Cerita Dari Bilik Psikiatri

Ini ialah dua ceritaku sebelum ini.

Cerita Dari Hospital Sakit Jiwa : https://iiumc.com/cerita-dari-hospital-sakit-jiwa/

Cerita Dari Hospital Sakit Jiwa II : https://iiumc.com/cerita-dari-hospital-sakit-jiwa-ii/

Terdahulu aku ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca dua coretanku sebelum ini dan memberikan kata-kata semangat yang tidak ternilai buatku.

Ia amat bermakna bagiku, terus terang aku merasa amat tersentuh dan teramat berterima kasih.

Izinkan aku memulakan cerita kali ini.

***********

“How have you been feeling?”, tanya doktor pakar psikiatri itu, Doktor Hazelnut, sambil membetulkan duduknya.

Senyap, tiada jawapan.

“Is there anything you want to tell me?”

Senyap lagi.

“Hari raya ada balik kampung? Ada pergi ke mana-mana?”

Masih juga senyap.

“How have you been feeling within this period of time?”

Senyap sebentar. Kemudian aku menjawab ringkas, “Sedih.”

Doktor pakar psikiatri itu mengangguk, kemudian bertanya lagi, “Anything else?”

“Nak bunuh orang,” jawabku lagi, jujur.

“Did something happen? Is there anybody in particular that you feel that way about?”

Aku menjawab, “You.”

Raut wajahnya berubah, seperti tersentak seketika, mungkin terkejut. Kemudian ia kembali tenang. Dia bertanya sebab-sebab aku ingin membunuhnya. Aku hanya mengangkat bahu.

Doktor itu berkata-kata lagi, namun kata-katanya tidak ku dengarkan. Aku memikirkan tentang tali yang sepatutnya ada dalam begku.

Aku membayangkan mencapai tali itu dari dalam beg dan menjerut lehernya. Tapi tali itu sudah lama ku keluarkan dari beg itu. Sekarang aku tiada tali.

Bila dia bercakap, pandanganku tepat ke mukanya. Matanya ku pandang dengan dalam, kemudian aku hanyut lagi. Sesekali pandanganku turun lagi ke lehernya, membayangkan lehernya dijerut oleh tali yang ku beli di Mr DIY itu.

Kemudian aku seperti baru tersedar apa yang bergantung di lehernya. Lanyard. Dengan elok menggantung kad ID staff miliknya. Tertulis perkataan “doctor” di sepanjang tali lanyard yang sudah kelihatan agak lusuh itu. Aku tersenyum.

Aku mula berkira-kira cara untuk menggunakan lanyard itu. Seberapa pantas aku boleh lakukannya? Seberapa pantas aku boleh bergerak ke belakang kerusinya dan menarik lanyard itu dari belakang?

Aku tersenyum membayangkan dia terkapai-kapai cuba memanggil staff di luar bilik. Terkapai-kapai cuba bernafas. Aku hampir ketawa membayangkan keadaan itu.

4 minggu sebelumnya, di awal bulan puasa, aku bertemunya seperti biasa. Di tempat dan bilik yang sama. Aku sudah hampir berputus asa pada kehidupan. Aku hanya ingin diberikan harapan. Aku ingin merasa seperti aku tidak bersendirian.

Tapi aku diberitahu olehnya tentang martabat sebuah kematian bunuh diri. Pesakitnya pernah mati bunuh diri.

Katanya walaupun ada sesal bagi wargakerja yang terlibat merawat pesakit itu, jauh di sudut hatinya ada suatu perasaan lega kerana pesakit itu mati dengan sebuah harga diri. Hak untuk mati tanpa perlu berterusan dalam kesengsaraan. Dignified death.

Katanya mereka telah cuba sedaya upaya untuk membantu pesakit itu. Mereka telah kehabisan ikhtiar. Keadaan sekeliling pesakit itu tidak membenarkan untuk kehidupan pesakit itu berubah. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk membolehkan pesakit itu pulih.

Perkara ini diberitahu kepadaku setelah aku menyatakan hasrat untuk terjun dari jambatan.

Sebelum itu, aku bertanya apakah pilihan yang ada untukku, atau adakah aku terpaksa terus hidup begini selama-lamanya. Dia tiada jawapannya.

Dia juga mengakui kes ku kompleks untuknya. Itu bukan kali pertama aku mendengar kata-kata serupa dari seorang doktor pakar psikiatri.

Sebelum ini, aku dibawah rawatan pakar psikiatri yang berbeza, Doktor Walnut. Doktor Walnut juga mengatakan dia tidak tahu apa lagi cara untuk membantuku. Dia memberitahu ingin merujuk ku kepada pakar psikiatri lain.

Katanya kepadaku, “It’s not you, it’s me.” Ayat klise seperti kami pasangan yang ingin berpisah.

Kami berpisah apabila dia ditukarkan ke hospital lain. Aku kemudiannya diletak di bawah rawatan Doktor Hazelnut yang lehernya ingin ku jerut itu. Yang menceritakan tentang pesakitnya yang bunuh diri.

Aku bertanya kenapa dia tidak menghalang pesakit itu dari membunuh diri? Jawabnya, keinginan pesakit itu untuk mati teramat kuat.

Aku merasakan seperti dia mahu aku juga terjun. Seperti dia telah berputus asa membantuku. Seperti aku tidak bersungguh-sungguh untuk mati. Penakut.

Aku meninggalkan bilik itu hari itu dengan merasakan aku adalah pengecut. Pengecut untuk hidup, pengecut juga untuk mati. Terperangkap di tengah-tengah.

2 minggu kemudian, aku tidak hadir temujanji dengan Doktor Hazelnut. Aku juga tidak hadir bertemu pakar pemakanan di hospital yang sama beberapa hari selepas itu.

Aku rasa seperti ditertawakan. Ku rasa seperti mereka menunggu untuk aku terjun. Bila si pengecut mahu terjun? Si pengecut tak terjun-terjun lagi? Aku rasa malu. Aku juga rasa kecewa.

Aku sedar tiada siapa peduli jika aku mati. Dunia akan terus berputar. Aku hanyalah bak debu yang berterbangan di jalan-jalan tidak berturap.

Pakar psikiatri itu tidak silap, keinginanku untuk membunuh diri datang dan pergi. Bila aku duduk di tepi jambatan, aku masih terfikirkan neraka. Neraka ialah satu-satunya penghalang daripada aku melakukannya. Selagi aku mampu berfikir dengan waras.

Kadangkala kewarasanku seperti menipis. Bila kewarasanku menipis, aku merancang mencerobohi bilik itu di waktu malam, mencuri fail kesihatanku dan membakar bangunan itu.

Curahkan minyak tanah dari celahan tingkap yang berlangsir, nyalakan api, dan tonton api itu marak. Mungkin aku akan ketawa terbahak-bahak melihat semuanya jadi abu.

Mungkin aku juga akan ketawa terbahak-bahak melihat Doktor Hazelnut terkulai terjerut dengan tali lanyard nya sendiri di tanganku.

Memikirkannya sahaja membuatkan aku geli hati.

Imaginasi begini bukan sesuatu yang ganjil bagiku. Semakin aku tidak stabil, semakin kerap imaginasi begini muncul di kepalaku.

Namun imaginasi tidak normal ini tidak tertuju kepada kesemua orang yang ku temui. Ketika aku ditahan di dalam wad berbulan yang lalu, aku diletakkan di bawah doktor pakar psikiatri yang berbeza, Doktor Chestnut. Aku tidak pernah membayangkan mencederakan doktor ini.

Doktor Chestnut bercerita kepadaku tentang Agatha Christie dan Michael Phelps. Dia memberitahu bagaimana kedua-dua orang ini menggunakan masalah mental yang dialami sebagai kelebihan untuk melakukan sesuatu yang bertaraf dunia.

Mudah untuk berkata, bukan mudah untuk melaksana, detik hatiku. Mungkin dia sendiri tidak tahu ubat yang diberikan kepada ku ini membunuh imaginasi apabila ia mencapai tahap keberkesanannya.

Sebab itu bila aku berada dalam keadaan yang stabil, aku tidak boleh menulis seperti ini. Semua imaginasi ganas dan tidak sihat itu hilang, bersama imaginasi-imaginasi normal juga.

Menulis adalah satu-satunya terapi untuk diriku sejak aku kecil. Tanpanya aku seperti kehilangan sesuatu yang besar. Ada orang berkata, untuk mendapat sesuatu, kita hilang sesuatu yang lain. Mungkin itulah situasiku.

Untuk mentalku stabil, aku akan hilang banyak perkara yang dekat denganku. Aku hilang imaginasi, hilang kemampuan untuk menulis, hilang kemahuan untuk memperbaiki kehidupan, hilang sensitiviti, hilang sebahagian dari diriku sendiri.

Tapi aku tahu Doktor Chestnut itu hanya cuba membantu. Aku diam. Kemudian air mataku mengalir. Seorang jururawat meletakkan kotak tisu di hadapanku. Aku tidak biasa mengelap air mata di hadapan orang. Di waktu kecil, ibuku paling tidak suka melihat orang menangis.

Mengelap air mata bermaksud aku sedar aku sedang menangis.

Doktor itu menunggu sehingga air mataku kering. Dia tegas tetapi lembut. Dia ada kelemahan tetapi imaginasi ganasku tidak pernah muncul untuknya.

Doktor Hazelnut pakar psikiatri yang ingin ku jerut lehernya itu juga lembut orangnya. Cakapnya perlahan dan sopan, sebutir-sebutir. Bila marah, cakapnya masih sopan. Cakapnya tidak pernah bongkak. Suaranya tidak pernah tinggi.

Berbeza dengan doktor psikiatri biasa dibawahnya. Emosiku paling tidak stabil tiap kali bertemu dengan doktor biasa di bawah doktor pakar itu, Doktor Peanut. Kata-kata Doktor Peanut lembut tetapi tajam menikam. Ia sentiasa berlegar-legar di kepalaku.

“Awak jangan bandingkan diri awak dengan saya,” kata Doktor Peanut kepadaku bila aku katakan apa yang aku lalui ini mungkin dia pun tak mampu hadapinya. “Awak tak kenal saya,” katanya lagi.

Aku mengetuk kepalaku berkali-kali setelah pulang ke rumah. Betapa bodohnya aku, yang lemah itu aku, orang lain di tempatku pasti tidak selemah aku.

Kesan sampingan ubat-ubatan bukan sesuatu yang besar bagi Doktor Peanut. Bila aku katakan aku teramat takut menghadapi kesan sampingan ubat yang baru, katanya pesakitnya yang berusia 80 tahun pun mampu hadapinya, kenapa tidak aku?

Bila aku takut dos ubatku dinaikkan, dia mengatakan dos itu bukanlah yang tertinggi, ramai lagi pesakit lain yang mengambil ubat dengan dos yang lebih tinggi.

Aku penat dibandingkan dengan orang lain. Aku sudah lelah hadapi perkara yang serupa sejak kecil. Dibanding-bandingkan dengan adik beradik dan sepupuku.

Apabila aku kerap berbicara tentang perancangan membunuh diri, dia berkata hanya itu sahaja yang aku perkatakan tiap kali berjumpanya.

Aku merasakan semua yang aku katakan padanya tidak kena. Aku meminta maaf tetapi seperti tiada kesan padanya. Raut wajahnya seperti mengatakan dia tidak suka berjumpaku.

Aku bertanya adakah aku beban kepadanya. Dia bertanya kembali, adakah kesemua pesakit yang lain juga beban?

Aku tidak tahu cara untuk berkomunikasi dengannya dengan baik. Bila perbualan kami bermain semula di fikiranku, aku jadi sesal dan mengetuk-ngetuk kepalaku sendiri. Kemudian aku merancang untuk membunuhnya.

Aku menelefonnya dan memberitahu aku hanya ada dua pilihan. Sama ada aku membunuhnya atau aku membunuh diri.

Dia mengatakan dia perlu memaklumkan kepada pihak polis untuk melindungi dirinya. Aku katakan kepadanya, aku tak rasa aku mampu mencederakan sesiapa, jadi pilihanku adalah untuk bunuh diri.

Selama beberapa hari aku menahan perasaan sesal dan marah yang membuak-buak. Aku tidak mahu membunuh diri tapi hanya dengan melakukan sesuatu yang drastik sahaja yang boleh meredakan perasaan membuak-buak yang sukar dikawal itu.

Beberapa hari kemudian, aku pergi ke jambatan yang panjang dan tinggi itu lagi. Jambatan di mana beberapa bulan sebelumnya aku ditarik oleh orang awam sebelum aku sempat terjun.

Kali ini aku memberhentikan kereta jauh dari jambatan supaya tidak diketahui orang. Aku tunggu sehingga tiada kenderaan yang lalu lalang sebelum aku memanjat penghadang jambatan. Aku berselindung di sebalik penghadang itu supaya tiada yang nampak kelibat ku.

Aku duduk senyap di situ dan menunggu. Aku menunggu perasaan yang kuat untuk terjun itu datang.

Aku menunggu sehingga awan menjadi mendung, sehingga hujan gerimis mula turun. Perasaan itu tidak datang. Aku keliru. Aku pulang dan merasa kekosongan yang tiada tolok bandingnya.

Semua perkara ini ku ceritakan kepada Doktor Hazelnut. Doktor pakar yang lehernya ingin ku jerut itu. Dia membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan aku berjumpa Doktor Peanut kerana tidak mahu keadaanku bertambah teruk.

Doktor Hazelnut ini, perawakannya tenang, tapi pertimbangannya pantas. Aku percaya pada pertimbangannya.

Tapi ku rasakan seperti dia mahu memberitahuku yang aku patut membunuh diri sahaja kerana tiada lagi jalan penyelesaian untukku. Selagi aku masih boleh mati dalam “dignity” seperti pesakitnya sebelum ini.

Aku pengecut. Dan aku tidak mahu ke neraka. Namun jika itu yang dia mahukan, aku memikirkan untuk membawanya bersama ke neraka pada hari pertemuan kami. Jerut lehernya, kemudian jerut leherku sendiri.

Atau mungkin aku silap perkiraan. Mungkin dia tidak merasakan aku pengecut. Mungkin dia tidak mahu aku membunuh diri. Terkadang perkiraanku mengkhianati diriku sendiri.

Aku mendengar dia memanggil namaku. Aku seperti tersentak dari khayalanku.

“Haa..?” aku bertanya, tidak mendengar kata-katanya sebelum itu.

Dia bertanya jika aku masih berfikir untuk membunuh diri. Dia bertanya jika aku sedar beratku semakin susut. Dia bertanya macam-macam lagi. Namun seperti hanya separuh daripada diriku berada di situ.

Sehingga dia mencapai buku preskripsi dan bertanya jika ada apa-apa yang ingin ku katakan. Aku menggeleng kepala. Dia mencatat preskripsi dos yang lebih tinggi untukku.

Kemudian perlahan-lahan, aku seperti kembali ke dunia sebenar semula. Ketika dia menulis preskripsi ubat untukku, aku berkata perlahan, “Sorry”.

Dia mengangkat muka.

“For what…?”, tanyanya tenang.

“For what I said,” jawabku kesal.

Dia tersenyum dan mengatakan dia menerima maafku. Kemudian dia pula memohon maaf dariku di atas kelemahannya dan kekurangan yang datang dari pihak mereka.

Ketika aku berjalan keluar dari bangunan itu, aku masih tidak pasti apakah yang doktor itu sebenarnya fikirkan. Mungkinkah aku tersilap? Perasaanku berkecamuk. Aku menahan diri dari mengetuk kepalaku sendiri.

Sampai di kereta, perasaan ingin menjerut leher doktor itu perlahan-lahan hilang bersama perasaan ingin mengetuk kepalaku sendiri. Sampai di rumah, semua perasaan negatif itu hilang terus.

Dua minggu kemudian, aku datang lagi bertemu Doktor Hazelnut seperti kebiasaannya.

Sesi pertemuan kami berlangsung hampir sejam. Seperti biasa, ketika Doktor Hazelnut mencapai buku preskripsinya, dia bertanya jika ada apa-apa lagi yang ingin aku katakan. Aku menggeleng.

Kemudian dia mengatakan sampai masanya untuk dia memberitahuku sesuatu. Aku yang mengantuk disebabkan kesan sampingan ubat, mula membesarkan mataku. Jantungku berdebar-debar.

Doktor Hazelnut menarik nafas dan menjelaskan bahawa dia berada di hospital itu selama setahun ini disebabkan dia dalam program latihan subspecialty untuk fellowship sub psikiatri, dan latihannya akan berakhir penghujung Jun ini.

Dia memberitahu akan ada fellow lain yang akan menggantikannya.

Dia memberikanku beberapa pilihan dan bertanya doktor mana yang ingin ku temui untuk follow up selepas ketiadaannya.

Di kepalaku, terpampang semula saat-saat aku ditinggalkan sendirian di rumah di waktu kecil, diikat dan ditinggalkan begitu sahaja.

Aku selalu ditinggalkan.

Aku penat ditinggalkan.

Aku akan terus ditinggalkan.

Kenapa bukan aku yang meninggalkan, kenapa mesti aku yang ditinggalkan setiap kali?

Airmataku mula mengalir.

Doktor Hazelnut seperti sudah mengagak reaksi ku. Dia bangun mengambil tisu untukku. Dia juga mengambil kertas dan melukis graf di mana hidupnya dan hidupku bertembung. Dia mengatakan aku berhak merasakan apa yang aku rasa.

Tapi perasaanku tiba-tiba menjadi kosong. Aku mendengar dia bercakap tetapi diriku seperti sudah melayang jauh.

Setelah keluar dari bilik itu, aku ke farmasi mengambil ubat. Perasaanku masih kosong. Hatiku kosong. Mindaku berkata, aku akan sentiasa ditinggalkan. Aku benci ditinggalkan.

Aku merasa kosong sekosong-kosongnya.

– Diari Melankolia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *