Hi semua. Terima kasih admin kerana sudi siarkan luahan hati saya ini.
Dah lama saya membaca dan dah lama juga ingin berkongsi. Tapi saya amat tertarik dengan kisah First Love (https://iiumc.com/first-love/) yang dikongsikan baru baru ini.
Kisah Farah dan Farhan amatlah dekat dihati saya. Kasih yang tidak kesampaian. Cinta yang mahal.
Saya kenalkan diri saya Siti. Umur 30an dan mempunyai sepasang anak yang sangat bijak dan comel. Suami saya Zaid sangat baik dan sangat penyabar.
Sangat membantu dalam hal ehwal rumahtangga. Airmata saya pasti mengalir jika teringat segala kebaikan dia dan mengenang siapa yang masih menghuni dihati saya.
Zaid bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi atau yang alim tapi dia lebih utamakan keselesaan dan kebahagiaan keluarga kecil kami.
Saya akur dengan segala kebaikan dia walau lumrah kehidupan ada pasang surutnya.
Sudah hampir sepuluh tahun Muhd menghuni hati ini. Entah bagaimana harus saya hilangkan namanya dari kamus hati saya. Bermacam cara saya cuba.
Berkali kali saya berdoa agar Allah hilangkan perasaan ini kerana Allah telah berikan suami yang terbaik untuk saya.
Saya tidak ada niat untuk sakitkan hati suami cuma saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk matikan Muhd dari hati saya.
Muhd adalah manusia pertama saya cintakan kerana Allah, bukan kerana cinta dunia dan teramat sukar untuk saya hilangkan segala kenangan bersama dia.
Pertama kali saya jumpa Muhd ketika saya berdoa agar Allah permudahkan urusan dunia yang terlalu rumit ketika itu.
Selesai doa, Muhd lah orang yg pertama saya lihat dan hilang segala bebanan dunia ketika itu. Sedikit pun tidak terasa beban yang saya pikul. Hati saya tenang melihatnya.
Entah kenapa saya mencari cari dia walau belum mengenalinya. Tapi hati ini tenang ketika dia berada disisi.
Dipendekkan cerita, ketika pulang ke tanahair, Muhd hilang. Walau ada perasaan sayu, saya akur kebahagiaan yang bersifat sementara.
Tidak lama selepas tu, saya terima panggilan yang amat mendebarkan di talian pejabat saya. Hairan dari mana Muhd tahu nombor pejabat saya, dimana saya bekerja dan sebagainya.
Kami mula berhubung semenjak itu walau Muhd tenggelam timbul. Sepanjang perkenalan kami, Muhd tidak memberi ruang untuk cinta.
Yang ada hanyalah kesakitan tapi masih saya bertahan. Ketika saya rasa mungkin ‘bukan dia’, mungkin saya harus pergi mencari jodoh yang sebenar, Muhd pasti akan muncul kembali seperti tiada apa yang berlaku.
Berkali kali ianya terjadi sehingga satu hari saya terjumpa Zaid dan dia menjadi ‘mangsa keadaan’. Saya tidak memberi peluang Zaid mengenali saya kerana tidak mahu kecewa lagi.
Zaid seorang yang sangat berani menyahut cabaran. Kami bernikah tanpa saling mengenali. Zaid sangat sabar sehingga saya berlembut hati.
Walau saya akur dia suami kiriman Allah, dia baik, dia sabar, hati saya masih ada Muhd. Saya cuba untuk hilangkan perasaan untuk Muhd, saya cuba untuk jadi isteri yang baik untuk Zaid.
3 tahun alam perkahwinan kami, Muhd muncul bertanya khabar. Hati saya masih berdebar. 3 tahun masa yang tidak cukup untuk saya lupakan Muhd.
Sejak dia muncul kembali, dia adalah Muhd yang sangat beza. Dia sangat baik dan sabar dengan saya. Dia ada disetiap dugaan hidup saya.
Muhd menjadi kekuatan saya menempuh ujian dunia. Jika saya ada masalah dengan Zaid dia lah yang akan tenangkan hati saya dan ingatkan saya akan segala kebaikan Zaid.
Dia selalu akan cuba pertahankan rumahtangga saya dan Zaid walau kadang saya mencari alasan untuk kembali bersama Muhd tapi dia akan selalu ingatkan saya untuk menjadi isteri yang baik untuk Zaid.
Saya tahu Muhd sayangkan saya dan ingin saya menjadi yang terbaik dan bahagia walau bukan dengannya. Dia selalu ingatkan saya impian saya untuk masuk syurga.
Satu ketika saya berasa sangat takut kerana hampir setiap hari saya mimpikan Muhd. Takut seolah olah itu petanda jodoh saya bersama Zaid akan berakhir.
Saya sepatutnya gembira kerana akhirnya dapat kembali bersama Muhd tetapi saya berasa takut kehilangan Zaid.
Dan ketika itu saya akur saya lebih menyayangi rumahtangga saya daripada Muhd. Berhari hari saya berdoa agar Allah jangan pisahkan saya dengan Zaid untuk kembalikan Muhd kesisi selagi hayat dikandung badan.
Biarlah saya terkilan dan sengsara menanggung rindu daripada saya tidak dapat bahagiakan Zaid yang telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga.
Sekarang setelah hampir 7 tahun Muhd sentiasa ada, dia mula menghilangkan diri. Tetapi saya tidak lagi marah atau kecewa dengan kehilangannya kali ini walau masih rasa sayu dan rindu padanya.
Rindu dia menyuruh saya istighfar, solat, ingat Allah.. Bagaimana saya boleh melupakan Muhd yang mendekatkan saya pada Allah.
Doakan saya kuat untuk menjadi isteri yang baik kepada Zaid dan semoga pekahwinan kami kekal sehingga akhir hayat.
Doakan juga Muhd bahagia dengan kehidupan dia dan jangan dia menjadi sebab hancurnya rumahtangga saya bersama Zaid.
Doakan satu hari saya berjaya lupakan cinta hati saya walau sudah hampir sepuluh tahun belum berjaya lagi.
Muhd sudah sebati dengan hati saya. Benar kata Muhd hampir sepuluh tahun yang lalu, suami yang akan datang itulah ujian terbesar saya.
Untuk saya setia, untuk saya sayang, untuk saya jadi isteri yang baik untuknya. Bukan mudah jika soal hati walau akal tahu tapi hati susah untuk redha.
– Sitikus (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit