Cerita Anak Penagih D4d4h

Nama aku Nani. Usia aku 25 tahun dan baru habis belajar di sebuah Universiti Awam. Aku bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah swasta.

Disebabkan sekarang masih lagi pdpr, maka aku banyak habiskan masa di rumah bersama ibu dan ayah.

Apa yang aku nak ceritakan mungkin tidak menarik tapi ingin aku highlightkan tentang indahnya ‘sabar’.

Rata-rata luahan aku baca semuanya mengenai wanita yang teraniaya dengan suami. Tidak terkecuali Ibuku.

Ibu aku seorang wanita yang sangat sabar. Dua puluh tahun Ibu setia dan sabar dengan suami yang merupakan seorang penagih d4d4h.

Masa aku umur lapan tahun, aku dapat tahu ayah penagih d4d4h. Bukan daripada mulut Ayah atau Ibu. Tetapi aku diejek di sekolah sebagai anak penagih d4d4h.

Aku menyorok di tandas kerana tidak tahan ejekan. Aku menangis. Balik dari sekolah, aku tanya Ibu dan Ibu mengiyakan.

Walaupun masih kecil pada waktu itu, hatiku hancur luluh. Tambahan, di sekolah cikgu-cikgu seringkali sematkan dalam minda kami penagih d4d4h adalah sampah masyarakat.

Jadi aku berpikir, aku ni anak sampah masyarakat lah. Sejak hari itu, Aku jadi sangat pendiam.

Semua kawan mula menjauh. Ibu dan ayah mereka pun seperti jijik melihat aku. Aku mula membawa diri. Semuanya bersendirian hinggakan aku rasa nak berhenti sekolah.

Budak usia lapan tahun mana tahu apa-apa. Yang mereka tahu, pegi sekolah seronok sebab ramai kawan sebaliknya aku pergi sekolah hanya menempah hinaan, ejekan dan cacian.

Hidup aku menjadi sangat sukar pada waktu tu. Setahun terasa begitu lama.

Pada usia aku sembilan tahun, kami berpindah ke kawasan lain. Pindah sebab dihalau tuan rumah. Dihalau tanpa belas ehsan sebab ketahuan ketua keluarga kami penagih d4d4h.

Dihalau keluar pada waktu malam serta-merta. Aku tak tahu macam mana cerita ayah seorang penagih d4d4h tersebar luas. Yang aku tahu satu kampung membenci kami.

Ayah punya salah, habis anak-beranak dibenci termasuk dengan aku dibenci dipandang hina. Hebat kan kesan d4d4h ni.

Aku ingat dengan perpindahan tersebut, hidup aku dan keluarga bertambah baik malah makin teruk. Ayah menghisap d4d4h depan aku dan adik².

Ibu selalu marah ayah sebab bawak balik benda haram kat rumah. Buat benda haram kat rumah depan anak. Jadi hal ni mencetuskan pergaduhan.

Hari-hari bergaduh. Ayah buat tak tahu dan terus menghisap dan bila dah high dia diam dan tidur. Ibu hanya mampu menangis. Masa tu Ibu sedang sarat pregnant anak yang keempat.

Aku masih ingat, di rumah tu ada sebuah bilik gelap cahaya merah samar-samar sebab ayah manggantungkan selimut sebagai langsir.

Dalam bilik itulah ayah membuat projeknya. Tibalah suatu hari ayah mula membawa kawan untuk sama-sama memulakan projek di bilik tu. Masa ni Ibu dah letih agaknya. Dia halau semuanya keluar. Lepas tu dia menangis.

Ayah bising² di luar rumah. Hal yang Ibu sorokkan dari jiran-jiran sudah terbongkar.

Kami berpelukan anak-beranak lepas Ayah pergi bersama-sama kawannya. Pada waktu tu aku terlalu bencikan ayah. Aku suruh Ibu bercerai dengan ayah. Aku nekad.

Usia sembilan tahun aku dah menginginkan ayah ibuku bercerai. Sebab aku tak tahan hari hari Ibu ayah bergaduh, dan aku jadi bahan ejekan di sekolah.

Ayah lama menghilangkan diri. Entah ke mana pergi. Ibu mula keluar mencari kerja. Ibu dapat kerja di sebuah kilang dalam keadaan sarat mengandung. Ibu gagah jua.

Tapi Ibu kerja dalam tiga bulan macam tu, dan Ibu berhenti kerana melahirkan adik.

Kami hidup macam biasa, makan nasi gaul minyak dan garam. Tak beramah mesra dengan jiran, sebab pandangan jiran semuanya negatif. Lebih baik kami berkurung.

Tanggal 31 Ogos 2005. Hari merdeka merupakan salah satu hari sambutan yang menyeronokkan bagi semua rakyat Malaysia. Tapi kami melalui hari tersebut dengan ketakutan.

Malam tu, kami duduk dalam gelap gelita. Tiada satu lampu terpasang seolah tiada orang di rumah.

Kami tidur dalam keadaan rapat berpelukan satu sama lain. Rupenya Ibu dah tahu bahawa malam ni ceti atau along akan datang rumah.

Ceti tu berbangsa Cina datang malam merdeka menggegarkan pagar. Aku ingat lagi aku intai di tingkap, ada dua orang Ceti sorang gemok dan sorang kurus. Mereka ugut bahawa akan pecah masuk jika tak keluar rumah.

Setelah mencuba beberapa kali membuat bising sehingga jiran-jiran semua keluar tengok, dua orang cina tu pun berlalu pergi.

Setelah hari itu, kebencianku terhadap ayah semakin menebal. Ayah sanggup biarkan kami dalam keadaan bahaya.

Baru aku tahu, ayah tak balik berbulan bukan sebab Ibu halau tapi sebab lari dari Ceti. Ayah pinjam Ceti RM500 je. Tapi gaya Ceti tu gegar pagar macam 5ribu. Mungkin memang kerjanya.

Aku memasuki tahun 6, ayah masih sama. Oh ye, kami sudah berpindah ke kawasan baru. Kalini bukan dihalau tuan rumah tetapi lari dari Ceti. Tetap pindah pada waktu malam.

Sampai ke harini, aku rasa pindah pada waktu malam ni adalah hal yang tak normal. Mungkin pengalaman sendiri.

Perpindahan yang lebih menjurus kepada sebuah pelarian.

Kami menjalani hidup macam biasa. Hari-hari melihat Ibu ayah bertengkar. Tidur dengan nyamuk yang terlalu banyak sebab rumah dikelilingi hutan. Masih makan nasi putih gaul dengan garam dan minyak lauk.

Kadang makan nasi bubur sebab beras abis. Kami selalu berdoa supaya Allah turunkan makanan sedap-sedap dari langit.

Bila terlalu lapar, kami akan lihat majalah makanan atau buku teks sekolah yang ada gambar makanan dan mula mencubit gambar makanan lalu disuapkan ke mulut.

Anehnya, terasa kenyang walaupun cuma lakonan sehingga tertidur.

Begitulah kami menjalani hidup sehari-hari. Aku pun dah lali dikenali sebagai anak penagih d4d4h. Nak kawan ke taknak kawan ke terpulang. Aku hanya buat hal sendiri.

Ayah masuk penjara pada november tahun 2007 selama 6 bulan. Dan waktu tu aku mula memasuki 12 tahun pada 2008.

Ibu menguruskan kami sepenuhnya. Ibu bekerja petik sayur di sebuah kebun cina. Hidup kami sedikit bahagia dengan ketiadaan ayah.

Walaupun perit tapi aku tenang sebab Ibu tak perlu menangis dan bertengkar dengan Ayah. Tapi aku tahu Ibu rindukan ayah. Isteri mana yang tidak sayangkan suaminya.

Seburuk-buruk suaminya, Ibu tetap pertahankan Ayah. Tiap kali aku meluahkan kebencian ku terhadap ayah, Ibu selalu menasihatiku.

Dia ayahku. Buruk baik dia tetap ayah. Darahnya mengalir dalam tubuhku. Betapa sukarnya untuk seorang kanak-kanak menelan semua kepahitan tersebut.

Aku selalu menghasut Ibu bercerai dengan ayah. Tapi Ibu selalu cakap, Ayah boleh berubah. Walhal dah berapa tahun kami tetap hidup dalam kesengsaraan. Aku hampir putus asa.

Satu hari di sekolah, guru kelas aku dapat tahu ayah masuk penjara tapi dia seolah tak percaya. Aku cuba menyembunyikan sebab cikgu tu tanya secara terbuka di dalam kelas.

Ramai yang memandang tajam aku sewaktu cikgu tanya “Nani, ayah awak masuk penjara ke atas sebab hisap d4d4h?”.

Aku rasa darahku terhenti. Tetapi aku cuba kawal keadaan dengan menafikan soalan cikgu.

Aku tak nak dihina lagi oleh kawan kawan. Biarlah mereka cuma tahu aku anak penagih tapi bukan anak penagih dan banduan. Hal itu akan menjadikan aku seorang insan yang hina lagi dina.

Langit tak selalu cerah meskipun langitku memang sedia mendung. Akhirnya, aku ketahuan bahawa ayahku berada di penjara,

Tetapi bukan dikalangan guru tetapi di kalangan rakan sekolah apabila salah seorang budak sekolah aku yang merupakan jiran aku membuat pengumuman di padang sekolah sewaktu hari sukan.

Pandai dia pilih waktu yang sememangnya semua murid tengah berkumpul beramai-ramai. “Dia ni lah, anak banduan. Ayah dia kat penjara sebab hisap d4d4h”. Sambil menunjuk aku.

Aku dengan muka takde perasaan berlalu pergi walhal dalam hati ni berteriak ingin lenyap dari bumi. Terima kasih sangat kerana sudah membuka aibku.

Sewaktu ayah keluar penjara, ayah dah gemok dan nampak seperti manusia normal. Aku nampak senyuman di wajah Ibu.

Ibu sambut kepulangan ayah dengan bahagia dan Ibu termakan semua janji ayah. Ayah janji ayah berubah. Aku terpaksa akur pilihan Ibu. Aku cuba mengikis kebencian aku.

Aku belajar terima ayah seadanya dan melupakan kisah lalu. Kami berhijrah lebih jauh. Kali ini, perpindahan kami pada waktu siang.

Bagiku, mungkin permulaan yang baik. Aku cuba lupakan tentang niatku untuk memujuk Ibu bercerai. Ibu bahagia seharusnya aku juga bahagia. Ibu tetap sabar dan penuh pengharapan bahwa ayah akan berubah.

Namun, janji tinggal janji. Aku menjalani hidup yang sama cuma tempat berbeza. Pertengkaran Ibu dan Ayah dah sebati dalam diri aku.

Kadang aku marah dengan Ibu sebab tak nak bercerai dengan Ayah. Ibu selalu pesan, Ayah tu tetap Ayah sampai bila-bila. Dia akan berubah.

Jangan benci ayah sebab bukan salah dia. Allah sedang uji ayah dan uji kita. Sehingga kadangkala aku persoalkan kenapa Allah uji aku?

Aku jeles tengok kawan kawan yang bahagia. Aku tak layak ke. Sesungguhnya perjalanan hidup aku dari sekolah rendah hingga menengah takde yang indah.

Aku tingkatan tiga, ayah masuk lokap. Seminggu dan Ibu jamin ayah. Aku memang dah tawar hati. Aku derhaka kepada ayah kerana menafikan kewujudan ayah. Aku berperang emosi sendirian. Bukan senang untuk belajar menerima insan yang hanya memberi luka.

Sakit, perit aku telan, aku hadam semuanya. Aku dah muak dengan janji ayah. Aku dah letih dengan perkataan sabar. Aku dah tak larat mendengar perkataan peluang. Agaknya Allah takkan mendengar rintihan aku.

Tahun 2014 kami berpindah lagi. Aku dah habis sekolah dan menyambung stpm. Oh ye, pembiayaan sekolah kami semua guna biasiswa dan pendapatan Ibu.

Ayah kerja takde duit. Aku dah malas nk siasat ke mana duit kerja ayah. Kadangkala, duit biasiswa pun ayah minta walau cuma sepuluh ringgit dan kemudiam bergegas ke “port”.

Semakin dewasa, aku hanya mampu menitipkan doa je supaya ayah berubah satu hari nanti menjadi Ayah yang sihat daripada najis d4d4h. Aku ingin ayah seperti orang lain.

2017, Ibu sudah longlai. Ibu hubungi AADK selepas buat solat istikarah.

Ibu cerita, dalam istikarah tu Ibu minta kalau terbaik buat ayah untuk berada di pusat pemulihan, permudahkanlah ayah tertangkap, jika tidak Ibu akan memaafkan ayah dan memberi peluang yang entah ke berapa kali.

Pada satu petang, rumahku diserbu AADK. Macam serbuan polis dalam rancangan 999 (berdasarkan penceritaan Ibu). Pada waktu ini, aku sedang menjalani semester kedua di Universiti. Mereka membuat ujian air kencing ayah.

Disebabkan saringan air kencing negative d4d4h maka mereka tak boleh menahan Ayah tetapi mereka berpesan pada Ibu, sekiranya perlu Ibu boleh menghubungi mereka. Maka, jawapan istikarah Ibu terang lagi bersuluh.

Selepas serbuan, Ayah semakin berubah. Saban hari ayah menunjukkan sedikit ‘sikap dan peranan’ yang selayaknya seorang ayah.

Ayah mula mengikuti program KKM untuk berhenti menagih d4d4h dan mula mengambil ubat secara berdaftar dengan agensi KKM.

Ayah mula bertanggungjawab dan memberikan kasih sayang serta perhatian terhadap Ibu dan kami adik-beradik.

2021.. Alhamdulillah ayah telah sembuh 100% daripada najis d4d4h. Ayah mula melaksanakan perintah Allah.

Ayah sering menjadi imam sewaktu solat berjemaah. Ayah sudah mampu menjadi seperti orang normal. Akhirnya, Allah mendengar doaku. Allah mendengar rintihan Ibuku.

Berkat kesabaran Ibu, Allah hadirkan rasa bahagia yang tidak terucap ini. Ibu sangat hebat bahkan Ayah juga.

Kebencian aku terhadap ayah dahulu telah terhakis secara tidak sedar. Ternyata aku masih sayangkan ayah cuma keadaan yang menjadikan aku benci ayah.

Aku bersyukur sangat kerana Allah keluarkan kami daripada episod hitam tersebut. Aku tak nak kembali kepada zaman penderitaan dan kesengsaraan. Semoga bahagia yang Allah titipkan ini berkekalan sehingga akhir hayat.

Pesananku, bagi sesiapa yang sedang berjuang untuk hidup.. berbaliklah pada Allah. Jangan pernah mengalah atas ujiannya. Minta pada Allah.

Sesungguhnya Allah berkuasa membolak-balikkan hati manusia. Tiada yang mustahil. Allah itu ada, Maha melihat, Maha mendengar. In shaa allah, minta yang baik-baik, dapat yang baik-baik.

– Nani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *