Assalamualaikum semua, gelarkan aku ibu je tau. Malam ni aku nak cerita tentang anak sulung aku, umur dia sekarang dah 4 tahun dan baru je ada adik umur 4 bulan.
Anak sulung aku masa kecil dulu sangat baik, tak meragam langsung, dia macam faham ibu ayah dia pjj. Aku sayang sangat anak aku, ye la anak kan, dah macam nyawa kita sendiri. Bila dia dah besar sikit, dia masih anak yang baik, takde mengamuk kalau dia tak dapat apa yang dia nak.
Kalau pergi beli toys, aku suruh ambil 2 atau 3 mainan pun dia akan ambil satu je. Kalau dia suka yang lain dia takkan ambil dua2, dia akan pilih salah satu yang paling dia suka. Dia baik je, tak banyak ragam.
Sebenarnya terlalu banyak cerita aku nak luahkan tapi aku cerita yang aku mampu saja ya. Aku masih ingat renungan dia bila aku sibuk pegang handphone sebab tengah layan customer, pandangan dia sayu je.
Dia tak mengamuk tau nak perhatian, dia tak panggil pun aku tapi dia tengok je aku, sayu je pandangan dia. Lepas aku perasan dia tengok tu terus aku letak handphone pergi main dengan dia.
Aku pendekkan cerita,
Masa aku tengah sarat mengandung anak nombor 2, suami pula kerja jauh, suami aku kerja bidang Oil & Gas, selalu kena outstation. Kadang2 aku ikut suami aku bila dia kena kerja jauh. Tapi lepas anak aku dah masuk tadika, kami dah tak ikut ayah dia pergi kerja dah.
Masa aku sarat mengandung, alahan teruk, emosi aku memang tak menentu selalu marah anak aku, tapi aku akan pastikan ada masa untuk main dengan dia, sebelum tidur kami akan berbual dulu, dia akan tanya macam2.
Bila ada adik, semua berubah. Aku dah start selalu marah2 dia sebab dia bising masa adik tidur, dia mengamuk nak main dengan aku bila aku tengah sibuk buat kerja lain atau tengah dukung adik dia, adik dia memang sentiasa nak kena dukung kalau tak dia menangis.
Aku dah tak berbual dengan dia sebelum tidur sebab nanti adik dia terjaga kalau bising, padahal tu rutin dia sebelum tidur.
Anak sulung aku memberontak, sebab aku selalu marah dia, kadang2 cubit dia. Dia dah pandai cakar dengan cubit aku bila dia nak apa2. Dia jadi pemarah, dia mudah mengamuk, bila dia jadi macam tu aku makin marah, aku marah dia, marah sangat.
Aku ganti perhatian dan kasih sayang aku dengan bawa dia pergi beli makanan dia nak, lepas balik sekolah dia nak pergi makan apa aku bawa je, beli mainan yang dia suka. Aku anggap aku dah tak payah bagi perhatian sangat sebab dah bagi apa yang dia nak.
Semalam paling sedih bila aku ingat, aku tengah tidurkan adik, dia nak perhatian juga, aku suruh dia tidur dia taknak dia duduk je dia cakap nak tidur dengan ibu. Aku marah dia, ya Allah padahal dia nak perhatian aku je. Semalam dia tidur dalam keadaan sedih sangat.
Bangun je hari ni lepas balik sekolah perangai dia lain sangat, dia jadi degil sangat2 sebelum ni degil juga tapi hari ni aku tengok anak aku lain sangat. Dia jadi macam sinis je, dia tak panggil aku, aku cakap apa2 dia buat tak tahu.
Last2 dia marah aku, dia cakar aku tapi aku macam buat tak tahu, aku tak marah dia sebab aku tahu aku punca semuanya. Sebelum ni anak aku tak faham apa aku ajar, aku marah dia aku tinggi suara.
Rupanya baru hari ni aku sedar, aku bukan marah dia je, aku lepaskan geram dengan masa lalu aku, aku belajar sampai masuk IPTA tapi aku selalu rasa aku gagal, aku tak berguna, takde orang sayang aku pun.
Rupanya aku marah dia sebab trauma aku yang lepas, aku jadi terlalu sensitif. Bertambah pula ada adik, aku lagi penat, lagi macam nak lari dari semua ni, semua bercampur dalam kepala aku dalam satu masa.
Masa nak tidur tadi, dia nak aku lukis jam untuk dia, aku cakap kejap lagi sebab nak tidurkan adik dulu. Dia marah dia hempas barang aku buat tak tahu, aku sabar je, aku nak layan dia elok2 sebab aku sedar semua salah aku. Makin aku marah dia makin dia memberontak.
Lepas adik dia tidur, aku lukiskan jam, aku boleh tengok reaksi dia memang happy sangat. Dia siap cakap sorry ibu, saya marah ibu. Aku pun minta maaf juga dengan dia.
Aku dengan dia berbual macam dulu2, aku boleh rasa aku dapat balik anak aku yang macam dulu. Dia cakap i love u ibu, saya sayang ibu. Aku nangis tau sebab aku sedar semua salah aku.
Anak sulung aku bukannya nak mainan mahal2, bukannya nak makan makanan sedap2, dia cuma nak perhatian aku, dia cuma nak ibu dia yang dulu.
– Ibu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
kerana anak tetap anak.. memerlukan ibu bapa..
Kita ni, dunia kita pelbagai. ada dunia kerja, ada dunia rumah ada dunia family belah sana, belah sini. Anak kecil pulak, dunia dia cuma mak dan ayah sahaja. bila kita berubah, dunia dia hancur. pernah bayang tak life as we know it change? Itu la yang mereka rasa.