Cik Optom

Assalamualaikum wbt. Terima kasih admin jika confession saya ni disiarkan.

Saya baru sahaja bergraduasi beberapa bulan lepas dalam bidang Optometri dan alhamdulillah sudah bekerja sebagai Optometris di sebuah kedai cermin mata yang jaraknya tidak jauh daripada tempat tinggal saya bersama ibu bapa.

Bagi yang tidak tahu apa itu Optometris, Optometris ni adalah seorang pengamal kesihatan mata yang terlatih dan professional. Tugas utama Optometris adalah memeriksa mata dan mengesan masalah penglihatan bagi semua peringkat umur (dari bayi hingga dewasa). Optometris mengesan masalah rabun mata (rabun jauh dan dekat), juling dan mengesan penyakit mata seperti mata merah, glaukoma, katarak, retinopati diabetik dan lain-lain lagi. (Definisi ni saya salin dan tampal dari laman web KKM. huhu. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, boleh Google lagi).

Seorang Optometris boleh bekerja di banyak tempat seperti hospital, pusat Optometri, pusat Optik, pusat LASIK dan kedai cermin mata. Bagi Optometris yang bekerja di hospital, biasanya mereka akan bekerja dengan Oftalmologis (Doktor Mata). Kalau di kedai cermin mata, biasanya kami boleh mempriskripsi cermin mata dan kanta lekap. Kalau ada alat/mesin yang sesuai, kami boleh periksa kesihatan mata juga. Oh, lupa nak bagitahu. Kami perlu ada lesen untuk bekerja sebagai Optometris tau, bukan sembarangan orang boleh periksa mata ni.

Bila bekerja di kedai cermin mata ni, ramai pelanggan yang tanya soalan ni kepada kami.

1. Awak memang belajar bahagian mata ke?
2. Berapa lama dah kerja sini?
3. Awak praktikal ke kat sini? (Mungkin aku nampak macam budak kot. haha)
4. Kerja sementara je ye kat sini?

Kadang-kadang ada juga pelanggan yang macam memandang rendah je pada kami. Ingatkan kami ni ‘budak jaga kedai’ yang biasa-biasa je. Saya tak kisah sangat pun kalau mereka fikir macam tu, yang penting kat sini saya dapat gaji yang okay, alhamdulillah, sesuai lah dengan kelulusan saya berpenat lelah habiskan ijazah selama 4 tahun. Saya tahu, dalam masyarakat sekarang terutamanya di kawasan kampung, mereka tak tahu/ tak didedahkan dengan Optometris ni. Kalau saya tak belajar bahagian ni pun, belum tentu saya tahu Optometris ni wujud kat dunia ni. Huhu.

Tapi tu lah, pandangan orang ni kita tak boleh nak halang kan. Cuma, saya kesian kat ayah saya. Anaknya yang atas2 semua bekerja dalam pejabat. Nampak macam ala2 kerani la kan, walaupun takde lah kerani sangat. Kakak saya yang sulung pun saya rasa gaji dia dalam 3k++. Sebagai anak bongsu, ayah saya nak sangat saya bekerja kat tempat yang bagus sikit, contohnya Hospital la kan. Sekurang-kurangnya, bila orang tanya anak kerja apa, boleh la ayah saya bangga sikit jawab anak dia ni kerja kat hospital kan. Saya pernah dengar ayah berbual dengan kenalan dia, bunyi lebih kurang macam ni lah, “Anak saya belajar Optometri, tapi tu lah, dapat kerja kat kedai cermin mata je”.

Sedih sikit la saya dengar ayah cakap macam tu. Saya tahu, ayah mungkin sedikit kecewa kalau saya hanya bekerja di kedai. Tapi, saya pun dah selesa dan seronok kerja kat sini. Ayah saya dah suruh usha2 hospital kerajaan @ private. Hospital kerajaan tu bukan nak cakap apa la, memang tak mudah nak masuk. Ni pun dah beberapa tahun Optometris baru tak masuk kerja di hospital.

Saya nak jugak lah banggakan ayah saya, tapi tu lah, bila dengar anaknya kerja kedai, macam tak best sangat dengar tau, walaupun gaji best. Takkan la ayah saya nak cakap gaji saya kat orang kan, kalau ayah saya bagitahu gaji, mesti lepas ni pakcik2 tu suruh anak diorang ambil bidang ni jugak. Huhu.

Kerja saya kat kedai ni, bukan setakat periksa mata, saya juga kena repair cermin mata, dan juga kena jual cermin mata, ala2 sales assistant gitu. Satu je benda nak cakap bila dah jadi SA ni: kerja sebagai seorang SA bukan lah kerja yang mudah. Serius weyh. Banyak benda nak kena ingat. Harga, jenis bingkai, material bingkai, asal usul dia dari mana, kelebihan bingkai ni berbanding yang lain, jenis cermin, kelebihan cermin ni berbanding cermin lain, isy macam2 lagi lah. Sama la kalau SA kat kedai lain, kedai fon contohnya, diorang pun ada banyak benda nak kena ingat. Lepas tu, nak berhadapan dengan manusia ni pun bukannya mudah. Yela, manusia kan macam2 ragamnya.

Tujuan tulis confession ni?

1. Nak memperkenalkan orang tentang kewujudan Optometris. Pastikan orang yang mempriskripsi cermin mata/ kanta lekap anda adalah seorang Optometris yang bertauliah.

2. Apa-apa pun pekerjaan orang, tolong jangan pandang rendah.

3. Kepada Optometris, teruskan beri kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan kita dan tentang kepentingan buat pemeriksaaan kesihatan mata.

Saya minta maaf kalau ada salah dan silap sepanjang penulisan ni. Tujuan saya tulis pun bukan lah acah2 saya mewakili semua Optometris di Malaysia ni, ini hanya luahan peribadi saya sahaja. Sekian, terima kasih.

– Cik Optom

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit