Ini pengalaman kehidupan aku. Dan pengalaman aku ini unik. Kebetulan, dalam perjalanan kehidupan aku ni, aku direzekikan untuk berjumpa dengan pelbagai jenis cikgu. Aku anggap ini sebagai warna warni dalam hidup.
Tergerak aku nak menulis disini sebab ada seseorang yang forward video cikgu merakam anak muridnya di kelas. Cikgu tu tanya siapa dekat rumah dia ayahnya pandai masak? Dan ada seorang anak murid menjawab “air ketum”.
Maka ketawalah seisi kelas tersebut. Dan lebih menyedihkan, viral pulak video tu sampai kepada saya.
Sakitnya la hati…
Untuk perkara-perkara begini ya, cikgu-cikgu sekelian, kadang-kadang kita rasa lucu, kita excited nak sebarkan kepada orang lain, tapi kita sebenarnya dah buat maruah dan keyakinan anak ini jatuh.
Apalah yang bakal anak tersebut hadapi di rumah. Kalaulah benar ayahnya begitu, dan ayahnya baran, tak ke anak ini juga yang terima akibatnya.
Dan kalau ayah ini tak begitu pun, tidakkah cikgu dah buat keluarga anak ini malu. Perlakukan anak-anak ini sebagai seorang manusia selayaknya. Punya hati, punya perasaan dan punya maruah. Yang mana perkara ini akan ada kesan sepanjang anak ini membesar.
Aku teringat masa aku darjah 2. Dalam kelas aku ada seorang anak peniaga. Bajunya comot, rambutnya kusut berkutu, giginya berkarat kuning tidak dogosok, kurus kering sahaja badannya. Aku sangat kasihan tengok kawan ini.
Dia jadi begitu sebab mak ayahnya peniaga. Dua-dua bekerja. Ayahnya kadang-kadang ke laut menangkap hasil laut.
Ibunya akan menjual dengan menaiki motor dari rumah ke rumah orang-orang kampung untuk menjual hasil tangkapan sang suami.
Jika hari Khamis, keduanya akan berjual di pasar malam pula. Mak aku merupakan pelanggan tetap ibunya. Aku ni makan hasil laut dari hasil tangkapan ayahnya.
Disebabkan penampilannya dan adik beradiknya yang tak terurus itu, dia selalu diserang oleh seorang cikgu perempuan yang senior di sekolah.
Aku tak kisah pun kalau cikgu tegur pasal kebersihan, perlu mandi bersih, potong kuku, gosok gigi. Memang patut pun cikgu beri galakkan begitu.
Yang aku agak terkilan bila cikgu sampai melibatkan mak ayahnya. Jual kerang busuk la, geli la, “sebab tu kamu pengotor sebab mak bapak kamu kotor”. Macam tuduhan pulak. Padahal kalau mak aku beli kerang dari mak dia, sedap je. Fresh lagi. Sebab baru naik dari laut.
Aku yang baru nak berkawan dengan budak tu pun kena kecam dengan kawan-kawan yang lain. Eeeee ko tak geli ke nak kawan dengan anak penjual kerang busuk tu?
Sampaikan gelaran kerang busuk tu melekat dekat dia. Kesian dia takde kawan. Aku nak kawan pun kena hina dengan orang. Sudahnya dia selalu sangat ponteng sekolah.
Jarang sangat jumpa dekat sekolah sebab selalu tak datang. Bila tak datang tu, berbakul lagi lah makian cikgu kepada mak ayahnya.
Di episode yang lain pula, guru yang lain. Seorang cikgu lelaki yang suka mencarut. Cikgu matematik. Asal mengajar je, semua jenis panggilan untuk alat sulit lelaki mahupun perempuan mesti tak lepas dari mulut dia ni.
Boleh cikgu tu minta anak murid perempuan dia, (aku lah tu) tanya kepada cikgu Bahasa Melayu yang juga seorang cikgu lelaki, “Penjodoh bilangan untuk jagung, setongkol ke seko****?”
Kurang ajar kan cikgu tu. Waktu cikgu tu suruh aku tanya, aku memang tak faham apa. Budak darjah dua, tahu apa? Bila dah besar-besar ni baru aku faham. Adakah itu dikira sebagai grooming?
Kalaupun nak bergurau dengan rakan sekerja, agak-agaklah. Kau tu cikgu kot. Orang lain ni memandanng cikgu ni sebagai sosok yang terhormat. Dan jenaka lucah cikgu itu tak lucu pun.
Kemudian, darjah tiga, untuk subjek pendidikan seni, aku jumpa lagi sorang cikgu lelaki muda dan bujang. Selain pendidikan seni, cikgu tu ajar pendidikan muzik.
Pernah satu hari subjek pendidikan seni, kami kena buat anyaman tikar. Kami potong kertas warna pakai pisau lipat yang 20 sen tu. Aku ni banyak kali luka tangan kalau guna pisau tu. Jadi aku jadi hati-hati sampaikan potongan kertas warna tu jadi tak lurus.
Bila cikgu nampak hasil kerja aku, dia marah “Bodoh betul lah budak ni, buat benda ni pun tak tahu”. Allah..malu gila rasanya. Satu kelas dengar.
Hari tu aku tahan je sebab dipanggil bodoh oleh cikgu tu. Balik rumah aku menangis. Sudahnya kakak aku tolong buatkan anyaman tikar tu. Aku jadi hilang confident. Tapi lepas tu, kakak aku yang baik selalu bagi semangat, jangan mudah kalah dengan mulut jahat.
Sejak saat itu, akulah jaguh dalam pendidikan seni. Saban minggu hasil kerja aku yang akan di tampal di papan informasi kelas. Belum lagi cikgu yang sama juga merayu untuk aku jadi wakil sekolah untuk pertandingan melukis.
Di sekolah agama pula, ada seorang ustazah ni, suka bercerita tentang anak-anak dia yang bijak pandai. Mungkin untuk menaikkan motivasi pelajar di kelas kami barangkali. Sebab memang anak-anaknya pandai-pandai.
Tak nafi pun. Cuma aku pernah terasa bila ustazah tu pernah cerita, satu hari suami dia beli ikan longgok murah-murah dekat pasar. Dia buka bungkusan ikan itu dan dia beritahu pada kami yang ikan itu ikan perut pecah. Dia geli dan tak lalu nak makan sebab ikan pecah perut. Tak layak dimakan manusia.
Padahal sebelum ustazah cerita, hari itu ayah aku bawa ikan dan perutnya dah pecah. Emak aku goreng ikan itu dan kami nikmati seisi keluarga. Bila ustazah bilang begitu, aku jadi confuse.
Teruk sangat ke makanan kami? Aku tanya mak, dan mak cakap, rezeki jangan dibuang. Kesian abah penat kerja nak bagi kami makan. Abaikan kata-kata ustazah. Dari situ aku belajar yang manusia ini hidup punya pelbagai kelas yang berbeza.
Bila sampai darjah enam, jumpa seorang cikgu lain. Cikgu tu pernah cakap, alah..awak tak payah belajar sampai university. Belajar tu takat sampai SPM je. Lepas tu kerja kilang, kahwen dan jaga anak.
Memang cycle cliché untuk wanita yang tinggal di kampung aku. Kenapa cikgu tak menggalakkan anak-anak perempuan ni belajar tinggi? Menuntut ilmu didik anak-anak supaya jadi generasi yang lebih baik.
Adakah cikgu ini cuba nak cuba pujuk hati anak-anak yang tak berapa minat belajar bahawa ada jalan lain dalam hidup ini? Begitulah aku cuba berfikir yang baik-baik sebab dia seorang cikgu.
Namun, tak semua guru yang aku jumpa negative. Ada juga cikgu yang aku sayang. Sampai sekarang aku sayang. Cikgu Hasri, betapa dia selalu menilai anak muridnya melalui kelebihan individu itu sendiri.
Cikgu Hasri pernah tulis nama-nama kami anak muridnya di papan informasi kelas, dan disebalah nama kami dia tulis kelebihan kami. Contohnya nama aku Aisyah-Seorang yang berwawasan.
Azwin-Seorang yang berusaha keras. Suziana-Seorang yang rajin dan pembersih. Aku sangat terkesan dengan perhatian yang cikgu Hasri beri kepada kami semua.
Ada juga ustazah yang baik hati dan lemah lembut, selalu ingatkan kami tentang keindahan syurga. Asalkan masuk kelas ustazah akan ulang tanya, ‘anak-anak rindu nak ke syurga?’
“Kalau rindu anak-anak kena jadi orang baik ya”, “Allah tak tengok kamu pandai, Allah tengok kamu punya kebaikan. Kita masuk syurga sebab rahmat Allah”. Seronok belajar dengan ustazah ni.
Bila sudah berusia melepasi tempoh masa belajar secara rasmi ini, aku sedar hakikat yang manusia itu bukan malaikat. Terhormat macam mana pun cikgu tu, dia tetap bukan malaikat.
Cikgu juga punya kelemahan. Punya sisi-sisi kelemahan sebagai seorang manusia yang alpa. Dan disebabkan itu, jika ada rezeki aku menjadi pendidik juga, segala cerita dan kenangan aku berguru ini akan aku jadikan panduan dan sempadan buat diri.
Mungkin cikgu tak sengaja, tapi saya harap cikgu sempat sedar akan kesilapan dan baiki kekurangan. Untuk cikgu-cikgu, mendidiklah dengan sewajarnya. Tugas cikgu tugas yang mulia. Jangan dicalit arang pada kemuliaan pekerjaan ini dengan hawa nafsu.
Maafkan saya cikgu. Cikgu, mendidiklah dengan benar!
– Aisyah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit