Cinta Pertama: Kebetulan atau Ujian

Ramai yang akan pandang serong apabila mereka yang telah berumahtangga masih mengingati cinta pertama.

Saya amat memahami perasaan yang dilalui oleh confessor yang bernama Puteri Maya (https://iiumc.com/izinkan-ku-ceritakan-kisah-aku/) kerana saya juga melalui perkara yang sama.

Saya juga bukan seorang yang suka melayan perasaan. Bukan juga penggemar drama cintan cintun sama ada melayu, korea atau novel. Tetapi cinta pertama ini seolah-olah tidak sedikit pun hilang dari kotak fikiran saya.

Saya bersekolah menengah di sekolah perempuan. Oleh itu, saya memang tak pernah mempunyai rakan lelaki.

Selepas SPM saya melanjutkan pelajaran diperingkat diploma di IPTA di selatan tanahair. Di situ lah pertemuan saya dengan cinta pertama saya dan merupakan cinta pertama si dia juga.

Si dia yang saya namakan F mempunyai ramai peminat. F mempunyai wajah dan perwatakan yang boleh mencairkan hati ramai pelajar perempuan. Apatah lagi, majoriti pelajar yang mengambil kursus kami adalah perempuan.

Dipendekkan cerita, F gagal masuk ke semester ke-4 kerana mendapat pointer yang sangat rendah. Kemudian dia pulang ke Klang (ibubapanya tinggal di sini) dan menyambung pengajian di kolej swasta.

Walaupun jauh, kami masih berhubung dan setia.

Setelah tamat diploma, saya menyambung ke peringkat ijazah di Shah Alam. Hubungan kami masih baik. F merupakan seorang yang panas baran dan kerap memarahi saya. Namun kami masih setia.

Kami telah mengenali ibubapa dan keluarga masing-masing. Ketika cuti umum, orang tuanya kerap mengambil saya di rumah sewa untuk menginap di rumah mereka.

Hubungan kami mula bergolak apabila memasuki tahun ke-7 dan kami telah bekerja kerana F diminati oleh seorang gadis yang tinggal berhampiran dengan rumah sewanya. F yang panas baran sering menengking saya apabila saya menyatakan yang saya cemburu.

Pertengkaran demi pertengkaran yang berlaku membawa kepada perpisahan. Perpisahan kami tanpa kata sepakat. Kami hanya menjauhkan diri dan tidak menghubungi antara satu sama lain.

Mungkin juga ketika itu kami berjiwa muda dan masing-masing mahu mempertahankan ego. Saya akui, saya juga mempunyai perwatakan yang menarik. Ketika itu, sangat ramai jejaka yang ingin mendampingi saya dan saya melayani mereka.

Boleh tonton wayang free dan makan orang belanja. Sapa tak nak kan? Haha… Itu lah yang saya fikir ketika itu. Darah muda dan dalam waktu yang sama saya ingin buktikan yang ‘market’ saya masih sangat tinggi.

Setahun kemudian, saya telah dilamar oleh seorang jejaka dan itulah jodoh saya. Ketika bertunang, saya berpindah kerja ke Kelana Jaya. Rupa-rupanya, ofis saya berdekatan dengan ofis F. Dan setiap hari jugalah kami berjumpa. Tetapi kami tidak pernah bertegur sapa.

Mungkin F menghormati saya yang telah menjadi tunangan orang atau mungkin juga saya lihat dia selalu bersama seorang gadis (mungkin teman wanita barunya).

Sehingga suatu hari F menegur saya dan bertanya khabar. Memang benar… Perasaan antara kami masih ada. Kami sama-sama gugup. Tetapi perbualan kami tak lama kerana saya beritahu yang saya ada urusan.

Oleh kerana stress dengan majikan, saya berhenti kerja. Sepanjang saya menganggur, tunang saya lah yang menanggung kehidupan saya dari segala segi. Makan, pakaian dan sewa rumah. Akhirnya saya mendapat tawaran pekerjaan di Taman Melawati.

Saya berpindah ke Wangsa Maju kerana berhampiran dengan ofis baru saya. Ketika ini saya dah hampir melupakan F. Sehingga lah suatu hari, ada seseorang yang menegur saya ketika saya seorang diri di kompleks membeli belah di Wangsa Maju.

Kecilnya dunia ni. Dalam keadaan berdebar dan menggigil, saya segera menamatkan perbualan saya dengan F. Ketika itu saya keliru dengan perasaan sendiri. Saya keliru kenapa asyik saja berlaku kebetulan. Ketika itu F juga telah menyewa di kawasan berhampiran.

Dipendekkan cerita, kini setelah usia kami menghampiri 50 tahun, F masih belum berkahwin. Masih juga kebetulan…. Ofis saya di wangsa maju telah berpindah ke kawasan berhampiran KLCC.

Keadaan trafik yang sesak tidak mengizinkan saya untuk memandu ke ofis. Setiap hari saya menaiki LRT.

Suatu hari, di dalam LRT yang berhimpit-himpit, di depan mata saya adalah F. Rupa-rupanya selama ini F juga menaiki LRT ke ofis dari satu stesen sebelum stesen yang saya naik.

Di pertemuan itu, kami kehilangan kata-kata. Mungkin, sekiranya F telah berumahtangga, situasi mungkin berbeza.

Kami telah bertukar-tukar nombor telefon. Walaupun kadang kala kami berada di dalam tren yang sama, kami tak pernah berbual. F amat menghormati saya sebagai isteri orang.

Kami hanya bertanya khabar jika perlu dan bertukar ucapan hari raya, hari jadi dsb di whatsapp. Ada juga ketikanya dia meluahkan masalahnya kepada saya.

Namun ianya tidak menjurus kepada mainan perasaan. Kami juga bersahabat di facebook. Kadang-kadang ada juga rakan-rakan IPTA yang mengusik dia, kenapa tak kahwin lagi. Sampai bila nak tunggu ex. Ex yang dimaksudkan adalah saya.

Saya akui yang saya masih mengingatinya dan menyanyanginya. Tak tahu sebagai apa tetapi mana mungkin perasaan yang pernah wujud bertahun-tahun itu hilang begitu saja.

Saya tidak paksa diri saya untuk mengingatinya dan saya tidak pernah melayan angan-angan atau perasaan untuk bersamanya.

Kadang-kadang saya tertanya sendiri, ujian apakah ini. Mengapa dia mesti berada di mana saja saya berada. Mengapa tiada rakan-rakan lain yang seIPTA yang berkebetulan seperti ini.

Rumahtangga saya amat bahagia dengan 4 orang cahayamata yang cantik, tampan dan bijak. Suami melebihkan saya dari segenap segi. Suami saya sangat ringan tulang membantu kerja-kerja rumah dan tidak pernah berkira dari segi wang ringgit.

Kiranya, jika gadis-gadis di media sosial sering mengangankan lelaki yang sweet penuh dengan kejutan….

Itu lah suami saya. Dan saya amat menghormatinya dan menyayanginya sepenuh jiwa raga saya. Hanya, suami saya selalu lalai melakukan solat 5 waktu. Namun saya tetap tak pernah berputus asa mendoakannya agar dia diberikan hidayah.

Apa yang nak saya sampaikan di sini, janganlah menghukum mereka yang telah berumahtangga tetapi masih tidak dapat melupakan cinta pertama. Ia bukanlah satu perasaan yang dibuat-buat. Wallahualam.

– Rose (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *