Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Terima kasih kepada admin kerana menyiarkan cerita saya.
Saya cikgu D yang telah menghantar confession Taknak Kahwin vs Tiada Jodoh (https://iiumc.com/tak-nak-kahwin-vs-tiada-jodoh/).
Terima kasih banyak kepada semua yang telah meninggalkan komen juga mendoakan saya. Alhamdulillah saya gembira dengan hidup saya dan insyallah pada tahun 2025 saya akan menunaikan haji.
Sebenarnya saya telah mendapat panggilan haji pada 2016 tetapi permohonan ditolak kerana tiada mahram. Pada 2025 saya akan berumur 46 tahun dan boleh menunaikan haji tanpa mahram.
Disini saya mahu menceritakan kisah saya semasa saya mula-mula menjadi guru.
Masa tu umur saya dalam akhir 20-an. Darah muda orang kata. Diri saya penuh dengan ‘kegairahan’ semasa mengajar anak-anak murid saya. Lebih-lebih lagi saya mengajar kelas peperiksaan.
Kalau anak-anak tak siap kerja sekolah, rotan atau pelempang saya bagi (selalu bagi rotan). Kalau anak-anak yang tak faham-faham saya ketuk meja kuat-kuat sampai tangan saya sakit. Diri saya macam kena rasuk.
Ibubapa anak-anak murid pula tak pernah report jadi galaklah saya mendenda murid.
Dua perkara sahaja yang tidak pernah saya lakukan iaitu membaling buku murid walau tak siap dan memanggil murid dengan gelaran yang tidak baik seperti bodoh dan sebagainya.
Tahu tak, walau saya bagi hukuman tapi prestasi sains sekolah setakat 90% sahaja. Tidak juga saya mendapat 100%. Itupun, sudah saya bangga gila.
Pada tahun 2015, saya telah melempang seorang murid lelaki. Ibunya telah menelefon saya dan mengatakan akan membuat laporan polis.
Padan muka saya, selama ni, saya ingat saya selamat akhirnya ada juga ibubapa yang akan melaporkan saya.
Saya meminta maaf kepada ibu murid tersebut. Alhamdulillah beliau memaafkan saya dan mengingatkan supaya tidak menggunakan kekerasan kepada anak beliau.
Setelah kejadian tersebut, saya juga tidak meminggirkan murid tersebut dan masih mengajarnya seperti murid lain.
Saya tidak berdendam kepada dia dan dia juga tidak berdendam pada saya. Selepas itu juga saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak melempang murid-murid.
Rotan pun saya gunakan untuk merotan meja sahaja. Yelah tangan saya pun tak sakit sebab saya perasan selepas saya melempang murid, mesti satu badan saya sakit-sakit.
Saya hairan, pada tahun tersebut sains sekolah saya naik menjadi 92%. Saya ingat tak guna pelempang dan rotan semakin merudum prestasi sains. Rupanya terbalik!
Untuk tahun seterusnya saya mula memikirkan tindakan yang saya perlu lakukan. “Kalau aku tak guna rotan, macam mana nak buat murid siap kerja sekolah”, fikir saya.
Jadi saya mulakan dengan membeli sebalang gula-gula. Kalau murid siap, mereka boleh ambil satu biji gula-gula.
Tahu tak, selepas itu, tiada lagi murid yang tak siap kerja rumah. Taktik ini juga saya gunakan pada kelas yang lain.
Hubungan saya dengan murid-murid juga bertambah baik. Murid tak takutkan saya lagi. Mereka buat saya macam kawan.
Bila saya lalu di kantin, murid yang membawa bekal akan menawarkan saya makanan mereka. “Cikgu D ambillah makanan saya”, pelawa mereka.
Tapi tak sampai hati pula nak ambil. Kadang-kadang, saya berjanji kalau dapat 60% markah sains dalam peperiksaan pertengahan tahun contohnya, saya akan belanja sorang RM2.
Aduh, rupanya lebih 15 orang yang mencapai target. (Murid saya dalam 30+ satu kelas dan ada satu kelas dalam setiap tahun).
Alhamdulillah jika banyak bersedekah pada budak kecil, berkat jadinya. Tahu tak, pada tahun tersebut prestasi sains 100% dan tiada murid yang tak lulus.
Paling kelakar ada murid mendapat 5E1C dalam upsr dan C tersebut adalah sains. Selain itu, bilangan A juga meningkat.
Dari 30+ murid, 5-6 orang murid mendapat A, sekolah yang punya 300 orang calon, hanya 3 orang mendapat A.
Sekarang dah 5 tahun prestasi sains 100%. Ya Allah, besarnya nikmatMu.. perkara tersebut tidaklah membuatkan saya bangga gila tapi adalah bangga sedikit.
Tahun-tahun seterusnya saya tidak hanya memberi gula-gula, saya berikan buku nota, pensil 2B dan mekanikal (sebab murid saya suka pensil ini) dan lain-lain pada kategori tulisan cantik, perbentangan terbaik, dan macam-macam kategori yang saya cipta sendiri.
Masih saya ingat, ada murid yang mengatakan pada saya dia sayang cikgu D sebab cikgu D baik dan paling kelakar sebab saya pandai sains dan suka buat eksperimen.
Mereka ini kalau saya buka mulut, “hari Khamis nanti waktu sains, awak bawa……”, belum lagi saya menghabiskan ayat dah menjerit gembira.. tak sabar nak buat aktiviti sains. Kalau orang lain tengok mesti kutuk.
Yelah bukan hebat pun aktiviti tersebut, tapi bagi murid-murid ianya satu perkara yang membuatkan inkuiri mereka terbuka. Lepas tu, jenuhlah saya nak menjawab,
“Cikgu D, kenapa dia punya jadi macam ni, saya macam tu”. Pening nak melayan 30+ pertanyaan. Itu baru satu kelas sahaja, belum kelas yang lain. Yang melayu ke, yang india ke semua teruja.
Sekarang saya lebih gembira mengajar berbanding dahulu. Dahulu asyik stress sahaja.
Dahulu, tak pernah murid memberi saya kuih raya semasa perayaan Aidilfitri dan Deepavali. Sekarang berbalang kuih raya saya terima. Bukan hadiah yang saya mahu dari murid-murid.
Hari guru pun saya dah pesan jangan beri cikgu hadiah. Namun, berplastik-plastik juga saya terima.
Walau saya bukan guru kelas atau guru bertugas, mereka masih merepot pada saya jika kawan buat salah atau tercedera. Cara saya merawat kawan mereka yang berdarah pun buat mereka admire saya.
Itulah hadiah buat saya setelah saya tak nak garang-garang lagi.
Kepada bekas anak-anak murid semasa cikgu garang dahulu, cikgu betul-betul mohon keampunan pada kamu semua. Cikgu sayangkan semua murid cikgu dan cikgu doakan agar kalian berjaya menjadi manusia berguna untuk keluarga, agama dan masyarakat.
Akhir kata, maaf kalau cerita ini membuat semua marah atau tak best. Sekian.
– Cikgu D (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit