(https://iiumc.com/sweet-psycho-revenge/).
(https://iiumc.com/sweet-psycho-revenge-ii/).
(https://iiumc.com/pengalaman-si-kobis/).
Hai pembaca. Terima kasih admin handsome sekiranya confession Kobis ni disiarkan
Kalau korang follow Kobis dari awal, rasanya tengok nama William tu pun dah tahu kot siapa. Disebabkan ramai yang komen nak Kobis cerita pasal William, hmm Kobis cerita la. Tapi Kobis takut ni, takut William baca.
Kali ni, Kobis nak cerita macam mana Kobis boleh kenal William. Kobis kenal dia dari zaman sekolah lagi.
Sekolah Kobis ni ada 2 sesi, pagi and petang. Masa ni Kobis bersekolah sesi petang.
Satu hari, Kobis pergi sekolah macam biasa. Sampai sekolah, Kawan Kobis panggil Kobis, dia bagi belon tiup pakai straw kat Kobis. Ala sebenarnya Kobis tak tahu nama belon tu apa.
Dia macam gam dalam tiub, pastu ada straw kecik warna kuning. Nak buat belon tu kena picit benda tu, bulat-bulatkan dekat hujung straw, lepas tu tiup. Ha belon tu lah. Dapat bayang tak?
Well, walaupun dah sekolah menengah, perangai kitorang ni macam budak sekolah rendah lagi. Tak macam budak-budak zaman sekarang ni, faham-faham lah ya huhu.
Dipendekkan cerita, lepas Kawan Kobis bagi belon ni, dia ajak Kobis teman pergi toilet. Toilet ni terletak dekat tengah-tengah antara dewan perhimpunan & makmal-makmal dekat sekolah.
Keliling toilet ni ada pokok-pokok and rumput hijau. Memang toilet tu dibuat untuk public, so macam cantik lah kawasan toilet tu.
Sementara tunggu kawan Kobis tunai hajat, Kobis pun tiup la belon tu buat bentuk bulat besar. Lepas tu tiup lagi 2 belon kecil dan sambungkan dekat belon besar tu. Serupa bentuk mickey mouse.
Masa ni pulak bulan yang banyak angin. Waktu tu, cuaca redup, angin pun bertiup-tiup sepoi bahasa kononnya. Kobis pun lambung-lambung belon tu ke udara.
Sesekali Kobis lari-lari sikit kejar belon yang kena tiup angin tu. Entah kenapa happy betul Kobis masa main belon tu. Tebiat agaknya.
Time tengah suka-suka main belon, Kobis terasa macam ada orang tengah perhatikan Kobis dari makmal yang terletak sebelah kanan Kobis.
Kobis pun menoleh la ke makmal tu, ada sorang lelaki tengah tengok Kobis sambil senyum-senyum. Kurus, kulitnya putih, rambutnya menutupi sebahagian dahi (pengaruh kpop agaknya), matanya tak berapa sepet.
Entah lah, bila fikir balik, macam scene drama Korea pulak. Heroin tu tengah bergembira, lepas tu hero tu terdiam dek terpegun dengan kecantikan heroin tu.
Tapi Kobis rasa zaman sekolah dulu, Kobis ni selebet je macam kentang dalam uncang, apa yang budak lelaki tu ralit tengok Kobis, tak tahu lah.
Lepas Kobis tahu Kobis diperhatikan, tetiba Kobis jadi kekok. Disebabkan Kobis tak jaga belon tu, dia terbang melekat pulak dekat pokok.
Kau pun Kobis, da besar panjang dok main belon tu lagi. Buat malu je. Kobis terus cepat-cepat masuk toilet dan tunggu beberapa minit.
Bila Kobis jenguk keluar dengan kawan Kobis, mamat tu dah tak ada. Fuh lega! Mana lah Kobis terfikir ada budak-budak kelas sesi pagi dekat makmal tu.
Tahun pun berlalu, dan Kobis pun kena tukar waktu sekolah ke sesi pagi.
Kobis aliran sains tulen, masa ni Kobis rasa agak susah la sebab ada subject add math kan. Matematik tu, kalau dia nombor je okay lah. Start dia campur aduk dengan huruf, Kobis dah pening.
Banyak kali jugak lepas habis sekolah Kobis pergi bilik guru, cari cikgu add math Kobis. Cikgu pun naik menyampah agaknya asyik muka Kobis je jumpa dia huhu.
Ada satu soalan add math ni, jalan kerja macam dah betul, tapi jawapan Kobis dekat buku teks tu tak sama. Cikgu jawabkan, jawapan cikgu berbeza dengan jawapan Kobis, tapi masih tak sama dengan buku teks.
Kebetulan masa ni ada sorang budak lelaki masuk bilik guru, cikgu Kobis pun panggil lah dia.
“William, sini kejap. Cuba awak tengok soalan ni. Cikgu rasa jalan kerja cikgu dah betul tapi jawapan dekat buku tak sama,” Lebih kurang macam tu la cikgu tu cakap.
So budak lelaki tu pun ambil buku Kobis, and start menconteng. Sambil dia jawab soalan tu, Kobis perhati je lah. Kenapa macam pernah nampak je dia ni.
Ting! Tiba-tiba je otak Kobis mainkan babak Kobis tengah main belon tu. Tak sah lagi, memang dia lah yang tengok Kobis dulu!
Lagipun tak ada orang lain yang style rambutnya tepek atas dahi macam dia dekat sekolah kitorang. Dia sorang je.
“William rupanya nama dia. Muka dia tak adalah macam cina sangat,” Kobis cakap dalam hati
Selepas beberapa minit jawab soalan tu, jawapan William pun sama dengan jawapan cikgu.
Jawapan Kobis jangan cakap lah, jauh betul perginya.
Kobis rasa macam nak koyakkan aje muka surat yang ada jalan kerja Kobis tu dekat situ jugak. Malu huhu.
So, cikgu buat kesimpulan jawapan dekat buku teks tu salah. Entah kenapa time ni Kobis rasa menyampah dekat William. Mungkin sebab Kobis tercabar dengan kebijakan dia haha.
Lepas tu, Kobis terus pergi perpustakaan. Perpustakaan tu dekat tingkat 4, jenuh juga la nak berjalan naik tangga.
Tapi demi siri buku penyiasatan yang Kobis suka baca, Kobis sanggup. Lagipun hari tu kawan Kobis yang bertugas jadi pustakawan, so banyak lah buku yang Kobis boleh seludup bawa balik rumah nanti. Selalunya boleh pinjam 3 je hehe.
Time Kobis tengah syok baca buku bawah air cond, tiba-tiba ada orang tarik kerusi depan meja Kobis and duduk depan Kobis. Kobis pun mendongak,
‘’ini William yang tadi Kobis jumpa dekat bilik guru ni,”Kobis cakap dalam hati.
Kobis tengok William berpeluh, mungkin sebab naik tangga dari level 1 ke level 4. Dia duduk bersandar dekat kerusi, longgarkan tali leher dia, buka 1 butang baju and lepas tu kibas-kibas baju dia. Tangan kanan dia betulkan rambut dia.
Walaupun Kobis ni cepat lupa, tapi Kobis masih ingat lagi cara William longgarkan tie dia lepas tu betulkan rambut dia yang basah sebab peluh tu. Heeee gatal kau Kobis.
“Jalan kerja saya buat tadi salah, buku teks tu betul,” cakap William sambil separuh tercungap-cungap. Agaknya dia berlari dari bawah sampai ke atas semata-mata nak bagitahu benda ni ke? Sukar dijangka dia ni.
“Mana buku tadi? Sini saya tunjuk,”
So, dari situ lah Kobis kenal William. Lepas dekat library tu, Kobis terus rapat dengan dia. Rupanya William ni asalnya dari Miri, lepas tu pindah semenanjung ikut family.
Patut lah mata dia tak sepet kot? Terbalik pulak dengan Kobis yang Chinese look. Tapi Kobis sepet sebab keturunan jawa, bukan keturunan cina, huhu.
Disebabkan William pandai add math, Kobis pun minta William ajar Kobis add math selepas waktu sekolah. Tapi William cakap selepas waktu sekolah dia tak boleh stay lama-lama, sebab dia nak balik rumah.
So, William ganti masa dengan waktu pagi. William datang sekolah awal pagi, sebab dia tumpang sekali ayah dia nak pergi kerja.
So, dalam pukul 6.15 am dia dah sampai sekolah. Selalunya ayah dia berhentikan dekat tepi jalan je, lepas tu William panjat tembok sekolah dan masuk kawasan sekolah.
Kobis pulak, kalau sekolah tu start pukul 7, pukul 8 baru Kobis nak bangun tidur hehe.
So demi secebis ilmu, Kobis pun gagahkan diri datang sekolah awal pagi. Mak Kobis tahu je Kobis belajar dengan kawan, tapi tak tahu kawan tu William huhu.
Macam tu la rutin Kobis hampir setiap pagi. Kalau Kobis sampai dulu, Kobis tengok William panjat tembok dari balkoni kelas, lepas tu Kobis duduk dekat meja. Nanti William datang dari belakang terkejutkan Kobis.
Mengada-ngada je tu, padahal dengar dah bunyi tapak kaki, tapi saja je buat-buat terkejut.
Kalau William sampai dulu, dia tunggu Kobis dekat tempat parking basikal, sebab Kobis bawak basikal pergi sekolah. Lepas Kobis siap park basikal, kitorang naik ke kelas sama-sama.
Bila fikir-fikir balik, tak elok sebenarnya berdua-duaan dalam kelas. Sebab kalau berdua, ada la ketiga yang bertanduk tu kan.
Tapi masa ni Kobis naif, mungkin William pun naif. Lagipun masa tu Kobis dengar-dengar William ni ada girlfriend dari sekolah lain, so Kobis tak harap apa-apa pun.
Mungkin dalam hati niat Kobis memang nak belajar, William pun nak mengajar, jadi yang ketiga tu insaf sekejap lah agaknya.
Kawan-kawan Kobis pun dah kenal William, sebab kadang-kadang waktu rehat William datang kelas jumpa Kobis, bagi keropok lekor. Tak pun entah apa la jajan atau benda makan dia bagi.
Lepas tu, Kobis dapat berita kena pindah sekolah pulak. So sampai situ je lah persahabatan Kobis dengan William waktu tu. Nak berhubung pun pakai Nokia 3310, itu pun kadang-kadang dapat *some text missing*.
Nak call selalu, tak cukup duit nak top up. Dulu mana lah ada whats app. Akhirnya lost contact macam tu je.
Lepas ada facebook, baru lah Kobis rapat semula dengan dia. Itu pun jenuh Kobis cari fb dia, macam-macam nama Kobis type, termasuklah “William Miri, William sekolah xx, itu ini,” Semua details Kobis letak, tak keluar jugak.
Time nak give up tu lah baru Kobis jumpa profile dia komen dekat fb cikgu Kobis. Patut lah type tak jumpa, nama dia pakai Chinese character (bahasa cina) dekat fb. Hampeh betul.
Sampai lah sekarang. Doakan persahabatan Kobis dengan William kekal ya. Kitorang dah janji nak duduk dekat rumah orang tua sama-sama.
Sebelum mengakhiri confession, Kobis nak ucapkan terima kasih kepada sesiapa yang sudi baca cerita Kobis & komen dekat beberapa confession lepas.
Kobis happy baca komen-komen korang, tapi Kobis sedih sikit sebab Kobis selalu dibandingkan dengan sorang penulis lain, walaupun Kobis dah jelaskan tentang tu dekat confession lepas.
Untuk pengetahuan, Kobis dengan penulis tu adalah orang yang berbeza, bukan adik beradik,bukan kawan, bukan jelmaan dan sebagainya yang korang sebut.
Hmm ikutkan banyak lagi yang Kobis nak cerita,tapi tak pe lah Kobis undur diri dulu ye. Sekali lagi, terima kasih ya sudi baca, komen, & like confession-confession Kobis selama ni. Bye!
– Kobis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit