Saya ingin bercerita mengenai cinta dan keikhlasan menjangkaui nafsu.
Saya seorang yang bertuah kerana mempunyai suami yang terima saya seadanya baik dari sikap, latar belakang, baik buruk, tubuh badan, semasa sihat dan semasa sakit.
Kami mempunyai chemistry yang bagus diawal perkahwinan kami sering menonton cerita di ruang tamu bersama-sama, berdua dan seronok di alam rumahtangga.
Masalah mula timbul apabila saya hamil dan mengalami perubahan tubuh badan. Saya mula sedar suami tidak berminat untuk memegang tubuh badan saya iaitu buah dada secara tepat sekali.
Di dalam keluarga suami ada sejarah kanser payudara.
Saya tidak tahu jika ini puncanya tetapi cukuplah saya pendekkan cerita suami enggan ke sesi kaunseling di pejabat agama.
Selepas beberapa tahun anak sudah membesar kami masih tidak kembali ke hubungan seperti suami isteri yang biasa.
Saya tidak hairan dikata orang kerana saya ada pengakuan suami cuma saya berasa tidak selesa kerana tiada sesiapa pun menganggap perkara ini normal.
Saya pernah tanya suami secara terus-terang adakah beliau bernafsu songsang kerana sejujurnya saya bukanlah terlalu kisah jika mempunyai madu. Saya bukanlah seorang yang mudah cemburu asalkan tiada apa-apa hak saya yang terusik.
Saya bertanya suami jika ada orang lain selain saya. Namun begitu yang menghairankan saya ialah adakah wujud lelaki di dunia ini yang tidak mahu menyentuh isteri di hadapan mata dan tidak suka untuk menyentuh apa-apa yang selalunya disukai lelaki?
Saya berasa hairan kerana sebelum saya melahirkan kami adalah pasangan suami isteri yang normal. Saya juga telah menguruskan badan selepas bersalin.
Saya ingin memohon fasakh tetapi saya juga memikirkan hanya suami yang sudi terima saya di waktu susah senang dan pelbagai lagi cabaran lain seperti membesarkan anak dengan status ibu tunggal.
Kerisauan saya dirasakan berasas kerana sepanjang saya membesar saya pernah diganggu lelaki nakal dan suami tahu mengenai perkara itu namun tetap mengasihi saya.
Saya sayangkan suami saya tetapi saya tidak sanggup untuk hidup dalam 20 ke 30 tahun akan datang dalam keadaan sangsi begini kerana masalah telah berlaku beberapa tahun.
Saya juga gusar untuk terlalu beramah mesra dengan kenalan berlainan jantina kerana saya tahu suami sedar akan kedudukan rumah tangga ini yang bagaimana.
Saya tidak mahu sebarang salah faham yang boleh membawa masalah kepada hidup orang lain kerana hal rumah tangga saya.
Mujurlah suami bukan jenis yang cemburu orangnya tetapi saya sedar saya masih berstatus isteri orang. Saya juga sedar mustahil untuk sesiapa menyukai saya kerana saya sudah beranak 2 dan bukanlah terlalu cantik persis model.
Saya yakin jika ada orang mengetahui hal ini lelaki yang rapat dengan saya boleh disalah anggap. Jadi saya memohon maaf jika saya sedikit sombong tetapi itu cumalah di dalam hati saya yang tidak terluahkan kepada mana-mana lelaki.
Apa yang patut saya lakukan kerana suami enggan bercerai dan berkata mengapa saya sanggup untuk berpisah.
Saya mahu berpisah kerana saya risau sebarang penyakit. Tetapi kerana saya tidak dipaksa suami untuk melakukan maka itu bukan menjadi masalah setakat ini.
Jujurnya saya tidak sanggup jika suami bernafsu songsang kerana saya rasa tidak normal jika suami mempunyai orang lain sekalipun berdasarkan dengan sikap terhadap saya.
Saya rasa lelaki secara fitrahnya akan suka untuk bersama wanita apatah lagi jika mempunyai lebih dari seorang isteri dan isteri belum umur menopause.
Patutkah saya berpisah kerana kesangsian ini atau saya terus berkahwin dengan lelaki yang telah menerima saya seadanya kerana belum tentu saya akan berjumpa lelaki lain yang bersikap begini terhadap saya. Kami sudah berkahwin lebih 9 tahun.
Saya tidak mahu bercerita kepada kawan-kawan kerana saya tidak mahu dianggap insan kesepian dalam perkahwinan.
Terima kasih suami tersayang walaupun jika kita ditakdirkan tiada jodoh di kemudian hari saya sentiasa menganggap suami seorang yang istimewa dan kawan terbaik dalam hidup saya.
Sejujurnya sebagai seorang yang berfikiran terbuka, saya boleh berkawan dengan semua tanpa mengira orientasi nafsu tetapi kali ini saya perlu berjuang untuk kebahagiaan sendiri kerana saya mahu hidup normal tanpa sebarang kesangsian yang tidak terjawab.
– Intan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit