Assalamualaikum semua pembaca di sini. Di sini aku nak ceritakan sikit pengalaman aku. Kalau baca dari tajuk mesti korang akan faham. Aku manusia biasa juga. Dan hingga sekarang masih bujang.
Memang masalah aku ni, masalah yang sama saja diceritakan di sini. Cuma, aku nak juga sedikit nasihat dan doa dari kalian. Aku segan nak ceritakan semua ni pada orang lain. Yang aku selalu gagal.
Macam tajuk tadi, ya 19 kali cinta aku ditolak. Bukan orang yang sama. Orang yang berbeza. Sejak umur aku dah boleh cari pasangan, aku mulakan langkah pertama. Dan 19 kali tu merupakan satu tempoh masa yang panjang.
Bila ada yang nak berkawan dengan aku, aku silakan dia masuk untuk fasa tu. Dalam masa yang sama, setiap perkenalan, aku niatkan untuk akhiri dengan pernikahan. Sebab aku tak mau ada hubungan yang sia-sia saja.
Dan semua lelaki yang pernah berhubungan dengan aku, aku sentiasa jaga batas.
Tak pernah kami keluar berdua, bermesej dengan lucah, tiada panggilan sayang dan tidak berlebihan. Cuma aku ikut pesan mak aku, kawan dulu. Dan usahakan ke arah hubungan yang halal.
Hingga macam-macam juga aku usaha. Tuntut ilmu sebagai isteri dan ibu. Belajar memasak. Cari duit sampingan. Belajar untuk tentang kewangan dan simpanan. Supaya aku sendiri lebih matang.
Dan paling penting, aku tak akan tinggal istikharah. Sebab hanya Allah saja tempat aku berserah dan menentukan takdir aku.
Tapi setiap yang aku jalinkan, mesti akan terputus. Banyak faktor. Kebanyakkan ada orang lain. Hampir semua begitu.
Ada juga yang tiada masalah apa-apa, lepas tu minta untuk putus. Katanya aku tiada dalam istikharah. Walaupun sudah hampir ke arah pernikahan.
Sakit sangat bila dijadikan begini. Tapi aku tak putus asa. Berkawan, putus, kecewa dan aku ambil masa untuk tidak memulakan hubungan baru. Tapi bila aku dah mulakan, aku akan hadapi kitaran yang sama.
Setiap kali nak mulakan dengan orang baru setelah ambil masa untuk move on, aku bersangka baik. Sangkaan aku, mungkin ini pengganti yang lebih baik. Tapi hingga sekarang, semuanya berakhir dengan kecewa.
Satu kali putus cinta tu memang sakit. Dan didarabkan pula dengan 19 kali. Hanya Allah saja tahu bagaimana tanggapan dan kecewanya aku pada lelaki. Sakit sangat bila berdepan dengan move on.
Kadang-kadang aku memang dah tak nak. Dah tak rasa nak kawin. Dah tak rasa nak bercinta. Dah tutup hati. Tapi keluarga terutamanya mak aku selalu desak berkawan dengan lelaki ini dan ini.
Aku ikut cakap mereka. Tapi akhirnya aku yang ditinggalkan. Aku segan nak beritahu yang aku gagal lagi.
Aku diam. Mak abah aku cakap aku jual mahal, sebab tu hubungan tak pernah menjadi. Sedangkan aku dah usaha macam-macam untuk buktikan aku serius dalam hubungan, tapi akhirnya aku selalu kena tinggal.
Guna orang tengah pun, masih gagal. Guna secara langsung, apatah lagi. Mungkin salah satunya aku memang tak lawa. Hingga aku fikir, buruk sangat ke aku.
Aku pakai purdah. Sebab bagi nak tutup aib di muka aku. Dalam masa yang sama, aku nak juga jadi orang solehah.
Di sekeliling dan dalam keluarga, aku dikenali sebagai orang yang sopan, lembut dan agak outspoken sejak dari zaman universiti lagi.
Kira masa zaman aku belajar dulu, aku memang dikenali dengan orang yang sangat aktif dan kehadapan hingga sekarang bila dah kerja aku masih dikenali dengan watak sebegitu.
Tapi tipulah kalau tak rasa nak juga berkeluarga. Umur aku pun dah cecah dan fasa wajib. Tapi itulah. Aku dah rasa fobia. Takut. Dan aku rasa aku takkan berjumpa dengan jodoh di dunia.
Cukuplah 19 kali pengalaman yang menyakitkan dalam tempoh yang lama. Tapi mak aku selalu harap. Dia nak cucu. Dia nak aku kawin. Dan macam-macam la.
Walaupun ada rasa nak berkeluarga semua. Aku masih boleh positifkan diri untuk bahagia dengan cara aku sendiri.
Dan aku sangat-sangat overthinking dan trauma sangat-sangat kalau disuruh untuk mulakan hubungan baru dengan mana-mana lelaki.
Minta nasihat dan doa dari semua orang.
– Hana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit