Ceritera Ibu dan Aku

Sekarang ini aku tinggal berdua dengan ibu. Ada hikmahnya aku tiada isteri. Allah hendak bagi aku jaga ibu. Aku tidak tahu kenapa aku gagal dalam membina masjid tidak seperti orang lain.

Andainya aku sudah berkeluarga mungkin aku tidak dapat menjaga ibu. Tidak apalah, ini yang terbaik untuk aku.

Dulu, semasa dibangku persekolahan, aku juga tinggal berdua dengan ibu. Waktu itu, ibuku yang menjaga aku. Adik beradik yang lain samada sudah berkahwin, bekerja jauh atau pun sambung belajar.

Ibuku sudah tua dan uzur. Ingatannya pun dah kurang. Ibuku tinggal seorang diri, jadi akulah yang menemaninya terutama pada waktu malam.

Aku berniaga kecil-kecilan, keluar sebelum Subuh dan pulang lewat petang, kadang-kadang sampai ke waktu Maghrib. Ada saudara yang tinggal berdekatan rumah ibu.

Pagi-pagi saudara ini yang sediakan sarapan untuk keluarganya dan masak lebih untuk ibu. Termasuk menjaga makan ubat ibu. Waktu tengahari pun sama.

Pada waktu ibuku kurang sihat, aku pulang awal dan tengok ibuku duduk di muka pintu dapur.

Kekadang masa aku balik, ibu masih terbaring di atas katil. Kasihan pula ibu tinggal seorang diri. Tetapi saudara selalu sahaja tengok dan berbual dengan ibu.

Selepas habis berniaga, aku singgah mana-mana kedai makan untuk membeli juadah makan malam kami.

Ibuku kurang selera makan, jadi setiap petang aku akan membeli makanan yang berbeza. Makanan yang menjadi kegemaran ibu, itu aku akan selalu beli.

Kami jarang makan nasi malam. Makanan yang aku beli pun sedikit sahaja ibu jamah. Jadi tugas akulah menghabiskan makanan tersebut.

Kekadang aku pun tidak larat untuk habiskan. Jadi, ke peti aislah makanan itu.

Kekadang, aku beli sebungkus sahaja makanan untuk kami kongsi. Apabila ibuku berselera, dia akan habiskan makanan itu. Aku tengok sahaja.

Ibuku tanya aku makan apa? Aku jawablah yang aku makan benda lain macam makanan kering dan buah.

Padahal aku lapar. Jadi, tidurlah aku dalam kelaparan. Tetapi aku tidak kisah sebab mungkin ibuku pernah tidur kelaparan dulu. Yelah, kami bukan orang susah dan ayah meninggal masa aku kecil.

Aku akan pastikan ada buah-buahan di atas meja makan untuk ibuku makan. Aku minta ibuku makan buah atau aku tolong kupaskan.

Kekadang ibuku hendak makan nasi pada waktu malam, aku tanakkan nasi. Lauk biasanya aku beli. Setakat goreng ikan tu bolehlah.

Pada musim hujan, ibuku teringin makan ubi rebus. Aku tidak pandai merebus ubi, jadi aku tanyalah ibu cara merebus ubi. Sekarang aku sudah pandai tetapi tidak tahulah kalau terlupa pula selepas ini.

Malam-malam ibuku berasa sejuk jadi aku panaskan tungku untuk hangatkan badan ibu. Kekadang sampai terlalu panas sampai terbakar kain. Kena tukar kain pelapik yang lain.

Dari dapur aku tungku badan aku dulu sampailah ke bilik ibu dan serahkan kepada ibu.

Ada juga masanya ibuku tunggu aku panaskan tungku di dapur. Ada tu, selepas angkat tungku, aku terus tungkukan ibuku di bahagian belakang ibu. Ibuku membiarkan sahaja. Redha.

Kalau aku rajin, apabila habis azan sahaja, aku akan terus pergi ke bilik ibu untuk solat Isyak berjamaah. Kalau aku lewat, tengok ibu solat sendirian.

Sebelum ini aku tidur di bilik ibuku sebab ibu kurang sihat. Ibu tidur di atas katil dan aku tidur di atas toto di bawah.

Ada suatu hari tu, aku ternampak seekor lipan yang telah mati di dapur. Ibuku beritahu yang dia jumpa lipan itu di tempat aku tidur dan membunuhnya. Seriau pula tetapi malam itu aku tidur juga di situ.

Aku pulang berniaga sudah penat, jadi selalu tidur awal. Aku ni pendiam, jadi kurang bercakap dengan ibu. Ibuku pun sudah faham. Anak diakan.

Malam-malam aku temankan ibuku menonton televisyen. Kalau ada gangguan siaran, tidak dapatlah kami tonton.

Ibuku akan masuk bilik dan cuba tidur walaupun dia kata payah nak tidur. Aku? Dengar radio di telefon sahaja. Itu pun tidak banyak siaran.

Mendengar sampai terlena. Hendak main telefon, internet susah hendak dapat.

WhatsApp pun payah apatah lagi mukabuku dan pak cik Google. Kekadang, aku bercakap dengan kucing. Aku masih lagi ok kot. Ibuku pun tidak kata apa-apa.

Inilah kehidupan aku seharian. Mujur ada saudara dekat rumah yang boleh tengok-tengokkan ibu.

Adik beradik aku semua sudah ada keluarga sendiri. Biarlah aku yang menjaga ibu setakat yang mampu. Sekiranya aku masih beristeri mungkin aku tidak dapat menjaga ibu seperti ini.

Ada juga adik beradik yang ajak ibu bermalam di rumah mereka. Ibuku ada juga pergi tetapi ibuku pernah beritahu aku, sudah ada rumah sendiri, kenapa hendak tidur di rumah orang?

Sebab itu aku akan pastikan aku ada untuk ibuku pada waktu malam di rumahnya.

Apabila ibu aku suruh aku urutkan badan, aku urutkan sahaja. Aku tidak pandai mengurut, jadi aku ikutkan arahan ibuku. Ada juga aku yang tawarkan diri untuk urut ibuku.

Ada suatu hari tu, aku tidak berniaga. Ibuku bertanya hendak makan apa petang ni?

Aku jawab hendak pergi ke pasar malam. Aku ajak ibuku. Jom, keluar ambil angin, takkan duduk di rumah sahaja! Duduk dalam kereta pun dah okey. Sudah sampai pasar malam, ibuku mahu keluar juga.

Aku ikutkan sahaja dan bawa payung sekali sebab musim hujan. Ibuku sudah kurang larat tetapi mahu berjalan-jalan juga di pasar malam.

Jadi, ibuku pegang lengan aku. Manis gitu kan! Sudah jalan, hujan pula. Mujur bawa payung. Adalah beberapa jenis makanan pilihan ibu.

Balik sudah hampir Maghrib. Satu jenis sahaja yang ibu makan, selebihnya simpan di dalam peti. Esoknya aku panaskan semua makanan itu.

Aku ini tidak aktif bersukan, jadi untuk mengeluarkan peluh, aku akan bersenam di dalam rumah, lebih tepat lagi di dapur. Ibuku tidak tahu pasal senaman yang aku buat sehinggalah ke suatu hari aku kantoi.

Masa aku tengah bersenam tetiba ibuku lalu untuk pergi ke tandas. Kami berpandangan tetapi tidak kata apa-apa. Ah…teruskan sahaja! Bermula detik itu tiada lagi sembunyi pasal bersenam.

Ibuku suka makan etok salai. Jadi, siapa yang mengopek kulitnya? Akulah! Seronok tengok ibuku berselera makan. Dalam menjaga ibuku yang dah uzur, bermacam-macam perasaan ada termasuk yang negatif.

Aku abaikan sahaja kerana betapa penatnya dulu ibuku membesarkanku. Semoga aku dijauhkan daripada menjadi anak yang derhaka.

– Dawud (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *