Assalamualaikum, Hai semua. Aku Yollek, lelaki usia lingkungan 20an yang masih membina kerjaya dan hidup.
Sebelum ni pernah jugak confess dekat sini so, thanks admin yang cantik sebab approved.
Tengah aku free2 termenung tadi aku terfikir pulak pasal parents, haha. Dan benar bagai yang ditulis pada tajuknya, ini adalah tentang cinta Ayah kepada Ibu. (Cuba untuk puitis kah kah)
Ayah seorang staf kerajaan yang biasa2 sementara ibu isteri sepenuh masa. Waktu kecil ku selalu melihat ketegasan ayah dengan raut wajah dan misai yang nampak garang bagi anak2 yang memandang.
Namun jangan menilai orang dari sampulnya, hakikatnya Ayah adalah insan bertanggungjawab disebalik ketegasannya.
Jika diimbas kembali pada zaman 2000-an dahulu, kebanyakan sosok ibubapa tidaklah seperti hari ini yang lebih lembut dalam mendidik.
Ayah baik dan tenang pada hari kebiasaannya persis aliran air di sungai yang sejuk dan nyaman.
Memarahi Ibu bukanlah satu perkara kebiasaan dan amat amat jarang berlaku seingat memoriku membesar sehingga kini.
Walaupun ketika zaman itu Ibu adalah insan yang kuat membebel, marah-marah, dan kalut dalam banyak perkara (typical mom hahaha).
Namun Ayah tetap tenang mengawal keadaan walaupun tanpa mengeluarkan suara yang banyak untuk membalas.
Ayah seolah-olah tidak membalas setiap perkataan namun tak juga dengan perbuatan. Ayah cukup mengiyakan dan cuba memperbetulkan keadaan.
Jika punca kemarahan itu adalah dari anak-anaknya yang nakal, cukup Ayah menegur membuatkan kami berpeluh sejuk.
Selalu juga aku dikejar dengan ranting dahan oleh Ayah kerana kerap berbuat onar dikala waktu menjelang maghrib.
Pernah juga abang2 ku dikejar kerana tidak mendengar kata, namun itu semua hanya perkara biasa yang berlaku dikalangan anak2 nakal ini.
Namun dengan Ibu, Ayah tetap setia menjadi penjaga, pelindung, penasihat dikala susah dan senangnya kehidupan ketika itu.
Pernah suatu ketika Ibu difitnah dan dicaci oleh seseorang hingga menangis, Ayah bergegas pulang tanpa banyak soal dan memarahi insan tersebut dengan satu perwatakan yang tak pernah pernah dilihat sebelumnya.
Bercakap pasal Ibu pula, Ibu berasal dari keluarga di bandar yang mana waktu mudanya adalah seperti didalam filem Roy roy hati kau keras (haha apa tajuk eh tu).
Melihat album2 lama Ibuku ketika muda kelihatan sangat ranggi, tipikal gaya2 gadis bandar pada zaman 80-an.
Satu perkara yang aku sangat kagum hingga ke harini ini ialah bukti cinta mereka dimana Ibu sanggup meninggalkan segala kehidupan bandar dan berpindah ke kampung bersama Ayah.
Ibu pernah memberitahu dia berasa janggal diawalnya, namun akhirnya dia menjadi suka. Ibu tak kisah memulakan hidup baru di luar bandar bersama Ayah.
Sekalipun sejak lahir, aku tidak pernah mendengar Ibu merungut atau bercerita merindui/menyesali kehidupannya.
Pembuktian Ayah sebagai suami menjadi kayu ukur untuk aku sebagai lelaki, dan kesanggupan Ibu sebagai isteri menjadi doaku agar dipertemukan jodoh sebegini, yang memahami dan rela berkorban.
Mungkin sampai situ dulu coretanku, sekadar meluah memori yang berada di fikiran.
– Yollek (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Saya yakin adik akan mendapat jodoh terbaik sebab adik berusaha untuk jadi yg terbaik. Orang baik hanya untuk orang baik