Cerewet, Penggeli, atau Pembersih?

Assalamualaikum & selamat sejahtera. Saya seorang perempuan berumur lingkungan 25-30 tahun. Sudah berumah tangga selama 3 tahun & memiliki seorang anak berumur 2 tahun.

Saya tidak tahu saya ini seorang yang penggeli atau pembersih melampau. Saya akan ceritakan keadaan saya seperti di bawah;

1. Sebelum berkahwin, saya tinggal dalam keadaan rumah yang sangat bersih & teratur. Didikan ibu ayah yang seiring dengan agama, mengutamakan kebersihan baik diri sendiri atau tempat tinggal. Jika pulang ke kampung atuk nenek, rumah atuk nenek juga bersih.

Saya dibesarkan dalam keadaan yang bersih & tenang. Saya tiada masalah untuk membersihkan muntah atau najis (kdg2 adik tercirit di seluar).

2. 3 tahun sambung belajar, tinggal di rumah sewa yang dihuni seramai 8 orang termasuk saya. Saya seorang yang sangat sibuk dan rumah sewa hanya menjadi tempat mandi & tidur saya.

Nasib saya kurang baik apabila mendapat kawan serumah yang kurang menjaga kebersihan. Tandas berkarat, pad ditinggal dalam tandas, selepas memasak tidak lap dapur & tidak cuci sinki, sampah dibiarkan berulat dalam tong sampah.

Saya balik rumah hendak rehat, tidak jadi rehat bila lihat keadaan rumah umpama ‘tongkang pecah’.

Saya berjalan pun terjengket-jengket sebab rasa macam geli sangat. Saya sanggup membersihkan segala kekotoran di rumah itu sebelum saya tidur. Jika saya tidak bersihkan, saya tidak boleh tidur.

Saya seolah-olah terbayang ada syaitan menenggek di tong sampah & ulat sampah merayap masuk ke dalam bilik saya.

Bila semua dah bersih, baru saya boleh tidur dengan tenang. Akhirnya saya ambil keputusan untuk keluar dari rumah itu sebab tidak tahan dengan keadaan yang sangat kotor & saya penat mental dan fizikal.

3. Usai belajar, saya bekerja & mendirikan rumah tangga. Seawal berkawan, saya beritahu bakal suami bahawa saya tidak suka tempat yang kotor.

Sebelum nikah suami juga beritahu yang dia bukan la seorang permbersih hingga tandas berkilat ‘ching ching’.

Jadi, saya sudah siap mental & fizikal untuk itu. Selepas bernikah, saya ambil cuti seminggu untuk bersihkan rumah suami (rumah ketika dia bujang). Suami kata dia hanya bersihkan tempat yang dia guna sahaja iaitu bilik dia tidur & tandas dalam bilik itu.

Rumah suami tidaklah kotor teruk seperti di rumah sewa saya dulu. 5 hari saya dapat selesaikan tugas pembersihan. Tidak terkira berapa keping plastik hitam saya guna untuk buang ‘khazanah’ dalam rumah suami saya.

Alhamdulillah kini suami saya yang terlebih pembersih dari saya. Tandas pun dia dapat sental hingga berkilat ‘ching ching’.

4. Setelah setahun bernikah, barulah saya percaya pada suami untuk bersihkan rumah. Jika tidak, apa-apa yang suami buat, saya akan buat semula. Contohnya mencuci pinggan, saya akan cuci pinggan yang suami saya dah cuci.

Itu suami, belum lagi jika ada saudara-mara yang datang ziarah kami.

Demi menjaga hati saudara mara yang datang ke rumah saya, saya betul-betul melarang keras untuk mereka mencuci pinggan di dapur rumah saya. Saya takut mereka terasa hati jika nampak saya cuci semula pinggan yang mereka dah cuci.

5. Selepas 3 bulan bersalin, saya berhenti kerja untuk menjaga anak. Segala kerja rumah & urusan anak, saya ambil alih dari suami. Suami hanya bantu mana yang saya tidak sempat buat.

Selain alasan untuk menjaga anak, saya juga kurang percaya kepada pengasuh untuk membersihkan anak saya.

Ketika bekerja, saya kerap berfikir tentang anak saya. Adakah punggung anak saya disabun ketika dibersihkan jika dia buang air besar?

Adakah botol susu anak saya dicuci dengan bersih? Benda-benda yang sangat remeh bermain difikiran saya.

6. Setelah PKP tamat & dibenarkan rentas negeri, saya & suami pergi ke beberapa tempat pelancongan. Sebelum bertolak, sayalah orang paling ‘excited’ sebab sudah lama tidak berjalan.

Apabila tiba di bilik hotel, tiba-tiba mood saya jadi tidak stabil. Saya jadi nak termuntah & geli geleman seluruh badan. Saya rasa macam katil & bilik tu tidak bersih, lagi-lagi bila saya terjumpa rambut di atas bantal.

Saya juga tidak boleh gosok gigi menggunakan air paip di dalam tandas, saya perlu berkumur menggunakan air mineral baru saya tidak termuntah.

Ketika mandi pun saya banyak pejam mata dan bayangkan yang saya berada di tandas rumah. Suami saya terpaksa alas tempat tidur saya dengan kain pelikat dia supaya saya boleh tidur.

Demikianlah sedikit kisah saya. Saya tidak tahu bahawa saya ni seorang yang cerewet, penggeli atau pembersih.

Perangai saya ni makin menjadi-jadi apabila sudah lama tidak keluar dari rumah akibat PKP. Tempat yang paling saya percaya bersih adalah rumah saya sendiri.

Saya tiada masalah bawa anak saya mandi di pantai atau air terjun (semulajadi), tetapi bermasalah jika suami ajak saya mandi di kolam renang (buatan manusia).

Kadang-kadang diri sendiri pun letih nak hadap perangai sendiri macam ini, apatah lagi suami saya. Kasihan dia.

Boleh bantu saya macam mana nak hilangkan ‘overthinking’ dalam diri saya.

– Nora (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *