Cerita Gayah

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kerana post confession aku. Aku nak cerita pasal kawan aku, aku namakan dia Rogayah (bukan nama sebenar), just panggil dia Gayah jelah ye. Pertamanya ingin aku jelaskan di sini bahawa tujuan aku cerita ni sebab nak korang ambil pengajaran dan jadikan iktibar.

Gayah ni roommate aku, dan juga classmate aku. Kiranya memang rapatlah sebab satu kelas dan satu bilik. Pergi kelas sama-sama, balik kelas sama-sama, pergi makan kat kafe sama-sama, jog sama-sama, memang kebanyakan aktiviti kami berdua sama, dan boleh dikatakan kami berdua ni tersangatlah rapat memandangkan kami sebilik sejak mula mendaftar masuk ke universiti ini. Kami mempunyai perwatakan yang sama tapi apa yang membuatkan kami berbeza ialah, Gayah memakai niqab manakala aku tidak. Dia menjaga aurat dengan sempurna, manakala aku cuma biasa-biasa (tudung cuma lepas bahu, tshirt loose lengan panjang, seluar palazzo dan sneaker).

Ceritanya bermula apabila Gayah mula mengenali seorang lelaki ketika kami sedang mendobi baju. Masa tu aku pun tengah tunggu baju kami kering. Tiba-tiba lelaki tu (aku namakan dia Mamat, bukan nama sebenar) tegur Gayah dan seperti biasa, Gayah tak melayan. Namun (aku pendekkan cerita macam mana Mamat dapat nombor telefon Gayah ya) tiba-tiba hati Gayah terbuka sedikit demi sedikit. Yelah, lelaki, sweet talker, Gayah pun cairlah macam coklat Cadbury. Maka mereka pun couple. Seperti couple lain, mereka keluar makan, otp malam-malam, and kadang-kadang tu kalau tak ada kelas, Gayah pergi karaoke bersama Mamat. Aku? Gayah dah lupakan aku. Huhuhu sedih gila bila ingat balik. Bayangkan jelah kawan baik kau yang selalu temankan kau sejak semester 1 (sudah 2 tahun berkawan baik), tiba-tiba boleh tinggalkan kau kerana seorang lelaki. Sadis kan? Tapi aku bukan jenis cepat merajuk. Eventhough dia selalu tinggalkan aku (sejak ada Mamat, dia ke kelas menaiki kereta, manakala aku berjalan kaki seperti biasa), aku buat biasa jelah. Kalau dia ada, aku bercakap. Kalau dia keluar, aku diam. Aku perasan sejak dia couple dengan Mamat, dia semakin teruk. Solat dah tinggal. Aurat sudah tak ditutup dengan sempurna. Ya, dia memakai purdah tapi stokingnya sudah tidak dipakai. Handsock pun tak pakai dah. Dulu, dialah idola aku sebab tutup aurat paling sempurna. Kalau dengan Mamat, dia bertepuk tampar umpama Mamat tu suami dia. Kalau nak turun dari kereta, dia akan salam Mamat dan Mamat akan mencium dahi Gayah seperti husband and wife.

Kalau dalam kelas, dia dah taknak duduk sebelah aku. Aku suka duduk depan sekali. Suka tengok lecturer dari jarak dekat. Gayah pulak suka duduk belakang sekali. Senang nak keluar lepas tandatangan kehadiran. Keluar dengan Mamatlah, siapa lagi. Ramai juga kawan-kawan yang bertanya, “Kenapa kau macam renggang dengan Gayah,” “Weh kenapa kau dengan Gayah tak macam dulu,” “Kenapa tak tegur dia,” Weh korang, aku dah tegur. Banyak kali. Dan kali terakhir aku tegur dia, aku whatsapp dia panjang berjela, tanya kenapa dah taknak kawan dengan aku, kau rimas dengan aku ke, apa salah aku. Nak tahu dia jawab apa? Dia reply macam ni “Aku rasa kau pun perlu cari boyfriendlah. Sebab aku tengok kau ni lonely semacam,”. Sumpah, aku menangis gila-gila malam tu. And start daripada tu, aku tekad yang aku tak perlukan kawan macam dia. Bukan nak buang kawan, just you know, berhenti berharap. Berhenti berharap yang dia akan anggap kau kawan baik. So, start daripada tu, I moved on. Aku pergi kelas macam biasa, dah takde dah whatsapp Gayah macam dulu “Weh Gayah kau nak aku tunggu kau tak? Kot-kot nak gi kelas sama-sama,” and kalau aku nak makan, aku makan je. Tak tunggu dia dah. Sebelum ni kalau aku nak makan, aku tunggu dia balik. Kononnya nak gi café. Rupanya dia dah makan kat luar dengan Mamat. Hahaha. So yea, aku rasa kosonglah jugak sebab kawan baik aku dah hilang. Pernah sekali tu, aku jalan kaki gi kelas tiba-tiba hujan. Then ada satu kereta tu laju je lalu tepi aku then air tu terperciklah kena aku kan, dahlah air lumpur. Bila tengok, kereta tu Mamat yang drive and tepi tu Gayah. Aku pun macam ‘hm, takpelah, tak minta maaf pun kau Gayah, takpelah mungkin kauorang tak perasan, takpe aku husnudzon’.

Ok, habis part sedih. Haha tadi tu intro je. Ni baru masuk konflik. Cuti semester bermula, aku pun tanyalah Gayah, nak aku belikan tiket tak. Sebab Gayah ni satu negeri dengan aku, cuma berlainan daerah. Sebelum ni memang kitaorang balik berdua so aku tanyalah Gayah kot-kot nak aku belikan. Yelah, memang selama ni dia lupakan aku, tapi aku still buat baik kat dia. Dia jawab, “Kau baliklah dulu, aku balik 3 hari lepas cuti semester start. Dah janji dengan Mamat nak jalan-jalan,”. Aku pun macam “Okey” jelah kan dah dia cakap macam tu, takkan aku nak kena tunggu dia kot sebab nak balik sekali. So aku pun belilah tiket bas and habis je final paper aku pun call runner suruh hantarkan ke stesen bas. Cuti semester selama 2 minggu lebih (short sem), aku tak terima sebarang berita daripada dia. Aku ada whatsapp dia tapi bluetick je. Cuti semester habis, aku pun pulang ke universiti. Semuanya berubah. Gayah nampak sakit. Badannya sangat tak terurus, dan aku dapat tahu dia dah putus dengan Mamat. Aku dapat tahu daripada housemate yang lain yang sepanjang cuti semester, dia tak pulang ke rumah. Sumpah aku terkejut. Aku ada tanya Gayah kenapa, tapi dia cuma diam. Aku tahu dia stress dan mungkin dia jadi sebegitu mungkin kerana heartbroken, so aku bagi dia space. Sebulan berlalu dan tiada perubahan yang ketara tentang Gayah. Dia kerap ponteng kelas, dan menangis sendirian. Aku berasa kasihan. Yelah, kawan baik kot, gila tak kasihan. Tapi setiap kali aku tanya, dia tak menjawab. Aku cuma menjalankan tanggungjawab aku dengan mengajaknya solat, makan, and perkara basic yang lain.

Masa berlalu dengan pantas, aku perasan perutnya membuncit sedangkan dirinya semakin kurus kering. Aku syak something. Aku syak dia pregnant. Tapi aku cepat-cepat istighfar and taknak suudzon. Sehinggalah pada suatu hari, dia minta aku belikan dia tiket bas balik ke rumah dia. Aku macam biasa, tanyalah dia kenapa balik awal sangat, sedangkan cuti semester belum tiba, dia pun macam biasa, hanya diam seribu bahasa. Aku pun malas nak tanya banyak benda, just belikan tiket bas tu and dia pun balik ke rumah. Dia balik hari Selasa malam, dan pulang semula ke universiti pada hari Ahad. Tapi masa tu perut dia kempis dan aku lihat dia sangat lemah. Jalan pun perlahan je. Aku seram tengok dia. Hanya terbaring lemah di atas katil. Makan maggi. Minum air masak. Kelas pun ponteng (tapi kami classmate dia tolong tandatangan kehadiran dia sebab takut dia tak boleh seat untuk exam nanti sebab kehadiran tak cukup).

Sehinggalah satu hari tu, dia menangis sambil kejutkan aku. And dia ceritakan semuanya. Rupanya malam aku balik rumah masa cuti semester hari tu, dia bawak Mamat balik bilik kitaorang. Aku ada tanya dia, macam mana jantan tak guna tu boleh masuk, tak ada orang nampak ke. Gayah jawab, sebab Mamat pun pakai jubah and berniqab. So orang lain tak syak apa-apa. Housemate kitaorang pun semuanya dah balik rumah masa tu. So malam tu dipendekkan cerita, Mamat ragut dara Gayah. And esoknya Mamat terus blah and tak muncul-muncul dah depan Gayah. Mamat tukar number handphone, rumah tempat dia sewa pun dah kosong. Gayah meroyan separuh gila, and tiba-tiba pulak dapat tahu Gayah pregnant. Gayah pergi gugurkan masa balik rumah dia hari tu. Patutlah makan maggi minum air masak je, sebab duit dah habiskan untuk bayar kos pengguguran baby tu. Ya Allah, aku mengucap panjang. Terkejut aku. Aku tak sangka selama ni sangkaan aku betul. And aku marah diri aku sebab tak tolong sedarkan Gayah dari awal-awal. Aku tegur Gayah tak bersungguh-sungguh. Patutnya aku paksa dia sedar, bukan sekadar menasihati.

So guys, aku merayu sangat-sangat. Kalau korang ada kawan yang tersasar, tolong tarik tangan dia balik and suruh dia sedar sebelum terlambat. Pasal Gayah tadi, sehingga ke hari ni dia still mimpikan baby yang dia gugurkan hari tu. Dah cuba pelbagai cara untuk hilangkan mimpi tu tapi tak boleh. Alhamdulillah dia dah bertaubat and insaf. Cuma sifat menyesal tu masih ada dan selamanya akan ada. Aku harap korang sayangi kawan korang. Biasalah manusia, tak lari dari melakukan kesilapan. Kita sebagai kawan kena tarik tangan mereka. Jangan masuk syurga sorang-sorang, ajak kawan sekali.

– kawan gayah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit