Cerita Seorang Pesakit Mental

Assalammualaikum wbt. Terima kasih admin jika cerita aku ini disiarkan.

Nama aku Ratu. Aku penghidap MDD, Personality Disorder dan Anxiety.

Aku terpanggil untuk berkongsi cerita setelah keluar berita mengenai wanita yang melanggar tiga pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam sehingga meninggal dunia.

Cerita aku lebih kurang wanita tersebut. Aku mengandung kembar luar rahim lebih kurang 16 tahun lepas.

Tiub fallopio kanan aku terpaksa dipotong dan kembar aku terpaksa dicuci demi menyelamatkan nyawa aku. Sejak itu aku mula berhalusinasi dan mendengar pelbagai suara-suara yang menakutkan.

Sewaktu di hospital selepas pembedahan membuang tiub fallopio kanan dan menggugurkan kembar, aku nampak entiti berupa nenek kebayan menyuruh aku melompat tingkap hospital.

Aku meraung-raung ketika itu akibat terlalu takut dan sedih. Suami aku menangis di sebelah katil melihat keadaan aku.

Selepas itu, aku dirujuk ke pakar psikatri di sebuah hospital swasta.

Alhamdulillah, doktor yang merawat aku sangat baik. Tak ada perlu kena marah seperti pengalaman-pengalaman yang aku baca di ruangan ini di hospital kerajaan.

Aku juga ada berubat secara tradisional kerana keluarga mertua menganggap aku meroyan. Aku layankan sahaja. Keluarga aku pula tak dapat terima kenyataan aku sakit mental. Kata mereka aku tak kuat iman.

Aku pernah lari berbogel satu taman, hilang dari rumah, pengsan di tengah jalan yang sesak dan klimaksnya cubaan bunuh diri.

Suami aku sedaya upaya melindungi aku daripada dimasukkan ke wad sakit jiwa sebab kasihankan aku.

Aku selalu hilang ingatan dan menjadi orang lain. Pelbagai watak ada dalam diri aku. Mak aku marah betul bila aku bertukar. Beliau akan menjerit-jerit suruh aku sedar tapi tak semudah itu ya pembaca sekalian.

Percayalah kata aku, bukan mudah untuk menjaga pesakit mental ini. Mereka boleh berubah dengan sekelip mata dan sedikit kesilapan boleh membawa kepada pelbagai impak yang dahsyat walau terlihat segalanya telah dikawal sebaik mungkin.

Suami aku juga pernah putus asa sewaktu menjaga aku. Emosi beliau juga tercalar dan beliau cepat mendaptkan sokongan dan bantuan daripada pakar demi menjaga dan menyediakan persekitaran yang selamat untuk aku.

Kini sudah hampir 16 tahun aku tak memasak, pegang pisau, pegang stereng kereta dan segala yang akan memicu aku kepada bahaya terhadap diri aku. Bukan mudah untuk melaluinya dan bukan mengada ya.

Aku isi masa lapang dengan menulis puisi, menulis buku pengalaman kisah hidup aku dan segala yang berkaitan dengan tulisan. Aku terjemahkan segala isi hati dan kecelaruan otak aku dalam bentuk tulisan.

Jangan anggap aku tak solat dan tak baca quran pula ya. Aku buat tapi setakat mana yang termampu kerana pesakit mental ini emosinya berubah. Nak mandi pun malas dan perang dengan diri sendiri tau.

Berbalik pada wanita yang melanggar pelajar tadi sehingga meninggal dunia, aku ingin mengajak kita semua supaya mempunyai empati terhadap beliau kerana aku yang mengalaminya faham akan keadaannya.

Aku dapat rasakan ketakutakannya berdepan semua ini keseorangan. Ya apa yang dilakukannya tidak betul tetapi beliau berada dalam keadaan yang tidak sihat walaupun ada yang mengatakan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Akhir sekali pesan aku jika ada ahli keluarga yang mempunyai sakit mental tolonglah bawa mereka berjumpa pakar dan bukan sekadar berubat tradisonal.

Mereka memerlukan rawatan, ubatan dan pantauan dari pakar. In shaa Allah dengan izin Allah gejala penyakit ini dapat dirawat dan dikekang.

Masyarakat juga haruslah tidak memandang serong kepada pesakit mental ini. Penat tau bila orang ingat pesakit mental ini gila padahal tidak. Mereka sakit seperti pesakit kanser dan pesakit-pesakit fizikal yang lain.

Akhir kalam, tolong titipkan doa buat aku agar dapat mengawal penyakit aku ini ya. Ia bukan suatu perjalanan dan perjuangan yang mudah. Orang hanya mampu menilai dan berkata-kata sehinggalah terkena pda batang hidung sendiri.

Sekian, terima kasih.

Pejuang Sakit Mental,

– Ratu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan dan dikurniakan kesihatan suatu hari nnti Aamiin.. stay strong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *