu, ayah dah mampu membina rumah kecil atas tanah yang ayah beli dengan abangnya sendiri. Masa itu, Bunga macam sudah pandai berfikir sedikit.

Bunga merasakan bermulalah kesengsaraan bila sudah mengerti perasaan diejek dan dihina. Semua kerana title ‘KEMISKINAN’. Bukannya orang lain tapi daripada keluarga sebelah ibu.

Setiap kali adik beradik ibu yang tinggal di bandar datang ke kampung, Bunga dan ibu dipaksa ke rumah nenek untuk menjadi hamba.

Ya menjadi hamba. Kenapa Bunga kata begitu, air untuk cuci tangan cucu-cucu kesayangan nenekpun mesti bunga sediakan.

Ibu apatah lagi, memasak, mengemas dan cuci baju. Masa makan ibu dengan Bunga akan terperap di dapur. Anak dan cucu kesayangan nenek tidak boleh di ganggu makan.

Ok, baru Bunga teringat, masa tinggal bersama keluarga nenek dahulu kami adik beradik pernah tidak diberi makan oleh nenek semasa ibu dan ayah ke kebun yang agak jauh dari rumah.

Bunga tidak berapa ingat sangat sebab masih kecil. Tapi Bunga teringat abang pernah cerita masa kami dah agak remaja.

Walau bagaimanapun Bunga agak diberi kecerdasan yang agak baik. Bunga juga aktif dalam sukan.

Alhamdulillah. Kehidupan yang serba kekurangan berbanding anak sekolah yang lain, Bunga di kira top 3 dalam kelas. Kalau diikutkan selalunya yang terbaik, namun hanya sekali dapat nombor 1 dalam kelas.

Selepas itu, jangan harap walaupun keputusan peperiksaan lebih bagus. Jeng.. jeng.. jeng… Cerita alam sekolah rendah yang membantu membina peribadi negatif Bunga (mungkin)…

Bunga akan ceritakan masa part II nanti. Okey harap pembaca sudi tunggu cerita selanjutnya dari Bunga. Banyak yang ingin Bunga luahkan yang lebih sadis.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *